KS | Ong Kian Ming - Apa Masalah DAP Persoal Najib Ditahan Dirumah?

Bekas Ahli Parlimen Bangi, Dr Ong Kian Ming mempersoalkan pendirian DAP berhubung isu tahanan rumah Datuk Seri Najib Razak. Dalam podcast Keluar Sekejap EP218, beliau membangkitkan persoalan mudah tetapi cukup tajam: 

DAP sebenarnya tidak bersetuju dengan keputusan Anwar Ibrahim membawa perkara Najib ke Lembaga Pengampunan, keputusan Yang di-Pertuan Agong memberikan pengampunan, atau pelaksanaan tahanan rumah itu sendiri? Kalau tidak bersetuju, bahagian mana sebenarnya yang menjadi masalah?

Ong turut berpandangan DAP sepatutnya mengambil tindakan politik yang lebih tegas, termasuk mendesak Anwar menyingkirkan menteri UMNO daripada Kabinet, bukannya sekadar meletakkan jawatan seorang menteri. Beliau sebelum ini juga mencadangkan DAP memberikan kata dua kepada Perdana Menteri sebagai bukti kesungguhan pendirian mereka. Persoalannya, adakah peletakan jawatan Anthony Loke sahaja sudah cukup untuk menunjukkan bantahan DAP?

Nampaknya isu Najib bukan sahaja menguji UMNO dan kerajaan perpaduan, malah turut menguji konsistensi DAP sendiri. Kalau benar sesuatu keputusan itu melanggar prinsip perjuangan, tindakan politik sepatutnya lebih jelas. Keluar Kerajaan! Berani?!


PRN Melaka: BN-PN Dijangka Menang 24 Kerusi! PH 2 Kerusi Yang Menyedihkan?

Kajian terbaharu ILHAM Centre meletakkan kerjasama Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) di hadapan apabila diunjurkan mendahului 24 daripada 28 kerusi DUN Melaka. Antara angka paling menarik ialah 91% penyokong PN bersedia mengundi calon BN, manakala 78% penyokong BN pula sanggup memberikan undi kepada calon PN. Ini menunjukkan kerjasama kedua-dua gabungan berpotensi mengurangkan perpecahan undi dalam kalangan penyokong mereka.

Satu lagi faktor yang menyumbang kepada kedudukan BN ialah penerimaan terhadap Ketua Menteri Ab Rauf Yusoh yang mencatatkan 86%, manakala pentadbiran kerajaan negeri mendapat 85%. Sebaliknya, PH dijangka lebih selesa di Kota Laksamana dan Bandar Hilir, sementara Ayer Keroh serta Kesidang masih menjadi kawasan persaingan sengit. Namun, ada satu angka yang tidak boleh dipandang ringan: 

21% pengundi bawah 30 tahun masih belum membuat keputusan ketika kajian dijalankan

Kajian melibatkan 805 responden di seluruh 28 DUN dengan margin ralat 3.45% pada tahap keyakinan 95%. Tetapi perlu diingat, angka 24 kerusi itu hanyalah unjuran, bukannya keputusan pilihan raya. Esok, 687,697 pengundi berdaftar menjadi penentu sebenar. Persoalannya, adakah sokongan BN-PN benar-benar diterjemahkan di peti undi, atau bakal berlaku kejutan pada saat akhir? 


Sumber : Ilham Centre



Kena Hack?! Microsoft 365 Lumpuh! Outlook, Teams, SharePoint dan Copilot Turut Terjejas

Pengguna Microsoft 365 berdepan gangguan perkhidmatan berskala besar apabila beberapa aplikasi utama termasuk Outlook, Exchange Online, Microsoft Teams, SharePoint dan Copilot mengalami masalah akses. Gangguan ini memberi kesan kepada pengguna yang bergantung kepada perkhidmatan Microsoft untuk urusan e-mel, mesyuarat, perkongsian dokumen dan kerja harian.

Microsoft mengesahkan punca gangguan bukan disebabkan lonjakan trafik pengguna. Sebaliknya, sejumlah besar pelayan dilaporkan tiba-tiba tidak tersedia selepas gagal melepasi pemeriksaan kesihatan sistem (health checks). Keadaan ini menyebabkan beban operasi meningkat pada pelayan lain yang masih berfungsi. Apabila sebahagian infrastruktur gagal, sistem lain pula terpaksa menanggung beban tambahan.

Microsoft sedang mengambil langkah memulakan semula pelayan terjejas, menguji pembaikan konfigurasi dan mengagihkan semula trafik ke seluruh rangkaian global. Insiden ini direkodkan dengan nombor rujukan EX1550543. Kejadian ini menjadi peringatan bahawa perkhidmatan awan gergasi seperti Microsoft 365 juga tidak terlepas daripada gangguan teknikal. 

Bayangkan jika e-mel pejabat, mesyuarat dalam talian dan dokumen kerja semuanya bergantung kepada satu platform yang tiba-tiba bermasalah. Digital memang memudahkan kerja, tetapi apabila sistem tergendala, satu dunia kerja boleh turut terhenti.


