Kenapa Peguam Negara Diam?

Yang di-Pertua Dewan Negara Rais Yatim membangkitkan isu berhubung Perkara 40 dalam Perlembagaan Persekutuan, sehari selepas Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah menolak permintaan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin untuk mengisytiharkan darurat.

Rais menerusi ciapan di akaun Twitter turut mempersoalkan mengapa Peguam Negara tidak bersuara atas dakwaan pelanggaran Perkara 40 berhubung tugas Yang di-Pertuan Agong.

“Kenapa peguam negara tidak menimbulkan (isu) bahawa peruntukan mandatori Perkara 40 telah diketepikan?

“Ini kan tonggak Raja Berperlembagaan?” kata bekas ketua Bersatu Negeri Sembilan itu.

Perkara 40 (1) dalam Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa Yang di-Pertuan Agong hendaklah bertindak mengikut nasihat jemaah menteri kecuali sebagaimana yang diperuntukkan oleh perlembagaan namun baginda berhak atas setiap maklumat.

Turut dinyatakan bahawa Yang di-Pertuan Agong harus bertindak sesuai dengan nasihat atau setelah mempertimbangkan nasihat dan baginda harus menerima dan bertindak sesuai dengan nasihat tersebut.

Seorang pengguna Twitter @RimauXI membalas ciapan Rais dengan berkata, dalam Perkara 40 Perlembagaan Persekutuan, terdapat pengecualian kepada Yang di- Pertuan Agong untuk bertindak atas nasihat, tetapi ia harus dibaca bersama Perkara 150 (1) peruntukan sama berkaitan pengisytiharan darurat.

Selain itu, dia turut menyatakan bahawa pengisytiharan darurat hanya boleh dilakukan sekiranya Yang di-Pertuan Agong berpuas hati dan berpendapat ia satu keperluan.

Malah, keputusan sama ada baginda berpuas hati atau tidak juga tidak boleh dipersoalkan atau dicabar dalam mahkamah, seperti yang tertera dalam Perkara 150 (8) Perlembagaan Persekutuan.

Susulan pertemuan bersama Raja-Raja Melayu, Yang di-Pertuan Agong bertitah bahawa tiada keperluan untuk melaksanakan darurat seperti yang dikemukakan Muhyiddin.

Walaupun darurat tidak diisytiharkan, Agong mengingatkan ahli politik agar berhenti bermain politik sehingga boleh menggangu kestabilan pemerintahan negara.

“Setelah memperhalusi permohonan dan berbincang dengan Raja-Raja Melayu dan melihat situasi yang sedang dihadapi oleh negara, Al-Sultan Abdullah merasakan kerajaan sekarang telah berjaya menangani wabak ini dengan baik dan berkesan.

“Seri Paduka Baginda amat mempercayai keupayaan kerajaan di bawah pimpinan perdana menteri untuk terus melaksanakan dasar dan tindakan penguatkuasaan bagi membendung gejala wabak Covid-19 ini dari terus merebak,” kata satu kenyataan yang dikeluarkan menerusi Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Ahmad Fadil Shamsuddin semalam.

Post a Comment

1 Comments

  1. Bila plot dia dan hamzah gagal, azmin pura2 nak bekerjasama dgn pihak lain. Jika dia berjaya dgn rancangan daruratnya, sudah tentu dia akan telan musuh pembangkang dia habis2. Oleh itu jgn percaya dgn mainkan politik dia. Semua pihak yg benci mainan kotor azmin dan hamzah, masa ini lah mrk paling lemah dan inilah masanya utk 'go for the kill'. Tamatkan masa depan politik mrk berdua ini tanpa apa2 rasa belas kasihan. Jika mrk dibenarkan survive, mrk akan kembali cuba 'bunuh' kamu pula pada masa depan!!! Jangan berasa kasihan kpd kepala2 pengkhianat ini.

    ReplyDelete