Papagomo Terima Padah Di Sabah Gara-Gara Koyak Gambar Shafie Afdal

Blogger Umno, Wan Muhammad Azri Wan Deris atau lebih dikenali sebagai Papagomo didakwa dikepung sekumpulan lelaki dipercayai penyokong Warisan.

Kejadian tersebut berlaku di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) ketika beliau dalam perjalanan pulang ke semenanjung.

Menurut jurugambar FMT Mohamed Rabbani Jamian yang berada di tempat kejadian, kira-kira 20 lelaki menghampiri Papagomo dan beberapa pengikut beliau yang memakai seragam biru BN sebelum berlakunya pertengkaran antara mereka.

“Lelaki terbabit berpakaian biasa. Papagomo bersama kira-kira 10 kawannya ketika itu berada di kaunter masuk Malindo Air.

“Kedua-dua kumpulan itu saling mengeluarkan kata-kata kesat dan seorang dilihat menunjuk ke arah Papagomo dan memanggilnya ‘anjing kurap’,” katanya seperti dilapor FMT.

Jumaat lepas, Papagomo mencetuskan kemarahan rakyat Sabah selepas mengoyakkan gambar Ketua Menteri Sabah Shafie Apdal dalam demonstrasi membantah Pas Sementara Sabah (PSS) di Kimanis.

Papagomo berada di Sabah bagi membantu calon BN, Mohamad Alamin dalam pilihan raya kecil (PRK) Kimanis.

Menurut jurugambar berkenaan, Papagomo dilihat cuba melawan balas kumpulan berkenaan, tetapi dihalang oleh mereka yang berhampiran.

Polis dilihat bergegas ke tempat kejadian sewaktu Papagomo ditarik ke pintu pelepasan jauh dari tempat kekecohan.

Pada Februari 2019, Papagomo ditahan polis selepas laporan polis dibuat oleh Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang mendakwa beliau diserang semasa hari pencalonan pilihan raya kecil Semenyih.

Papagomo juga ditahan pada November 2018 berikutan sebuah video yang disiarkan di laman Facebooknya.

Pada Disember 2017, beliau membayar ganti rugi kepada Anwar Ibrahim sebanyak RM951,260.30 selepas kalah dalam saman fitnah yang difailkan oleh presiden PKR itu.

Malaysiakini

Post a Comment

0 Comments