Perang Iran Semakin Merebak! Radar AS di Bahrain Jadi Sasaran, Trump Tangguh Serangan Baharu

Konflik Asia Barat semakin tegang apabila Houthi mendakwa melancarkan serangan terhadap infrastruktur minyak Arab Saudi termasuk kemudahan Aramco. Terbaharu, Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) mendakwa menyasarkan radar amaran awal milik Amerika Syarikat di Bahrain sebagai tindak balas terhadap serangan ke atas menara telekomunikasi di Sirik, Iran. Bahrain pula menempatkan ibu pejabat Armada Kelima Tentera Laut AS. Dakwaan kemusnahan radar itu masih belum disahkan secara bebas.

Dalam perkembangan lain, Donald Trump mendakwa beliau menangguhkan serangan baharu terhadap Iran selepas menerima permintaan daripada negara-negara Teluk. Namun, Tehran memberi amaran bahawa mana-mana negara yang menyediakan bantuan ketenteraan atau logistik kepada operasi AS akan dianggap turut terlibat dalam tindakan terhadap Iran. Pada masa sama, serangan Israel ke atas Hospital Nasser di Gaza yang mengorbankan sekurang-kurangnya tujuh orang turut mencetuskan pertikaian apabila Board of Peace menggesa pelaksanaan pelan damai Trump, tetapi Hamas menolak kenyataan tersebut kerana didakwa mengulangi naratif Israel.

Apa yang berlaku sekarang menunjukkan konflik ini semakin kompleks. Kemudahan minyak, pangkalan tentera, radar pertahanan dan infrastruktur awam semuanya menjadi sebahagian daripada risiko peperangan. Arab Saudi dan China pula sedang berbincang mengenai ketegangan serantau. Jika keadaan terus meruncing, kesannya bukan sekadar kepada negara Teluk, tetapi boleh mengganggu bekalan minyak, perdagangan dan ekonomi dunia. Perang mungkin berlaku di Timur Tengah, tetapi kesannya boleh sampai ke Malaysia melalui harga minyak dan kos sara hidup.

Sumber rujukan: Al Jazeera – Serangan radar AS di Bahrain⁠ · Trump tangguh serangan Iran⁠ · Amaran diplomatik Iran⁠ · Board of Peace dan serangan Hospital Nasser⁠

Netanyahu, Jangan Memandai Serang Iran! Gadi Eisenkog Beri Amaran Keras

Ketegangan politik Israel semakin memuncak apabila Gadi Eisenkot, Ketua Parti Yashar yang kini diberi mandat membentuk kerajaan baharu, memberi amaran keras kepada Benjamin Netanyahu supaya tidak melancarkan tindakan ketenteraan yang tidak mendesak, khususnya ketika negara itu sedang melalui tempoh peralihan kuasa. Eisenkot bimbang keputusan ketenteraan tanpa ancaman segera boleh membawa kesan buruk kepada demokrasi dan kepercayaan rakyat terhadap institusi negara.

Amaran ini hadir ketika timbul laporan bahawa Netanyahu sedang mempertimbangkan tindakan ketenteraan baharu terhadap Iran, walaupun terdapat perbezaan pandangan dengan ketua tentera Israel. Lebih menarik, Netanyahu masih memegang kuasa sebagai Perdana Menteri sementara meskipun bloknya kehilangan majoriti di Parlimen. Pejabat Netanyahu pula menegaskan keputusan keselamatan kerajaan dibuat berdasarkan pertimbangan keselamatan dan penyelarasan dengan pihak tentera.

Persoalannya, adakah Israel benar-benar bersedia membuka satu lagi medan peperangan ketika politik dalam negara sendiri belum selesai? Serangan terhadap Iran bukan perkara kecil. Kesannya boleh merebak ke seluruh Asia Barat, mengganggu bekalan minyak dan mencetuskan ketegangan antarabangsa. Ancaman terbesar kini bukan sekadar musuh di luar sempadan, tetapi keputusan terburu-buru pemimpin sendiri.

Sumber: The Times of Israel⁠

Israel Mula Bersiap Sedia Serang Iran, Iran Beri Amaran Serangan Balas Lebih Besar!

Ketegangan Iran dan Israel kembali memuncak. Menurut laporan Al Jazeera pada 12 November 2026, kabinet keselamatan Israel dilaporkan mengarahkan tenteranya meningkatkan persiapan bagi kemungkinan serangan baharu terhadap Iran. Dalam masa sama, pemimpin keselamatan Iran, Mohsen Rezaei memberi amaran bahawa jika Amerika Syarikat melancarkan serangan baharu, pangkalan tentera yang terlibat dari Asia Barat hingga Eropah boleh menjadi sasaran tindak balas Iran. Amaran kali ini bukan sekadar tertumpu kepada Israel.

Apa yang lebih membimbangkan, Iran turut memberi isyarat bahawa keadaan tanpa perang dan tanpa keamanan tidak boleh berterusan selama-lamanya. Selat Hormuz yang menjadi laluan penting perdagangan minyak dunia juga menjadi sebahagian daripada pertikaian ini. Presiden Donald Trump pula masih membuka ruang diplomasi, tetapi pilihan ketenteraan belum diketepikan sekiranya rundingan gagal. Ini bermakna rantau tersebut masih berada dalam keadaan tidak menentu.

