Mahathir Pelik TMJ Tidak Tahu Projek Hab Pemindahan Ke Kapal (STS)

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata beliau terkejut Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim tidak tahu mengenai projek hab pemindahan kapal ke kapal (STS) di negeri itu.

Mahathir berkata, rundingan mengenai projek tersebut telah berjalan sejak sekian lama.

"Dia (Tunku Ismail) di Johor. Ramai orang Johor tahu mengenai perkara ini. (Jadi) Saya terkejut. Dia tahu banyak perkara tapi perkara ini dia tidak tahu," katanya.

Mahathir mengulas mengenai satu hantaran dari Gerakan Muafakat Johor, yang turut dikongsi oleh Tunku Ismail di laman Facebook beliau.

Hantaran tersebut mendakwa bahawa projek itu memberi manfaat kepada kroni dan beberapa pemimpin dan Putrajaya gagal memaklumkan kepada kerajaan Johor mengenai hab perkapalan baru itu.

Bercakap pada majlis tandatangan antara syarikat yang terlibat dalam projek di Putrajaya hari ini, Mahathir berkata semua rakyat Malaysia adalah kroninya.

"Semua orang di Malaysia adalah kroni saya kerana saya bekerja untuk semua orang, termasuk mereka yang ada di Johor," katanya.

Semalam, Menteri Besar Johor Osman Sapian juga berkata yang beliau tidak tahu apa-apa mengenai isu tersebut.

Mengulas lanjut mengenai kenyataan Osman itu, Mahathir berkata menteri besar telah bertanyakan beliau mengenai isu itu sebelum ini, dan beliau telah memaklumkan Osman mengenai projek tersebut.

Mahathir berkata, Singapura pun telah dimaklumkan mengenai projek tersebut dan dimaklumkan ia tidak mencerobohi perairan mereka, kata Mahathir bahawa projek tersebut sudah diberitahu sejak tahun lalu.

Bagaimanapun, apabila ditanya sama ada projek itu telah dibincang bersama kerajaan negeri Johor secara terperinci, beliau berkata:

"Saya ingin tahu sama ada kerajaan Johor ingin menolak projek ini kerana setakat ini mereka tidak menolaknya, belum secara rasmi."

Malaysiakini

Post a Comment

0 Comments