Walaupun wabak jangkitan Covid-19 ini satu ujian untuk kebanyakan individu di seluruh dunia ketika ini, namun masih ada yang menggunakan kesempatan untuk memperdaya anggota masyarakat.
Sejak wabak ini melanda negara kita, timbul pelbagai isu yang menarik perhatian ramai di saat barisan hadapan masih lagi berjuang menyelamatkan ramai insan yang dijangkiti.

Ada isu tentang masalah kekurangan topeng, penjualan sanitizer yang menipu pengguna, penyembunyian stok topeng, ikan singgang boleh mencegah jangkitan virus dan daun semambu yang juga dikatakan boleh mencegah dan merawat wabak Covid-19.

Terbaru, muncul pula desas-desus berkenaan pemakaian “health tag” yang dikatakan mampu melindungi diri seseorang daripada dijangkiti virus Covid-19.

Ini susulan selepas netizen melihat beberapa pemimpin negara memakai health tag tersebut ketika melakukan sidang media.

Health tag lindungi diri anda daripada jangkitan Covid-19?

Terdapat satu produk health tag yang dikatakan mampu melindungi atau menjauhkan si pemakainya daripada jangkitan bakteria atau virus.

Ia merupakan satu kad yang dipakai dengan cara digantungkan pada leher dan mengandungi bahan kimia chlorine dioxide.

Ia dipercayai boleh menjauhkan si pemakai health tag tersebut daripada jangkitan bakteria atau virus, dengan cara pelepasan gas chlorine dioxide di sekitar individu tersebut.

Gas yang dilepaskan itu dikatakan boleh membunuh bakteria dan juga virus dalam jarak lingkungan 1 kilometer selama 45 hari.

Harga yang perlu dibelanjakan juga tidak murah memandangkan satu kad tersebut berharga sekitar RM60 jika dibeli di farmasi atau secara online.

Kerana bimbang ia akan menjadi satu trend, Pusat Racun Negara tampil menjelaskan dakwaan keberkesanan health tag tersebut.

Menurut Pusat Racun Negara, terdapat satu kajian yang pernah dijalankan pada tahun 2017 oleh penyelidik Jepun mengenai keberkesanan kad ini.

Kajian tersebut bertajuk, “Investigation on Practical Usefulness of Body-worn Devices that Claim to Release Chlorine Dioxide.”

Hasil daripada kajian mendapati, kad tersebut tidak berkesan membasmi atau membunuh bakteria dan juga virus seperti yang didakwa.

Selain itu, gas chlorine dioxide yang dibebaskan daripada kad tersebut adalah sangat rendah, bahkan ia tidak dapat dikesan langsung.

Bagaimana mungkin ia boleh melindungi penggunanya dalam lingkungan 1km?

Pusat Racun Negara menegaskan, health tag ini sememangnya tidak berkesan digunakan bagi tujuan mencegah jangkitan bakteria atau virus, lebih-lebih lagi virus Covid-19.

Tambahan lagi, gas chlorine dioxide ini boleh merengsakan saluran pernafasan si pemakainya bergantung kepada tahap kuantiti dan kepekatan gas tersebut.

Bukan sahaja di Malaysia, ia juga satu trend di Hong Kong

Penjualan health tag ini bukan hanya berlaku di Malaysia, tetapi juga di negara lain seperti di Hong Kong.

Di Hong Kong, health tag berjenama “Virus Shut Out” dijual secara berleluasa walaupun penjualannya telah dilarang di kebanyakan negara-negara Asia.

Produk ini juga dilarang untuk dijual di Vietnam dan Thailand.

Begitu juga dengan platform online seperti eBay dan juga Facebook.

Produk “Virus Shut Out” ini membuat tuntutan, “Telah terbukti melalui eksperimen bahawa ia berkesan menghalang zarah bawaan udara dan bakteria, serta pelbagai wabak virus. Ia mengurangkan kemungkinan untuk dijangkiti atau menjangkiti orang lain”.

Dr. Ariane Davison, seorang ahli imunologi dan virologi yang juga pengarah Global Health Care Consultants berkata, kad health tag seperti “Virus Shut Out” ini ternyata satu produk scam.

Dr. Ariane berkata, chlorine dioxide digunakan untuk mensterilkan permukaan keras dan tidak sepatutnya digunakan berdekatan dengan wajah.

Beliau menegaskan bahawa produk health tag seperti “Virus Shut Out” ini langsung tidak berguna dalam melindungi diri daripada jangkitan COVID-19.

Diharamkan untuk diimport masuk ke Amerika Syarikat

Baru-baru ini, pihak U.S. Environmental Protection Agency (EPA) mengumumkan larangan kemasukan produk kesihatan haram, “Virus Shut Out”, ke Amerika Syarikat.

Ini kerana, produk tersebut tidak berdaftar dengan EPA selain membuat tuntutan mengelirukan berkenaan keselamatan dan keberkesanannya.

EPA juga telah berhubung dengan pihak jualan online, Amazon untuk mengeluarkan produk tersebut daripada senarai barang jualan portal mereka dan Amazon telah bertindak atas arahan EPA tersebut.

Sebarang produk yang menyatakan tuntutan boleh menghapuskan atau membunuh bakteria akan dianggap sebagai racun perosak dan ia mestilah berdaftar dengan pihak EPA sebelum dijual.

Tuntutan kesihatan awam hanya boleh dibuat bagi produk yang telah diuji dengan betul dan berdaftar dengan EPA.

EPA dalam satu kenyataannya juga menegaskan, mereka tidak akan bertolak ansur dengan syarikat-syarikat yang menjual produk disinfektan haram, atau membuat tuntutan yang salah dan mengelirukan terutamanya ketika krisis wabak Covid-19 ini sedang berlaku.

Kita perlulah menjadi seorang pengguna yang bijak dalam memilih dan menentukan produk yang ingin dibeli.

Tidak semestinya apa yang menjadi trend itu adalah satu produk yang terbukti berkesan.

Keberkesanan sesuatu produk bukanlah ditentukan, dilihat atau dinilai dari sudut populariti, tetapi dari sudut hasil kajian mengenai keberkesanannya.