Perpecahan Pembangkang Bakal Hanyutkan Saman Sivil AS


Pada 20 Julai 2016, Peguam Negara AS Loretta Lynch dari Jabatan Kehakiman (DOJ) Amerika Syarikat (AS) mendakwa Riza Aziz, anak tiri Datuk Seri Najib Razak, Jho Low, pengurus kewangan berasal dari Malaysia dan Khadem Al-Qubaisy, bekas Pengarah Pengurusan syarikat IPIC (Syarikat Pelaburan Petroleum Antarabangsa) milik kerajaan Abu Dhabi, memiliki aset dibeli dengan wang yang diselewengkan daripada syarikat pelaburan strategik 1MDB milik kementerian kewangan Malaysia.
Aset yang dinamakan dalam aduan awam DOJ sepanjang 136 muka surat itu adalah beberapa apartmen mewah di New York dan California, hasil lukisan seni Monet dan Van Goh dan sebuah jet Bombardier.
Saman sivil bukan kes jenayah
Sungguhpun diulangi banyak kali oleh Najib, peguam negara dan beberapa menteri lain aduan awam DOJ itu hanyalah kes saman sivil dan bukan jenayah, barisan pembangkang dan beberapa NGO pro pembangkang tetap dengan pendirian mereka kes saman itu sebuah kes jenayah.

Malah, mereka juga terus menyebarkan maklumat tidak sahih berkenaan kes saman sivil DOJ itu. Mungkinkah ini satu bentuk balasan dendam mereka terhadap kemenangan BN di Sarawak dan Selangor baru-baru ini?

Selain pembangkang, Tun Dr Mahathir Mohamad dan konconya turut serta menyebarkan spekulasi berhubung pendakwaan DOJ yang belum lagi mengesahkan sebarang salah laku ke atas ketiga-tiga individu tersebut.

Malah, mereka mengambil kesempatan ini untuk menuduh kononnya akaun mengandungi lebih AS$600 juta yang dibuka di bawah nama “Malaysian Official1″ adalah milik Najib Razak.

Seterusnya, mereka menggesa beliau untuk letak jawatan sebagai perdana menteri. Sedangkan, dalam saman sivil DOJ, nama PM langsung tidak disebut. Sekiranya benar Najib disyaki terlibat, mengapa nama beliau tidak disebut DOJ, sepertimana nama 3 individu itu disebut?

Tidak bersalah sehingga dibuktikan
Seperkara lagi, 3 individu yang dinamakan dalam saman sivil itu belum dibuktikan sebarang kesalahan. Untuk pembuktian, DOJ perlu mengikut prosedur tertentu bagi mengesahkan wang digunakan trio ini sememangnya diselewengkan daripada 1MDB.

Sebagai langkah pertama, harta itu harus dirampas dulu. Setelah itu DOJ harus memastikan sekiranya aset-aset tersebut dituntut oleh mana-mana pihak. Jika tiada penuntut, maka aset itu akan dijual dan hasilnya akan dipulangkan kepada syarikat atau negara mangsa.
Meskipun DOJ dalam aduan awamnya menyatakan wang diselewengkan adalah daripada 1MDB, pihak 1MDB menafikannya. Menurut syarikat pelaburan strategik itu, setiap urusan kewangannya direkodkan dan tidak ada rekod mengenai pembelian aset di AS.
Dalam hal ini 1MDB mengesyaki wang yang didakwa diselewengkan itu mungkin ada kaitan dengan pembayaran AS$3.5 bilion oleh 1MDB kepada syarikat Aabar BVI. Namun, IPIC menafikan hak miliknya ke atas syarikat Aabar BVI pada April 2016.

Konspirasi kempen anti Najib
Harus diingat juga, pendakwaan DOJ bertitik tolak daripada laporan yang dibuat Khairuddin Abu Hassan, salah seorang pengikut setia Dr Mahathir. Oleh itu, kes saman sivil ini salah satu strategi kempen anti Najib diterajui Dr Mahathir untuk menggulingkan sebuah kerajaan yang dipilih secara demokrasi.

Sungguhpun kempen anti Najib, bersama pembangkang boleh menggunakan apa juga cara untuk menggulingkan PM, natijahnya tetap akan sama iaitu, Najib tidak akan berganjak daripada menjunjung amanah rakyat sebagai ketua negara, sekurang-kurangnya sehingga PRU14 ini.

Yang pasti, saman sivil DOJ ini akan hilang dihanyut arus masa seperti isu 1MDB yang digembar-gemburkan sebelum ini.

Pembangkang dan kempen anti Najib membuang masa
Sementara itu, barisan pembangkang dijangka bakal menerima tamparan hebat gara-gara penubuhan parti politik baharu pengikut Dr Mahathir tidak lama lagi.

Parti baharu yang bakal digerakkan golongan warga tua ini bukan saja akan ditolak golongan muda tetapi juga akan menyebabkan perpecahan di kalangan penyokong pembangkang yang serius.

Ini turut mencerminkan perpecahan di kalangan pengundi Melayu. Oleh itu, pihak pembangkang dinasihatkan elok memberi fokus bagaimana meraih sokongan terutama kaum majoriti negara daripada membuang masa menyebarkan spekulasi dangkal berhubung saman sivil DOJ yang tetap akan dilupakan rakyat tidak lama lagi.

FMT
Perpecahan Pembangkang Bakal Hanyutkan Saman Sivil AS Perpecahan Pembangkang Bakal Hanyutkan Saman Sivil AS Reviewed by BANkami Blog on July 25, 2016 Rating: 5

No comments:

Powered by Blogger.