Lampu Hijau Untuk Tangkap!

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador memberi amaran bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang masih berdegil serta melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Abdul Hamid berkata, pihak berkuasa bertanggungjawab memastikan peningkatan pematuhan kepada perintah berkenaan yang bertujuan mengurangkan penyebaran Covid-19.

"Kira-kira 110 individu telah ditangkap dalam tempoh tujuh hari PKP," katanya dalam satu wawancara Selamat Pagi Malaysia, di sini, hari ini.

Beliau berkata, mereka yang ditangkap itu tidak hanya melanggar peraturan PKP tetapi juga biadab, mencabar, memaki hamun dan mengasari anggota polis.

“Kita bertindak tegas, kita tangkap individu itu, jangan anggap kita hanya menasihati,” katanya.

Dalam perkembangan berasingan, Abdul Hamid memaklumkan tindakan tegas akan diambil terhadap individu yang melakukan jenayah siber seperti kes penipuan penjualan topeng muka.

Beliau berkata, pihaknya telah membuka kira-kira 370 kertas siasatan terhadap kes penipuan dan membuat 25 tangkapan, di mana daripada jumlah itu sebanyak 11 kes telah dituduh di mahkamah.

“Saya dimaklumkan pembeli yang tertipu itu kerugian hampir RM3 juta. Kita tegas dalam hal ini, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial fokus dan sedang meneliti kes ini dengan serius," katanya.

SinarHarian

Post a Comment

0 Comments