Amah Didera Mati - Kes Pendakwaan Digugurkan.... Hmmmmmm

Seorang majikan yang dibebaskan setelah tuduhan mendera sehingga menyebabkan kematian pembantu rumahnya ditarik balik oleh pendakwa raya tidak akan berdepan dengan sebarang tindakan lanjut, kata peguamnya.

Anbananthan Yathiraju berkata, Jabatan Peguam Negara mengesahkan tidak berhasrat mengkaji semula pengguguran tuduhan itu terhadap anak guamnya Ambika MA Shan.

Pada 18 April lalu, Mahkamah Tinggi Pulau Pinang membebaskan Ambika daripada tuduhan mendera sehingga menyebabkan kematian warga Indonesia Adelina Jerima Sau yang dipaksa tidur di luar rumah dengan anjing.

Mahkamah memutuskan demikian susulan permohonan timbalan pendakwa raya untuk Ambika dilepas tanpa dibebaskan, suatu keputusan yang mengundang kritikan daripada aktivis dan pertubuhan bukan kerajaan tempatan serta kerajaan Indonesia.

Anbanathan berkata, pihak pendakwa raya mengesahkan ia tidak berhasrat menjalankan sebarang siasatan lanjutan terhadap kematian pembantu rumah berusia 21 tahun itu.

“Keputusan tidak teruskan dengan perbicaraan mungkin dibuat setelah… representasi mengemukakan bukti dokumen hospital mangsa yang mengaku kecederaan pada badan akibat terkena asid ketika mencuci tandas dan tidak sesiapa pun mendera mangsa,” kata Anbanathan kepada FMT.

Adelina diselamatkan pada Februari 2018 selepas ditemui tidur di luar rumah majikannya di Bukit Mertajam, Pulau Pinang.

Beliau mengalami kecederaan pada muka, tangan dan kaki dan meninggal dunia akibat kegagalan organ, sehari selepas dimasukkan ke hospital.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Tenaganita, Glorene A Das berkata, beliau dimaklumkan kes Adelina dalam proses untuk dirayu, namun akur tidak ada sebarang kenyataan rasmi daripada Jabatan Peguam Negara.

Ibu Adelina Yohana Banunaek sebelum ini dipetik berkata, bahawa beliau yakin anak perempuannya meninggal dunia “bukan kerana sakit tapi kerana didera”.

FMT

Post a Comment

0 Comments