Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan memuktamadkan sama ada Rembau, Negeri Sembilan akan dikategorikan sebagai kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Menteri Kanan Keselamatan, Ismail Sabri Yaakob berkata demikian selepas KKM mengesan sub-kluster di Rembau yang dikaitkan dengan perhimpunan jemaah tabligh Masjid Sri Petaling.

“Kes di Rembau, perkara ini akan diperhalusi KKM, walaupun yang umum setiap PKPD ialah saya tapi ia atas nasihat KKM, jadi kita tunggu laporan KKM dan apa nasihat mereka sama ada PKPD dan sebagainya terserah kepada KKM,” katanya ketika sidang media selepas mesyuarat khas menteri dan pihak terlibat dalam mendepani penularan wabak Covid-19.

Ismail turut mengulas, mana-mana kawasan yang berada di bawah PKPD tidak akan dibenarkan melakukan sebarang aktiviti termasuk industri perkilangan dan sebagainya.

“Dari segi sektor perkilangan dan sebagainya, di kawasan PKPD, bila kita sebut PKPD ia seolah ‘total lokcdown’.

“Bermakna tidak ada apa-apa aktiviti yang boleh dilakukan di kawasan PKPD. Tidak boleh keluar rumah, tak boleh keluar masuk, maknanya apa sektor di kawasan tersebut tidak dibenarkan sama sekali,” katanya.

KKM semalam memaklumkan pihaknya mengesan sub-kluster di Rembau, Negeri Sembilan yang berkaitan dengan perhimpunan jemaah tabligh Masjid Sri Petaling.

Pemeriksaan mendapati kluster itu membabitkan kakitangan sebuah sekolah dan kemudian menular di beberapa lokaliti daerah berkenaan iaitu Pedas, Pilin, Kundur dan Batu Hampar.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah, ketika mendedahkan perkara itu berkata sebanyak 27 orang dikenal pasti positif Covid-19, termasuk 2 kes yang ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU), setakat jam 12 tengah hari semalam, angkara sub-kluster terbabit.

Memperincikan mekanisme penularan, Noor Hisham berkata guru dan kakitangan sekolah yang dijangkiti itu seterusnya menyebarkan virus terbabit kepada ahli keluarga mereka dan penduduk kampung.