KJ Bidas Nga Kor Ming - Perkataan 'Bodoh' Dalam Dewan Rakyat

Kesucian Dewan Rakyat Tercemar Kerana Sikap Timbalan Speaker

Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, YB Nga Kor Ming telah meminta saya untuk membuat permohonan maaf kerana perkataan ‘Taliban’ yang telah saya sebutkan ketika sesi Soalan Lisan di Parlimen pagi tadi. Walaupun saya telah menarik balik perkataan tersebut, beliau telah mengeluarkan kenyataan media agar saya meminta maaf kerana perkataan ‘Taliban’ tersebut kononnya telah mencemari kemuliaan Dewan Rakyat.

Nga Kor Ming harus sedar, perkataan ‘Taliban’ menjadi hangat kerana ianya dimulakan oleh beliau sendiri. Ketika berkempen di sebuah pasar pagi ketika PRK Cameron Highlands, beliau telah menuduh bahawa kerjasama UMNO dan Pas boleh menyebabkan permusuhan agama dan perkara ini telah dilaporkan oleh akhbar Oriental Daily pada 27 Januari 2019.

http://www.orientaldaily.com.my/s/276899

Selepas itu, pada 8 Mac 2019, ketika beliau membuat lawatan ke pasar pagi di Aulong, Taiping bersempena Hari Wanita Sedunia, beliau telah mengeluarkan kenyataan bahawa sekiranya kerjasama UMNO dan Pas berhasil, Malaysia mungkin menjadi seperti Afghanistan yang diperintah Taliban. Kenyataan yang dibuat Nga Kor Ming ini telah disiarkan oleh akhbar berbahasa Cina, Sin Chew Daily dan China Press.

https://www.sinchew.com.my/pad/con/2019-03/08/content_2019319.html
https://www.chinapress.com.my/20190308/倪可敏:巫统光明正大娶小三-马华国大党沦为弃妇/amp/

Walaupun kenyataan Nga Kor Ming dibuat di luar Dewan Rakyat, namun jawatan Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat adalah jawatan rasmi beliau bagi setiap masa selagi mana beliau memegang portfolio tersebut. Apa-apa kenyataan yang dibuat beliau merupakan refleksi jawatan yang disandangnya.

Nga Kor Ming turut menyatakan saya telah menghina Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat. Tetapi rakyat sendiri boleh menilai sikap tidak adil beliau sepanjang mempengerusikan Mesyuarat. Contohnya bagaimana beliau membenarkan perkataan ‘bodoh’ yang merupakan ‘unparliamentary word’ digunakan oleh Ahli Parlimen Tanjong pada hari Selasa (26 Mac 2019) lalu kononnya perkataan tersebut tidak ditujukan kepada mana-mana ahli Dewan. Sedangkan di bawah Peraturan Mesyuarat 36(4), adalah menjadi kesalahan bagi Ahli-ahli Dewan yang menggunakan bahasa kurang sopan (biadap) atau membuat kenyataan yang seksis. Tanpa perlu ditujukan kepada sesiapa sekalipun, ianya tetap salah.

Nga Kor Ming juga sudah beberapa kali menghalalkan perkara yang dalam pertimbangan mahkamah dibangkitkan di dalam Dewan yang jelas bertentangan dengan Peraturan Mesyuarat 36(2) seperti yang banyak kali disebut oleh Ahli Parlimen Jelutong. Jelas sekali, Nga Kor Ming telah membenarkan subjudis terhadap pertimbangan mahkamah. Ini bukan sahaja mencemar kemuliaan institusi Parlimen (legislature), malah telah turut masuk campur dan mencemarkan institusi kehakiman negara (judiciary).

Jadi kepada Nga Kor Ming, janganlah berselindung serta bersikap angkuh dengan jawatan serta jubah yang dipakai. Banyak kenyataan, tindakan serta keputusan yang telah dibuat beliau bukan sahaja telah mencemarkan ‘kemuliaan’ jawatan Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat serta institusi Dewan Rakyat, malah lebih teruk boleh mengganggu-gugat keharmonian rakyat di negara ini kerana cuba menyemai rasa sangsi serta membangkitkan rasa marah sebilangan rakyat di negara ini.

Khairy J

Post a Comment

0 Comments