4 Tahun Kes Rosmah Belum Dibicarakan, Hakim Tegur Peguam Rosmah..



Hakim Mahkamah Tinggi mengingatkan peguam Datin Seri Rosmah Mansor supaya memberi keutamaan kepada kes pengubahan wang haram dan gagal menyerahkan penyata pendapatan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) yang dihadapi isteri bekas perdana menteri itu.

Hakim Mohamed Zaini Mazlan berkata, kes itu sepatutnya diberi keutamaan peguam kerana belum dibicarakan walaupun selepas empat tahun Rosmah didakwa iaitu pada 4 Oktober 2018.

"Kes ini sudah mengambil masa yang lama, sejak 2018 lagi," katanya.

Bagaimanapun, Mohamed Zaini berkata, beliau berpandangan peguam hanya boleh mengutamakan kes lain jika ia membabitkan pertuduhan yang membawa hukuman mati.

Hakim itu berkata demikian selepas diberitahu oleh peguam Ravin Kumar bahawa peguam Datuk Geethan Ram Vincent ada kes lain yang perlu dikendalikan.

Mahkamah kemudian menetapkan 1 Disember ini bagi sebutan untuk menetapkan tarikh perbicaraan.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Poh Yih Tinn memberitahu mahkamah, pendakwaan akan memanggil antara 13 hingga 14 saksi untuk memberikan keterangan.

Yih Tinn berkata, rayuan Rosmah supaya Mohamed Zaini menarik diri daripada kes itu pula ditetapkan bagi sebutan pada 23 Disember ini.

Rosmah, 70, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas 12 pertuduhan membabitkan diri dalam pengubahan wang haram berjumlah RM7,097,750 dan lima pertuduhan gagal menyerahkan penyata pendapatan kepada LHDN.

Bagi pertuduhan pengubahan wang haram, Rosmah didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 4(1) akta sama.

Bagi pertuduhan berkaitan LHDN, Rosmah didakwa gagal mengemukakan penyata pendapatan seperti diperuntukkan Seksyen 77(1) Akta Cukai Pendapatan 1967 bagi tahun taksiran 2013 hingga 2017 kepada Ketua Pengarah Hasil Dalam Negeri pada atau sebelum 30 April 2014, 2015, 2016, 2017 dan 2018 dengan tiada sebab munasabah yang bertentangan dengan Seksyen 112 akta sama.


Post a Comment

0 Comments