Kelewatan RCI Kehakiman - Liew "Tangan Ghaib" Disebalik Penangguhan Penubuhan RCI ?

Peguam kanan Haniff Khatri Abdulla tidak yakin kelewatan penubuhan suruhanjaya siasatan diraja (RCI) bagi menyiasat salah laku badan kehakiman adalah berpunca daripada apa yang dijelaskan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Liew Vui Keong.

Kata Haniff Khatri sebagai seorang peguam alasan diberikan Liew itu tidak boleh diterima.

Katanya Liew bertindak salah apabila mendakwa RCI berkenaan perlu ditangguhkan sehingga keputusan saman difailkan bekas ketua menteri Sabah, Yeong Teck Lee, diputuskan mahkamah.

"Pertama sekali, dalam undang-undang sebarang hal hanya boleh dihentikan atau diberikan injuksi jika ada arahan mahkamah mengenainya.
"Apa yang kita tahu sekarang ialah Yong memfailkan saman itu (kira-kira) enam minggu lalu tetapi tiada arahan mahkamah agar penubuhan RCI tersebut dihentikan.
"Mengikut undang-undang kalau tak ada arahan mahkamah, kita perlu meneruskannya dan hanya apabila mahkamah menyatakan ia salah, barulah dihentikan," katanya kepada Malaysiakini hari ini.

Pada Feb lalu Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata kerajaan akan menubuhkan RCI bagi menyiasat dakwaan Hakim Mahkamah Rayuan Hamid Sultan Abu Backer.


Nafi ada tangan tersembunyi

Dalam afidavitnya Hamid juga menyatakan rasa kesal apabila ketua hakim negara ketika itu, Richard Malanjum tidak menubuhkan RCI.

Kata Haniff Khatri setakat ini sudah dua kali Liew menangguhkan penubuhan RCI berkenaan.

Pertama, kata peguam yang pernah bertindak bagi pihak Mahathir itu, apabila Liew memberi alasan RCI tersebut perlu ditangguhkan bagi memberi ruang kepada Malanjum menyiasat dakwaan tersebut.

"Ia (siasatan oleh Malanjut) cuma membuang masa," katanya.

Kata Haniff Khatri, Liew sepatutnya boleh meneruskan penubuhan RCI itu kerana mahkamah di Sabah akan mengambil kira hakikat yang badan terbabit menjalankan tugasnya dengan persetujuan Yang Di-Pertuan Agong.

"Apa yang saya katakan ialah, dia (Liew) boleh bermula, RCI boleh diadakan," katanya.

Dengan alasan berkenaan, kata Haniff Khatri, sudah cukup menunjukkan menteri terbabit tidak membantu menyelesaikan isu berkenaan mengikut konsep kedaulatan undang-undang.

"Ada sesuatu sedang berlaku," katanya lagi.

Siang tadi Malaysiakini melaporkan sesetengah pihak dalam PH - termasuk beberapa bekas hakim kanan - tidak bersetuju dengan penubuhan RCI terbabit.

Sumber peringkat tinggi memberitahu pihak, kumpulan yang menentang bimbang dengan berfungsinya RCI itu ada banyak hal yang tidak memihak kepada mereka akan terdedah.

Sumber itu juga menyatakan, ada kemungkinan wujud campur tangan dalaman di sebalik saman dikemukakan Yong.

Dalam kenyataan dikeluarkan kemudian Yong menafikan ada tangan tersembunyi yang mendorong beliau mengemukakan saman tersebut.

"Seperti yang dinyatakan dalam afidavit saya, saya menjadi mangsa campur tangan dalam bidang kehakiman berhubung petisyen pilihan raya pada 2000.
"Tetapi sebagai warganegara saya percaya salah laku kehakiman mesti ditangani mengikut peruntukan Perlembagaan Persekutuan dan bukannya dengan RCI.
“Ini akan menjadi duluan (precedent) jika tiada siapa yang bersuara membantah apabila perlembagaan kita dipijak," katanya dalam satu kenyataan kepada Malaysiakini

Malaysiakini

Post a Comment

0 Comments