Nak Bantu Petani Atau Bina Mahligai

Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim membidas tindakan kerajaan membina pejabat korporat Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) yang baharu bernilai RM220 juta di Kelana Jaya ketika petani dan peladang terkesan dengan pandemik Covid-19.

Beliau berkata, masalah pemasaran produk pertanian oleh FAMA tidak boleh dibantu dan diselesaikan dengan cara membina bangunan korporat baharu.

“FAMA ditubuh untuk bantu petani dan pekebun kecil dalam isu pemasaran. Nak bantu peladang dan petani jual hasil barang mereka atau nak buat mahligai baru di Kelana Jaya,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Belanjawan 2021 peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Pertanian dan Industri Makanan di Dewan Rakyat hari ini.

Sebelum ini, dilaporkan FAMA bakal memiliki pejabat korporat baharu bernilai RM220 juta yang akan dibina di Kelana Jaya.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan Ronald Kiandee berkata, projek pembinaan melalui kaedah “land swap” itu dijangka siap pada 2025.

Dalam pada itu, Anwar turut mengkritik kaedah “land swap” untuk projek pembinaan pejabat korporat baharu FAMA.

Katanya, proses berkenaan sebelum ini terhadap Kementerian Pertahanan sangat kontroversi.

“Ini tanah kerajaan ada lebihan RM60 juta. Kita juga tahu proses ‘land swap’ ini proses sangat kontroversi. Bekas Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu menyebut kerugian ketirisan melebihi RM500 juta sepanjang pelaksanaan 16 projek ‘land swap’ Kementerian Pertahanan di pelbagai peringkat pelaksanaan.

“Jadi menteri harus lebih teliti apa keutamaan kita” katanya.

Katanya, budaya “old normal” seperti itu sepatutnya dihentikan.

“Sepatutnya menteri terutama dari Sabah dan kawasan desa beri tumpuan supaya pemikiran lama diubah,” katanya.


Post a Comment

0 Comments