Risiko Obesiti Kepada Kanak-Kanak - Ibubapa Jangan Ambil Mudah!


Adakah berat badan anak saya normal?

Berat badan kanak-kanak bertambah sepanjang proses tumbesaran. Berat badan yang sempurna (‘ideal weight’) juga bertambah mengikut umur.

Oleh itu, kita perlu merujuk kepada carta ‘body mass index’ (BMI) untuk mengetahui samada berat badan anak kita normal (rajah 1).


Apa yang dimaksudkan dengan berlebihan berat badan?

Berlebihan berat badan atau yang lebih serius ialah obesiti, telah ditakrifkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia, berdasarkan body mass index (Rujuk Gambar Dibawah)

Apakah maksud obesiti?

  1. BMI = berat (kg) / tinggi² (m²)
  2. Berlebihan berat badan: BMI melebihi ‘percentile’ ke 85 (Rujuk Gambar Dibawah)
  3. Obesiti : BMI melebihi ‘percentile’ ke 95
  4. Obesiti yang serius: BMI melebihi ‘percentile’ ke 99


Adakah masalah gemuk ini kerap berlaku di Malaysia?

Masalah gemuk di kalangan kanak-kanak dan remaja di Malaysia semakin meningkat dan telah mencapai 30%.


Apa yang menyebabkan obesiti?

Faktor persekitaran ialah faktor penyebab utama untuk obesiti walaupun kita tahu faktor genetik juga memainkan peranan.

Apabila ibu bapa gemuk, anak mempunyai risiko yang tinggi untuk menjadi gemuk kerana mengalami faktor persekitaran dan faktor genetik yang sama.

Faktor genetik tidak boleh diubah. Oleh itu, kita perlu menumpu perhatian kepada faktor persekitaran untuk mencegah obesiti.

Kurang daripada 1% kes berlebihan badan yang dirujuk ke hospital dikenalpasti berpunca daripada masalah hormon dan masalah genetik.

Walau apa pun penyebabnya, masalah obesiti berlaku apabila pengambilan kalori melebihi penggunaannya.

Peningkatan berat badan = pengambilan kalori > penggunaan kalori


Risiko kesihatan apabila berlebihan berat badan

Kanak-kanak berlebihan berat terdedah kepada pelbagai risiko kesihatan;
  1. Diabetes Mellitus jenis 2: Ini boleh berlaku pada kanak-kanak berusia seawal 8 tahun.
  2. Tekanan darah tinggi – Tekanan darah bertambah berikutan peningkatan berat badan yang berlebihan. Tekanan darah tinggi yang berpanjangan membebankan jantung dan membawa kerosakan kepada jantung.
  3. Masalah hati – Masalah hati berlemak (‘Fatty liver disease/ nonalcoholic steatohepatitis or NASH‘) sering berlaku di kalangan kanak-kanak obes dan boleh membawa kepada kegagalan fungsi hati (‘liver failure, cirrhosis‘).
  4. Kekurangan oksigen semasa tidur disebabkan rongga pernafasan yang tersekat (‘Obstructive sleep apnea‘): Kanak-kanak yang mempunyai masalah ini mempunyai tidur yang tidak sempurna, dan sering mengalami gangguan pernafasan yang berulang-ulang sepanjang waktu tidur. Mereka juga sering berdengkur semasa tidur. Keadaan ini boleh menyebabkan kematian sekiranya tahap kekurangan oksigen semakin merosot.
  5. Batu karang pada pundi hempedu (Gallstones) – Kanak-kanak yang obes mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk mengalami masalah ini.
  6. Kerosakan sendi – Ini berlaku kerana kanak-kanak obes terpaksa membawa berat yang berlebihan sepanjang masa. Kerosakan boleh berlaku pada sendi kaki.
  7. Sindrom metabolik dan risiko penyakit jantung – Sindrom metabolik terjadi apabila pesakit obes juga mempunyai kombinasi masalah-masalah lain seperti kolesterol tinggi, tekanan darah tinggi, dan paras glukos tidak normal. Ini berlaku di kalangan 30-40% kanak-kanak obes dan mereka mempunyai risiko penyakit jantung yang jauh lebih tinggi apabila usia mereka meningkat.
  8. Penyakit Jantung – ‘Atherosclerosis’ (perubahan pada dinding pembuluh darah) ialah masalah yang lazim berlaku pada kanak-kanak obes. Ia boleh berlaku seawal zaman kanak-kanak atau remaja, terutama pada mereka yang mengalami sindrom metabolik.
  9. Masalah haid – kanak-kanak perempuan yang obes sering mengalami akhil baligh lebih awal daripada yang biasa. Mereka juga mempunyai risiko fibroid pada rahim (‘uterine fibroid’) and masalah kitaran haid apabila dewasa.
  10. Membesar menjadi orang dewasa yang gemuk – Kanak-kanak obes lazimnya membesar menjadi orang dewasa yang gemuk. Setengah daripada orang dewasa yang gemuk juga gemuk pada zaman kanak-kanak.
  11. Kemurungan – Masalah obes sering dikaitkan dengan masalah kemurungan dan kurang keyakinan diri. Ini boleh menyebabkan masalah susah tidur, kurang aktif, makan berlebihan dan seterusnya menambahkan lagi berat badan pesakit obes.


Bagaimanakah mengatasi masalah obes pada kanak-kanak?

Orang dewasa yang obes harus mengurangkan berat badan. Kanak-kanak obes pula perlu mengekalkan berat sepanjang tumbesaran (berat kekal semasa tinggi sedang bertambah). Ini boleh memperbaiki semula kesihatan kanak-kanak obes.

