4 Pertuduhan Najib, Tangguh............

Tiga perbicaraan rasuah berprofil tinggi membabitkan Najib Razak dan isterinya Rosmah Mansor ditangguhkan kerana perintah kawalan pergerakan dilanjutkan sehingga 28 April ini.

“Sebaik saja mahkamah kembali bersidang, kes itu akan diteruskan mengikut jadual,” kata Pendakwa Raya ad-hoc Gopal Sri Ram yang mengetuai pasukan pendakwaan dalam semua kes itu.

Katanya, pihak pendakwaan perlu menguruskannya jika berlaku pertembungan tarikh perbicaraan kes itu selepas PKP ditarik balik.

Perbicaraan itu sepatutnya bersambung hari ini, tetapi ditangguhkan sehingga 29 April ini susulan lanjutan PKP.

Perbicaraan 1MDB bekas perdana menteri itu dijadualkan disambung pada 29 dan 30 April ini.

Hakim Mahkamah Tinggi, Collin Lawrence Sequerah turut menetapkan tarikh perbicaraan dari 4 hingga 22 Mei dan sepanjang Jun hingga Oktober ini.

Najib berdepan 4 pertuduhan menyalahgunakan jawatannya untuk mendapatkan rasuah berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan wang sama.

Najib turut menghadapi perbicaraan di depan Hakim Mahkamah Tinggi, Mohamed Zaini Mazlan kerana meminda laporan audit akhir 1MDB pada 2016.

Bekas ketua pegawai eksekutif 1MDB, Arul Kanda Kandasamy didakwa bersubahat dengannya.

Untuk kes ini, pihak pendakwaan dan pembelaan perlu berjumpa dengan Zaini untuk menetapkan tarikh perbicaraan. Pertemuan itu dijangka diadakan selepas PKP berakhir.

Zaini turut mendengar kes Rosmah yang didakwa meminta suapan RM187.5 juta daripada Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd, Saidi Abang Samsudin sebagai dorongan untuk membantu syarikat itu mendapatkan Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid dan Penyelenggaraan serta Operasi Genset/Diesel bagi 369 sekolah luar bandar Sarawak bernilai RM1.25 bilion secara rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan.

Beliau didakwa menerima rasuah berjumlah RM6.5 juta daripada Saidi antara 2016 dan 2017.

“Buat masa ini, tarikh perbicaraan hanya ditetapkan pada 29 dan 30 April. Tarikh selanjutnya belum ditentukan mahkamah,” kata Sri Ram.

Sementara itu, perbicaraan SRC International Najib akan berakhir kerana Hakim Mahkamah Tinggi, Mohd Nazlan Mohd Ghazali menetapkan 3 hari mulai 18 Mei untuk mendengar penghujahan lisan.

Najib diarah membela diri atas 7 pertuduhan pecah amanah, penyalahgunaan kuasa dan pengubahan wang membabitkan pemindahan RM42 juta daripada SRC International ke akaunnya.

Najib dan bekas ketua setiausaha Perbendaharaan, Irwan Serigar Abdullah, turut berdepan 6 pertuduhan pecah amanah membabitkan RM6.6 bilion dana kerajaan, tetapi tarikh perbicaraan dikosongkan untuk memberi laluan kepada perbicaraan SRC.

FMT

Post a Comment

0 Comments