Penahanan Zamri - Mufti Perlis Sifatkan "Islam Terancam" Dibawah Kerajaan PH



Terima saudara Firdaus. Inilah realiti yang kelihatan pada hari ini. Pelbagai kenyataan yang dibuat oleh individu-individu yang berada dalam kerajaan hari ini yang menghina Umat Islam dan menimbulkan ketegangan kaum, mereka hanya dipanggil untuk beri keterangan. Betapa ramai yang menghina Nabi Muhammad dan mempersenda ajaran Islam, juga hanya dipanggil memberikan keterangan.

Tapi, ceramah dalam masjid untuk umat Islam sahaja di KELANTAN oleh seorang yang menceritakan pengalaman peribadi menukar agama dan memilih agama Islam, telah menyebabkan beliau ditangkap. Apakah fakta beliau palsu? Apakah beliau menghina atau sekadar kisah dirinya sendiri? Apakah beliau bertujuan untuk menimbulkan ketegangan seperti kenyataan pemimpin-pemimpin yang telah menyebabkan peristiwa trajedi antara kuil dan pihak bomba? Tidak pula mereka itu ditangkap. Bagaimana dengan ucapan pemimpin-pemimpin politik dari agama lain yang sering menimbulkan permusuhan dengan masyarakat Islam?

Saudara Zamri di Perlis telah membuat banyak program membantu membina hubungan baik antara agama. Ziarah ke gereja, ke tokong dan pelbagai dialog harmoni beliau telah anjurkan di bawah One Centre Malaysia. Boleh lihat di media sosial mereka. Ucapan beliau itu hanyalah sedikit cerita pengalaman diri sebelum menganut Islam dibandingkan usaha beliau untuk hubungan antara agama.

Saya tidak menyalahkan pihak PDRM, tetapi ini berlaku kerana realiti politik yang membiarkan Umat Islam dibuli. Suara-suara mempertahankan Islam sukar kedengaran dalam kalangan yang memimpin pentadbiran hari ini melainkan sejumlah kecil. Apakah ini suatu keadilan?

Realiti ini menjadikan rakyat makin akur bahawa Islam berada dalam keadaan yang tidak begitu selamat di bawah pentadbiran hari ini.

Dr Maza

Post a Comment

0 Comments