Duit RM150juta Tu Dilaburkan Dalam Public Mutual Atau Tidak?


Mahkamah diberitahu hari ini bahawa Felcra membuat permohonan dana RM150 juta daripada tabung persaraan staf badan itu untuk dilaburkan dalam unit amanah Public Mutual.

Bekas pengurus besar Felcra Adnan Yusof bagaimanapun mengesahkan bahawa tiada catatan menunjukkan bahawa lembaga Felcra terlibat dalam permohonan dana RM150 juta itu.

Adnan, 61 berkata bahawa berdasarkan memorandum daripada Kementerian Kewangan, Felcra telah membuat permohonan untuk menggunakan dana daripada tabung persaraan staf sebanyak RM150 juta untuk dilaburkan dalam unit amanah Public Mutual.

“Kementerian Kewangan (MOF) mempunyai kuasa mutlak bermaksud tiada pihak lain yang boleh ganggu keputusan tersebut.”

“Felcra telah buat permohonan (berdasarkan memo MoF) untuk guna dana dari tabung persaraan staf RM150juta untuk melabur dalam unit amanah Public Mutual,” katanya di Mahkamah Sesyen Jenayah, Kuala Lumpur, hari ini.

Dia menjawab soalan timbalan pendakwa raya Roslan Mat Nor yang meminta Adnan menjelaskan bahawa kuasa MoF dalam isu pelaburan Felcra.

Adnan merupakan saksi ke-2 dalam perbicaraan kes rasuah Anggota Parlimen Kinabatangan Bung Moktar Radin bersama isterinya Zizie Izette.

Pada 3 Mei tahun lepas, Bung Moktar mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tiga pertuduhan memperoleh suapan berjumlah RM2.8 juta bagi mendapatkan kelulusan untuk Felcra Berhad melabur RM150 juta bagi menyertai produk unit amanah Public Mutual Berhad.

Mengikut pertuduhan pertama, Bung Moktar, yang ketika itu merupakan pengerusi bukan eksekutif Felcra, didakwa secara rasuah memperoleh untuk dirinya suatu suapan iaitu wang tunai RM2.2 juta daripada ejen pelaburan Public Mutual, Madhi Abdul Hamid, 38, melalui isteri tertuduh iaitu Zizie.

Sementara itu, Adnan turut memberitahu mahkamah bahawa tiada catatan menunjukkan bahawa lembaga pengarah Felcra membuat sebarang tindakan berkaitan dana tersebut.

“Tidak dinyatakan di dalam permohonan ke MoF,” jelas Adnan ketika menjawab soalan Roslan ketika pemeriksaan semula.

Terdahulu, Roslan bertanya: “Ada tak mana-mana catatan tunjuk lembaga Pengarah Felcra terlibat apa-apa tindakan berkait pelaburan RM150 juta Public Mutual?”.

Bung berdepan tuduhan dikemukakan mengikut Subseksyen 17(a) Akta SPRM dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Zizie juga mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan bersubahat dengan suaminya berhubung perkara sama, di tempat, tarikh dan masa serupa mengikut Seksyen 28(1) (c) Akta SPRM dan boleh dihukum di bawah Subseksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan berlangsung di hadapan Hakim Rozina Ayob dan kes ditangguhkan sehingga 29 Februari ini

Malaysiakini

Post a Comment

0 Comments