Kiranya Rakyat Pun Boleh Buat Permohonan Maaf Dalam Facebook Kan, Then Tidak Ditahan?


Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, NGO dan Masyarakat Sivil Perak, Razman Zakaria hari ini memohon maaf kepada seluruh rakyat atas kekhilafan yang berlaku melibatkan dirinya.

Razman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Gunung Semanggol membuat permohonan maaf secara terbuka itu menerusi laman media sosial.

"Saya memohon maaf secara terbuka kepada seluruh rakyat atas kekhilafan yang berlaku. 

"Pencerahan yang saya berikan ini bukan untuk dikecualikan daripada tindakan undang-undang tetapi untuk menjelaskan keadaan sebenar,” katanya pada suatu hantaran di Facebook.

Semalam, tular di media sosial gambar-gambar Razman dan beberapa individu bersama-sama dengan Timbalan Menteri Kesihatan Noor Azmi Ghazali hadir jamuan di sebuah Maahad Tahfiz di Lenggong ketika tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi memutuskan rantaian jangkitan wabak Covid-19.

Gambar yang tular itu mendapat kecaman luas warga maya dan beberapa ahli politik turut menyuarakan kritikan, antaranya Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution, Naib Presiden Umno, Mohamaed Khaled Nordin serta bekas Menteri Besar Perak Zambry Abdul Kadir.

Negara lain dah letak jawatan

Khaled Nordin malahan membidas tindakan Timbalan Menteri Kesihatan Noor Azmi Ghazali yang disifatkan tidak menunjukkan teladan baik dengan melanggar PKP.

Beliau berkata, jika di negara lain pemimpin kerajaan yang melanggar peraturan sedemikian rupa telah bertindak meletak jawatan.

"Bukan sebarang timbalan menteri tetapi timbalan menteri kesihatan, tidak menunjukkan contoh teladan yang baik dalam masa PKP ketika ini.

"Di negara lain seperti New Zealand, menteri kesihatannya letak jawatan kerana melanggar peraturan 'lockdown', begitu juga orang awam di negara masing-masing melahirkan kemarahan kepada menteri perumahan UK (United Kingdom) dan menteri komunikasi South Afrika (Afrika Selatan) atas sebab yang sama," katanya semalam di Instagram.

Razman hari ini berkata setiap tindakan pihaknya termasuk ketika turun padang melihat keperluan petugas barisan hadapan dalam menangani wabak Covid-19 amat menitikberatkan tentang Prosedur Operasi Standard.

Jelas beliau lagi sekiranya ada yang dilihat bertentangan, perkara tersebut akan diatasi.

"Untuk makluman saya setiap hari bergerak untuk membantu petugas barisan hadapan, melihat kekurangan peralatan yang dihadapi terutama kepada petugas kesihatan.

"Sebagai contoh jika kita tidak turun padang, mana kita dapat tahu keperluan tandas bergerak untuk kegunaan petugas sekatan jalan raya amat mendesak," kata beliau.

"Sekali lagi saya mohon maaf dan terima kasih rakyat Malaysia," katanya lagi.

Semalam juga, Menteri Kanan Ismail Sabri Yaakob turut mengingatkan tiada siapa yang mengatasi undang-undang dengan melanggar PKP, termasuklah individu berjawatan tinggi, dan menyerahkan isu berkenaan kepada tindakan pihak polis.

Menteri di JPM yang juga Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan pula berkata 'tiada siapa yang kebal' daripada tindakan undang-undang jika didapati ingkar PKP namun,"ia bergantung kepada kesalahan."

Selain itu, Ketua Polis Perak, Razarudin Husain semalam memaklumkan pihaknya akan mengambil keterangan timbalan menteri tersebut dalam masa terdekat ini.

Malaysiakini

Post a Comment

0 Comments