Nasib Husam & Ugutan Keluar Amanah Di Kelantan


Selepas ramai pemimpin Parti Amanah Negara (AMANAH) dilantik memegang jawatan dalam kabinet, ramai yang tertanya-tanya apakah nasib naib presidennya, Husam Musa.

Husam dilihat berperanan besar khususnya di Kelantan, walaupun gabungan Pakatan Harapan (HARAPAN) tewas teruk pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) di negeri itu.

Pastinya ramai yang terkesan khususnya di kalangan rakan-rakan parti apabila sehingga hari ini, pengerusi HARAPAN Kelantan itu belum diberi sebarang jawatan oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahatahir Mohamad.

Kini, kepimpinan AMANAH Kelantan di pelbagai peringkat mula menyampaikan mesej bersolidariti dengan Husam.

Penyelaras HARAPAN Dewan Undangan Negeri (DUN) Apam Putra, Mohd Hisyamuddin Ghazali berkata, pihaknya sedar isu itu menjadi tajuk perbualan hangat di kalangan masyarakat sama ada di media sosial atau di kampung-kampung.

"Ia jelas bahawa isu pelantikan Husam ini sangat diambil berat oleh setiap ahli masyarakat (Kelantan). Pada saya, pelantikan Husam merupakan suatu detik yang ditunggu-tunggu rakyat Kelantan. Hari ini, dengan rendah diri saya mengajak untuk sama-sama bersolidariti untuk Husam. Semoga Kelantan lebih hebat dan cemerlang," katanya dalam tulisan di Facebook.

Terdahulu, nama Husam dikatakan bakal diangkat sebagai timbalan menteri di salah satu kementerian, namun Malaysiakini difahamkan beliau menolak tawaran tersebut.

Sementara itu, Ketua Pemuda AMANAH Pasir Puteh, Mohd Sabri Salleh turut bersolidariti buat Husam.

Malah, beliau memberi ancaman untuk keluar parti sekiranya bekas ADUN Salor itu tidak dilantik ke sebarang jawatan penting.

“Ambo (saya) akan pertimbang keluar daripada AMANAH," katanya di Facebook.

Bagaimanapun bagai Ketua Pemuda AMANAH Kelantan, Hazmi Hassan, pihaknya yakin dengan kebijaksanaan Dr Mahathir untuk meletakkan Husam di posisi terbaik khususnya buat negeri Kelantan.

"Ramai yang bertanya apa kedudukan Husam selepas PRU14, ramai yang bersedih apabila nama beliau tidak diangkat sebagai senator baru-baru ini. Namun, saya yakin beliau seorang yang ikhlas dalam perjuangan. Husam juga seorang yang tidak mudah berputus asa," katanya kepada Malaysiakini, hari ini.

Sumber : MK

Post a Comment

0 Comments