Penurunan Penarafan Penerbangan - Ketahui Apa Kesan Terhadap Negara & Ia Kali Pertama Dalam Sejarah Malaysia


Penurunan penarafan keselamatan penerbangan Malaysia ke tangga kedua oleh Pentadbiran Penerbangan Persekutuan Amerika Syarikat (FAA) mempunyai impak yang amat serius dari pelbagai aspek kepada Malaysia.

Ini adalah penurunan buat kali pertama dalam sejarah Malaysia dan kita sekarang sama taraf dengan negara Bangladesh, Ghana dan Costa Rica.

Penarafan FAA ini bukan sahaja menghalang perkembangan penerbangan Malaysia ke Amerika Syarikat, tetapi ianya juga memberi kesan di seluruh dunia kerana penarafan FAA ini diiktirafkan dan diguna pakai oleh hampir semua negara.

Ia juga memberi kesan kepada syarikat penerbangan MAS yang berkongsi kod dengan syarikat penerbangan lain seperti dalam penyertaannya dalam gabungan OneWord Alliance.

Di antara13 syarikat penerbangan dalam gabungan ini, hanya MAS satu-satu sahaja yang kini mempunyai penarafan kedua.

Jika MAS disingkir dari gabungan ini, maka pendapatan MAS akan terjejas.

Selain memberi persepsi negatif kepada negara, penurunan taraf ini juga sedikit-sebanyak menjejaskan industri pelancongan kita serta meningkatkan kos insurans dan kos sewa-beli kepada syarikat penerbangan, industri pembinaan Aeroangkasa dan industri MRO Malaysia.

Saya perhatikan ada yang membuat andaian salah bahawa penurunan taraf ini ada kaitan dengan tragedi MH370 dan MH17 pada tahun 2014.

Tidak.

Kali terakhir audit dibuat oleh FAA sebelum ini ialah dalam tahun 2016 dan kita lulus masa itu.

Faktanya ialah penurunan ini adalah akibat audit terbaru yang dibuat ke atas Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) pada bulan April tahun ini.

Walaupun kita diberi tempoh beberapa bulan untuk peluang memperbetulkan kesalahan yang dikenalpasti dalam audit bulan April ini, tetapi kita gagal juga.


Krisis CEO CAAM

Lagi aneh ialah semasa audit dibuat, CAAM sebenarnya tidak ada pengerusi! Pengerusi yang dilantik kerajaan BN dahulu telah meletak jawatan pada bulan Ogos tahun 2018.

Tetapi penggantinya hanya dilantik oleh kerajaan PH pada bulan September 2019 - iaitu13 bulan kemudian.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) CAAM juga telah meletak jawatan pada bulan lepas dan dalam tempoh krisis sekarang, CAAM tidak ada CEO pula.

Bukan itu sahaja. Menteri Pengangkutan DAP yang sepatutnya bertanggungjawab ke atas CAAM ini masih membisu tentang penurunan taraf ini.

Buat-buat macam tak apa-apa.


Penarafan Turun Dibawah Pemerintahan PH

Di bawah kerajaan PH, banyak yang telah dituruntarafkan:

  1. Penarafan kredit PETRONAS dituruntaraf pada bulan Jun 2019
  2. Unjuruan pertumbuhan ekonomi berulang kali diturunkan
  3. Kedudukan Malaysia dalam indeks bon dunia FTSE Russell diletakkan dalam watch-list untuk dituruntaraf
  4. Malaysia disingkirkan dari tempat pertama sebagai destinasi pelaburan paling menarik ke tempat ke-13 di belakang Vietnam
  5. Kita diturun taraf dari pasaran saham paling lama menaik dalam dunia menjadi paling corot dalam dunia
  6. Dan terkini ialah penarafan keselamatan penerbangan Malaysia diturunkan taraf buat kali pertama dalam sejarah.


PH sering tuduh BN merosakkan negara.

Tetapi "baby baru lahir" mana yang sebenarnya terus merosakkan negara?

Najib Razak

Post a Comment

0 Comments