Blok Parti Melayu Versi PAS

Pas bersikap terbuka dengan sebarang kemungkinan wujudnya 'blok parti Melayu' pada masa hadapan dan bersedia meneliti cadangan itu bagi memastikan hak orang Melayu dan Islam di negara ini terbela.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, situasi sekarang menunjukkan kedudukan blok pembangkang semakin mengecil, manakala blok kerajaan pula semakin melebar sehingga mungkin membentuk majoriti dua pertiga di Parlimen.

Bagaimanapun katanya, beliau tidak yakin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan memilih untuk bersama Pas dalam blok parti Melayu tersebut buat masa ini.

Sekarang timbul kebimbangan orang Melayu apabila institusi-institusi agama diserang dan pelbagai isu melibatkan agama. Kita sudah mula fikir perlunya muafakat antara parti Melayu Islam dan saya fikir parti-parti ini perlu duduk bersama berbincang paling tidak pun untuk mempertahan hak sedia ada.
Keadaan bagaimanapun belum stabil. Buat masa ini, saya fikir Bersatu akan terus berada dalam Pakatan Harapan (PH)

Beliau mengulas kemungkinan parti-parti Melayu termasuk Bersatu akan bersama dalam satu blok yang sama, sekali gus berupaya membentuk kerajaan pada masa depan.

Dalam perkembangan lain, Tuan Ibrahim mengakui terdapat dua Ahli Parlimen Pas yang dikatakan menghadiri makan malam dengan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad malam kelmarin.

Tanpa menamakan dua wakil rakyat tersebut, Tuan Ibrahim berkata, pihaknya tidak dimaklumkan lebih awal mengenai pertemuan itu dan butir perbincangannya namun menyifatkan ia sebagai perkara biasa.

Saya sendiri beberapa kali jumpa Tun atas sifat dia sebagai ketua kerajaan. Bagi saya makan malam itu perkara biasa cuma dalam situasi kini, orang akan buat pelbagai andaian.


Zahid Enggan Tunduk, Kerjasama PAS-UMNO Diteruskan

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi tetap dengan pendiriannya untuk tidak tunduk terhadap desakan segelintir golongan yang mahu dirinya meletakkan jawatan dalam parti.

Beliau akan patuh hanya kepada peraturan dan Perlembagaan UMNO bagi mendapatkan dua pertiga majoriti perwakilan dalam Perhimpunan Agung UMNO Khas untuk menentukan dirinya kekal atau mengundurkan diri.

Ahmad Zahid juga akur dengan permintaan ahli-ahli akar-umbi yang mahu UMNO terus dimantapkan dan mendokong UMNO semula selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Saya tidak akan tunduk kepada desakan segelintir orang yang mahu saya mengundurkan diri. Saya akan patuh kepada hanya Peraturan dan Perlembagaan UMNO yang menentukan, jika dua pertiga perwakilan dalam Perhimpunan Agung UMNO Khas menentukan untuk saya mengundurkan diri.
Saya yakin masih ramai yang mahu terus bersama UMNO biarpun UMNO sebagai parti pembangkang. Malah, sokongan kian bertambah agar UMNO semakin perkasa,” katanya kepada Utusan Online ketika dihubungi, di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas desakan daripada beberapa pihak yang berasa tidak senang dan mahukan dirinya berundur daripada jawatan yang disandang dalam parti.

Malah, mereka menganggap Ahmad Zahid adalah individu yang perlu dipertanggungjawabkan terhadap situasi ramai pemimpin UMNO bertindak keluar parti.

Tambah Ahmad Zahid, UMNO juga akan bekerjasama dengan Pas untuk terus menterjemahkan agenda Islam dan Melayu serta menghormati kepelbagaian agama dan kaum di negara ini.

Katanya, UMNO menolak kerjasama dengan DAP dan tidak akan berkompromi dengan agenda yang meminggirkan Islam dan Melayu dilakukan secara halus atau terang-terangan.

Ahli-ahli UMNO di semua peringkat hendaklah merapatkan saf dan mengenepikan sebarang perbezaan pendapat dan pendirian demi penyatuan UMNO untuk melunaskan tanggungjawab kepada agama, bangsa dan tanah air.



UTUSAN UTUSAN


Post a Comment

0 Comments