PTPTN Bukan Janji PH - Dulu Siapa Yang Janjikan Pendidikan Percuma ?

Selepas hampir 19,000 maklum balas diterima daripada 5 sesi townhall, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) mendapati wujud tanggapan salah mengenai 2 janji kerajaan Pakatan Harapan kepada peminjam.

“Pendapat yang sering memerlukan pembetulan semasa sesi-sesi yang dilaksanakan secara langsung ini adalah salah tanggapan kerajaan menjanjikan peminjam tidak perlu membayar pinjaman mereka atau salah tanggapan pemansuhan PTPTN sebahagian daripada manifesto kempen kerajaan untuk pilihan raya umum ke-14,” kata Pengerusi Panel Penasihat Bebas Konsultasi PTPTN, Sheikh Shahruddin Sheikh Salim dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, jika penangguhan bayaran balik kepada peminjam berpendapatan RM4,000 dan ke bawah diperkenalkan, kutipan PTPTN akan jatuh satu pertiga, iaitu kepada RM950 juta setahun kerana 68% peminjam bergaji di bawah paras itu.

Katanya, itu antara fakta yang dimasukkan dalam kertas konsultasi PTPTN yang turut mengunjurkan siswazah baru bergaji permulaan RM2,000 dengan kenaikan gaji tahunan 5% memerlukan 15 tahun untuk mencapai gaji RM4,000.

“Persoalannya ialah sama ada bayar sekarang atau bayar kemudian apabila umur peminjam sudah mencapai lewat 30-an, tetapi bukan tidak membayar langsung yang merupakan andaian umum yang berleluasa.”

Sheikh Shahruddin berkata, rakyat bebas mencadangkan pemansuhan PTPTN, jika mereka sedar dan boleh menerima kesannya serta mempunyai idea lebih baik untuk menangani kesannya.

Katanya, jika PTPTN dimansuhkan, sektor swasta terpaksa menyediakan pinjaman pendidikan tinggi dan pelajar akan dibebani kadar faedah lebih tinggi kerana ujrah dikenakan PTPTN hanya 1%, tetapi faedah pinjaman komersial lebih tinggi.

Ketua Kumpulan Operasi Bank Malaysian Industrial Development Finance Berhad (MIDF) itu berkata, yang akan menerima kesan pemansuhan ialah pelajar miskin dan berpendapatan rendah (B40) kerana pinjaman komersial menetapkan syarat kelulusan lebih ketat.

“Dari perspektif kewangan, hutang semasa PTPTN yang berjumlah RM40 bilion terpaksa dialihkan kepada kerajaan dan pembayar cukai.
“Sekiranya peminjam yang masih berhutang dilepaskan, ada kemungkinan kerajaan terpaksa membayar balik peminjam bertanggungjawab yang sudah membayar pinjaman mereka sepenuhnya atau sedang membayar secara konsisten yang akan menambahkan bebanan kewangan negara.”

Beliau menggesa semua pihak, bukan hanya peminjam PTPTN memberi maklum balas sebelum 13 Jun ini menerusi konsultasi rakyat yang dilancarkan sejak 16 Mei lalu.

Sehingga kini, konsultasi rakyat merekodkan 18,862 penyerahan maklum balas daripada 180,163 pengunjung di laman web rasminya.

“Inisiatif konsultasi rakyat PTPTN dilaksanakan untuk memastikan pelbagai segmen rakyat diwakili bagi membolehkan Kabinet membuat keputusan yang adil, seimbang dan tidak hanya memenuhi satu kumpulan dan mengorbankan kepentingan kumpulan lain.”

Beliau berkata, 2 janji dalam manifesto PH ialah memansuhkan larangan perjalanan ke luar negara dan penangguhan bayaran balik pinjaman kepada peminjam berpendapatan RM4,000 ke bawah sebulan.

“Salah satu daripada janji-janji ini sudah dipenuhi dan kini Kabinet akan membincangkan sejauh manakah mereka mampu memenuhi janji kedua apabila kami mengemukakan kertas cadangan terakhir yang mengandungi maklum balas rakyat.

FMT

Post a Comment

0 Comments