Hak Sekatan Masuk Sarawak Yang Perlu Kita Tahu


Kerajaan Negeri Sarawak mempunyai hak untuk membuat sebarang sekatan kepada mana-mana individu daripada memasuki negeri itu.

Pakar Perlembagaan, Prof Madya Dr Shamrahayu Abd Aziz berkata, kenyataan itu berdasarkan kepada kuasa autonomi dalam hal ehwal imigresen yang dimiliki Sarawak sejak pembentukan Malaysia lagi.
“Jadi, dari segi perundangan, sekiranya dibuktikan bahawa sekatan yang dilakukan itu bertepatan dengan hasrat undang-undang sebenar, maka sekatan boleh dibuat.
“Contohnya, hak imigresen dipegang oleh Sarawak dalam aspek kerajaan negeri mendapati penting untuk mereka menggunakan kuasa sekatan tersebut, mungkin dari segi keselamatan, perpaduan atau apa jua yang difikirkan perlu dan patut oleh kerajaan negeri...boleh sekatlah,” katanya kepada Sinar Online, hari ini.
Sebelum ini, ramai pemimpin pembangkang disekat daripada memasuki Sarawak terutama ketika kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak itu dan keputusan tersebut dipertikai kerana ia dibuat selepas Dun dibubarkan yang menjadikan status kerajaan negeri sedia ada hanya kerajaan sementara.

Namun menurut Shamrahayu, status kerajaan sementara itu tidak membawa apa-apa perubahan selagi kuasa menentukan undang-undang imigresen itu milik Kerajaan Negeri Sarawak.

“Bagi saya, sama ada kerajaan sementara di Sarawak ini boleh menggunakan kuasa tersebut, saya fikir itu tidak berbeza sama ada ia kerajaan sementara atau kerajaan sah kerana institusi yang menentukan undang-undang imigresen itu masih lagi Kerajaan Negeri Sarawak.

“Sekiranya dia mendapati itu adalah perlu bagi negeri Sarawak, maka itu adalah tertakluk kepada budi bicara negeri Sarawak,” katanya.

Tambahnya, “Sabah juga mempunyai kuasa yang sama. Semasa kita tubuhkan Malaysia,(kuasa autonomi imigresen) itu adalah antara Sabah dan Sarawak mahukan. Selagi kuasa itu masih di tangan Sarawak, maka kerajaan Sarawak lah yang menentukan apa yang patut dan perlu untuk negeri itu.

Terbaharu, Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar dilarang memasuki Sarawak selepas tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching mengikut Seksyen 8 (3) Akta Imigresen 1959/63 dan diminta meninggalkan negeri itu melalui penerbangan seterusnya.

Dua pemimpin tertinggi pembangkang, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Lim Guan Eng pula masing-masing diberi tempoh sehingga 2 Mei dan 5 Mei sahaja untuk berada di Sarawak.

PRN Sarawak akan berlangsung pada Sabtu ini menyaksikan 82 Dun dipertandingkan, dan daripada jumlah itu, dua Dun dimenangi BN tanpa bertanding iaitu di Dun Bukit Sari serta Dun Bukit Kota.

Post a Comment

1 Comments

  1. Undang2 malaysia. Sarawak tak bleh masuk tapi boleh masuk dewan rakyat. Bangang ker ape KM sarawak ni. Kalau pengganas takkan masuk dalam dewan rakyat.

    Buta buta rakyat sarawak kena kencing dgn BN

    ReplyDelete