C4 Cetuskan Provokasi Lawan Agong


Pusat Bagi Memerangi Rasuah dan Kroni (C4) meminta rakyat Malaysia supaya tidak mengesahkan ataupun mengkitiraf pembentukan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Pengarah Eksekutif Cynthia Gabriel, berkata rakyat negara ini tidak perlu berbuat demikian meskipun terdapat tawaran baru daripada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Jelasnya, kenyataan Muhyiddin yang meminta rakyat memberi peluang kepada mereka adalah satu usaha untuk meredakan kemarahan rakyat.

"Bagi kerajaan yang tidak mempunyai manifesto dan tidak dipilih oleh rakyat negara ini, kami tidak mengharapkan seseorang, kerana mandat untuk mentadbir tidak pernah disokong oleh pengundi.

"Perdana Menteri Muhyiddin Yassin berkata "beri kami peluang". Apa peluang, kita bertanya?

"Oleh itu, menjadi tanggungjawab kita untuk terus mengingatkan diri kita supaya tidak menormalkan ini kerana jelas ia merampas mandat rakyat," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Pada 1 Mac lalu, Muhyiddin dilantik sebagai perdana menteri Malaysia kelapan bagi menggantikan Dr Mahathir Mohamad.

Pelantikan Muhyiddin itu mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong selepas Presiden Bersatu itu mendakwa memperoleh sokongan majoriti anggota Dewan Rakyat.

Kemelut politik negara selama seminggu menyaksikan kerajaan Pakatan Harapan (PH) tumbang apabila Bersatu bertindak meninggalkan PH.

Ia disusuli dengan bekas timbalan presiden PKR, Mohamed Azmin Ali bersama 10 lagi anggota PKR keluar parti dan menyertai Bersatu. 

Situasi itu membawa kepada peletakan jawatan Mahathir selaku perdana menteri ketujuh.

C4 dalam kenyataannya turut mempersoalkan apakah kerajaan hari ini benar-benar menentang rasuah kerana ada sebahagian mereka sebelum ini enggan mengisytiharkan harta.

'Umpama hasut rakyat lawan Agong'

Sementara itu, bekas perdana menteri Najib Razak menyifatkan kenyataan C4 itu umpama menghasut rakyat untuk melawan titah Yang di-Pertuan Agong.

Ia juga turut memberi makna yang sama bahawa C4 turut menghasut rakyat untuk melawan perlembagaan Malaysia.

"Biarpun sokongan BN kepada kerajaan PN ada hadnya tapi hasutan kumpulan C4 kepada rakyat PH untuk tidak mengiktiraf dan mengesahkan kerajaan Muhyiddin adalah amat tidak patut.

"Ini seumpama C4 menghasut rakyat untuk lawan titah Yang di-Pertuan Agong yang telah diperkenakan oleh Majlis Raja-raja.

"Ia juga tidak berbeza dengan menghasut Raykat untuk melawan perlembagaan Malaysia," tulis Najib dalam satu hantaran di Facebooknya, hari ini.

Tambah Najib, jika tak puas hati, PH boleh membantah keputusan Agong dan Majlis Raja-raja di mahkamah atau mengemukakan undi tidak percaya apabila sesi parlimen bersambung.

PH juga kata Najib boleh menuntut parlimen dibubarkan dan pilihan raya umum baru dilaksanakan.

Katanya, kerajaan PN yang dipimpin Muhyiddin dibentuk mengikut undang-undang dan perlembagaan negara.

"Jika korang masih berdegil untuk berbuat begitu, adakah kerajaan Muhyiddin patut mengeluarkan kenyataan balas bahawa kerajaan tidak akan mengiktiraf dan mengesahkan korang sebagai rakyat Malaysia?

"Bila menjadi mangsa jenayah, terkena wabak, rumah terbakar, hilang paspot atau ada apa-apa bantuan yang diperlukan, nanti pihak kerajaan suruh korang kaotim sendiri," sindir Najib.


Post a Comment

0 Comments