Apabila Menteri Cuba Menjadi Perdana Menteri...

Menteri Sumber Manusia, M Kulasegaran hari ini mengeluarkan kenyataan bahawa  lepasan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) layak untuk menyambung pengajian dalam Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) kononnya sebagai usaha melahirkan lebih ramai tenaga kerja mahir tempatan.

Baru-baru ini Pengerusi Lembaga Kelayakan Profesion Undang-undang yang juga Peguam Negara, Tommy Thomas telah mengeluarkan kenyataan bahawa sijil UEC boleh diterima sebagai syarat bagi tujuan menduduki Peperiksaan Sijil Amalan Guaman (PSAG).

Walaubagaimanapun, beberapa hari lalu, Perdana Menteri telahpun mengeluarkan kenyataan bahawa bahawa keputusan untuk mengiktiraf UEC hanya boleh dibuat oleh kerajaan dan menyifatkan kenyataan yang dibuat oleh Tommy Thomas tersebut hanyalah sebagai ‘pendapat’ lembaga tersebut.

Jelas sekali, kenyataan terbaru Menteri Sumber Manusia ini bukan sahaja membelakangi kenyataan yang dibuat oleh Perdana Menteri, malah dibuat dalam keadaan tergesa-gesa. Kementerian Pendidikan telahpun menubuhkan pasukan petugas khas bagi meneliti isu berkaitan UEC termasuklah kemungkinan mengiktirafnya.

Persoalannya, adakah kenyataan yang dibuat oleh Menteri Sumber Manusia ini telah mendapat persetujuan kabinet? Sistem pendidikan negara ketika ini dibentuk menerusi Dasar Pendidikan Kebangsaan. Apa-apa kelayakan bagi kemasukan ke mana-mana institusi atau peperiksaan sekalipun mestilah berlandaskan Dasar Pendidikan Kebangsaan.

Sehingga kini, UEC masih belum diiktiraf. Laporan akhir berkenaan pengiktirafan UEC yang akan dibuat oleh Pasukan Petugas Dasar UEC ini hanya akan diketahui pada bulan Julai 2019. Kenyataan ini juga membayangkan tiadanya komunikasi antara pihak Kementerian Sumber Manusia dengan Kementerian Pendidikan dalam isu ini.

Isu berkenaan UEC ini telah menimbulkan rasa kurang senang rakyat. Saya yakin bahawa kerajaan hari ini sedar tentang perkara ini. Tetapi yang peliknya, kenapa sesetengah Menteri dilihat sengaja berterusan mahu menimbulkan rasa kurang senang ini?

Kalaupun Menteri tidak sabar hendak mengiktiraf UEC, tunggulah sehingga laporan akhir pasukan petugas khas dikeluarkan. Janganlah sampai membelakangi kenyataan Perdana Menteri.

Khairy J

Post a Comment

0 Comments