Masalah kesihatan berkaitan dengan obes boleh dikurangkan dengan tabiat makan yang baik dan senaman yang kerap.

  1. Kegiatan fizikal setiap hari, selama sekurang-kurangnya 1 jam. Ini berkesan untuk mengawal berat badan dan mengurangkan risiko penyakit, di samping meningkatkan kekuatan otot. Kanak-kanak patut terlibat dalam pelbagai aktiviti fizikal yang menyenorokkan seperti senaman berpasukan, berenang, yoga, berbasikal, menari, atau berjalan-jalan pada waktu petang selepas makan malam. Senaman yang dilakukan tidak semestinya terlalu berat atau terlalu memenatkan. Senaman yang baik sepatutnya melibatkan pergerakan sendi dan penggunaan otot untuk menggalakkan pembinaan otot. Untuk kanak-kanak pra sekolah, permainan di taman permainan atau aktiviti diluar rumah perlu digalakkan.
  2. Sokongan dan minat ibu bapa terhadap aktiviti anak-anak mereka. Aktiviti yang dirancang perlulah sesuai dengan minat dan keupayaan fizikal kanak-kanak. Ibu bapa perlu memantau aktiviti fizikal anak dan membuat catitan menggunakan satu carta. Pujilah mereka sekiranya mencapai matlamat. Ibu bapa perlu menunjukkan teladan yang baik dan menjadikan aktiviti fizikal sebagai aktiviti sekeluarga.
  3. Hadkan aktiviti sedentari, iaitu tidak boleh melebihi 2 jam sehari (video atau wayang, permainan video, aktiviti komputer). Ini tidak termasuk ulangkaji dan kerja sekolah. Elakkan penggunaan lif dan lebihkan penggunaan tangga.
  4. Galakkan kanak-kanak makan 5 hidangan sayur dan buah-buahan setiap hari. Hiaskan pinggan makan untuk kanak-kanak dengan pelbagai warna menggunakan tomato, brokoli, jagung, karot, ubi kentang dan kacang hijau. Hidangkan buah-buahan segar seperti tembikai, belimbing, limau dan elakkan jus.
  5. Makan mengikut masa, iaitu untuk sarapan pagi, tengahari dan malam. Tanpa sarapan pagi, kanak-kanak akan berasa terlalu lapar menyebabkan terlebih makan kemudian. Makan sarapan pagi, tengahari dan malam di rumah bersama ahli keluarga. 
  6. Elakkan makan sambil menonton televisyen.
  7. Jangan meletakkan televisyen di bilik tidur anak.



Bilakah kanak-kanak obes perlu dirujuk kepada Pakar Pediatrik Endokrin?

Kanak-kanak obes perlu dirujuk ke Pakar Pediatrik Endokrin apabila:

  1. Terdapat komplikasi daripada obesiti.
  2. Diabetes Mellitus jenis 2 berlaku.

* Kanak-kanak obes yang mengalami masalah kemurungan perlu dirujuk kepada Pakar Psikologi.


Adakah ujian darah diperlukan untuk kanak-kanak obes?

* ‘Oral glucose tolerance test’ (Ujian darah untuk paras glukos pada permulaan ujian dan 2 jam selepas pengambilan glukos) mungkin perlu untuk pesakit tertentu.

  1. Ujian paras glukos (berpuasa) untuk mengesan penyakit diabetes mellitus. Ini perlu dilakukan pada kanak-kanak obes yang:
    • Berumur > 10 tahun (pada akhil baligh sekiranya ini berlaku sebelum umur 10 tahun).
    • Mempunyai 2 atau lebih faktor risiko.
    • Diabetes Mellitus jenis 2 dikalangan ahli keluarga (generasi pertama dan kedua) bangsa ‘African-American, Hispanic, American Indian, Asian, or Pacific Islander origin’.
    • Mempunyai ‘acanthosis nigricans’ (kulit gelap dan tebal pada leher), ‘polycystic ovary syndrome’, tekanan darah tinggi, dan masalah kolesterol tinggi.
  1. Ujian lain termasuk:
    • Ujian darah untuk paras kolesterol.
    • Ujian darah untuk fungsi hati (‘liver function test’).
    • Ultrasound untuk mengesan hati berlemak (fatty liver).


Apakah ubat yang berkesan mengurangkan berat badan kanak-kanak obes?

Penggunaan ubat langsing badan terhadap kanak-kanak obes adalah sangat terhaddisebabkan oleh kesan sampingan ubat kepada kanak-kanak yang sedang membesar. Walau bagaimanapun, penggunaan ubat kadang-kala boleh dipertimbangkan untuk jangka pendek bagi pesakit tertentu.


Bagaimana mencegah masalah berat badan berlebihan dikalangan kanak-kanak?

Bermula hari ini, pilihlah gaya hidup yang sihat. Amalkan senaman dan pengambilan makanan seimbang setiap hari.

Mengajar kanak-kanak tentang gaya hidup sihat akan meningkatkan proses pembelajaran mereka di sekolah di samping mengekalkan badan yang sihat dan kuat.

Ibu bapa disarankan untuk bekerjasama dengan pihak sekolah anak mereka bagi mewujudkan persekitaran yang baik.

Carta BMI untuk perempuan berumur 2 ke 20 tahun

Carta BMI untuk lelaki berumur 2 ke 20 tahun


MyHealth

Post a Comment

1 Comments