Jika serangan baharu benar-benar berlaku, kesannya bukan hanya dirasai oleh Iran dan Israel. Harga minyak, kos penghantaran, perdagangan antarabangsa dan ekonomi negara pengimport tenaga boleh menerima tempias. Malaysia juga tidak terkecuali daripada kesan kenaikan harga minyak dunia. Persoalannya, adakah ini sekadar perang saraf untuk menekan pihak lawan atau permulaan kepada pusingan konflik yang lebih besar? Dunia kini menunggu langkah seterusnya.


Sumber: Al Jazeera – Iran Warns of Expanded Retaliation⁠

Data Kesihatan Singapura Kena Hack? Lebih 4,000 Rekod Pekerja Berisiko Terbongkar!

Sektor kesihatan Singapura berdepan satu lagi insiden keselamatan siber. Agensi Integrasi Penjagaan (AIC) mengesahkan sistem IT mereka mengalami pencerobohan pada 10 November 2026. Maklumat sehingga 4,064 kakitangan institusi kesihatan awam dan penyedia penjagaan komuniti berpotensi diakses pihak tidak dibenarkan. Data yang terlibat termasuk nama, nombor telefon, e-mel dan nombor NRIC.

Bagaimanapun, AIC menjelaskan setakat siasatan awal, tiada petunjuk rekod perubatan atau data pesakit telah diceroboh. Lebih membimbangkan, insiden ini bukan kes terpencil. Kementerian Kesihatan Singapura turut mengesahkan insiden siber melibatkan enam organisasi sektor kesihatan, termasuk AIC, Doctor Anywhere, Fullerton Health, Minmed dan Dementia Singapore.

Persoalannya, kalau sistem kesihatan negara maju seperti Singapura pun boleh ditembusi, bagaimana pula tahap keselamatan data kesihatan digital negara kita? Data perubatan bukan sekadar nama dan nombor telefon. Ia melibatkan maklumat paling peribadi seseorang. Sekali bocor, kesannya boleh berpanjangan. Dalam dunia semakin digital, keselamatan data pesakit bukan lagi pilihan, tetapi satu keperluan kritikal.


Sumber: CNA – AIC Cybersecurity Incident⁠


Lenovo Legion Tab Gen 5: Tablet Mini Paling Berkuasa U tuk Gamers!

Kalau sebelum ini kita biasa tengok tablet digunakan untuk tengok YouTube, membaca, buat kerja atau bermain game Android, nampaknya Lenovo cuba bawa pengalaman tablet ke tahap yang berbeza.

Lenovo Legion Tab Gen 5 menjadi perhatian dimana Tablet Mini ini bukan sekadar direka untuk bermain Mobile Legends atau PUBG Mobile sahaja tetapi hadir bersama cip pemproses berkuasa tinggi, ia juga berpotensi menjalankan permainan PC melalui teknologi emulasi Steam. Memang menarik untuk kaki gaming!

Skrin 8.8 inci, saiz kecil tetapi cukup selesa

Lenovo Legion Tab Gen 5 hadir dengan skrin berukuran 8.8 inci menggunakan nisbah paparan 16:10. Saiz ini boleh dikatakan agak ideal untuk mereka yang mahukan tablet gaming mudah dibawa ke mana-mana.

Tak terlalu besar seperti tablet 12 inci, tetapi masih cukup luas untuk bermain permainan, menonton video dan melayari internet. Antara ciri paparannya:

  • Skrin LCD 8.8 inci.
  • Kecerahan sehingga 600 nits dan 800 nits dalam mod HBM.
  • Reka bentuk kompak dengan berat sekitar 360 gram.
  • Kemasan hitam matte.

Cuma ada satu perkara yang agak mengecewakan. Pada harga premium, Lenovo masih menggunakan panel LCD dan bukannya OLED.

Snapdragon 8 Elite Gen 5, memang bukan calang-calang!

Lenovo Legion Tab Gen 5 menggunakan cip Snapdragon 8 Elite Gen 5 yang mampu mengendalikan pelbagai permainan Android berprestasi tinggi.

Permainan seperti Asphalt Legends dan judul-judul daripada HoYoverse boleh dijalankan dengan baik berdasarkan pengalaman pengulas. Tetapi perkara yang lebih menarik ialah kemampuan tablet ini menjalankan permainan PC melalui emulasi Steam menggunakan aplikasi seperti DroidDeck.

Dalam ujian yang dikongsikan 9to5Google, permainan Persona 3 Reload berjaya dijalankan pada tablet ini. Walaupun tetapan grafik perlu diturunkan kepada tahap rendah dan terdapat sedikit gangguan prestasi, ia tetap satu pencapaian menarik untuk sebuah tablet Android bersaiz kompak.

Bayangkan boleh membawa pengalaman permainan PC dalam sebuah tablet yang boleh dimasukkan ke dalam beg!

Bateri & Pengecasan

Untuk penggunaan harian, Lenovo Legion Tab Gen 5 turut menawarkan beberapa ciri menarik. Antaranya:

  • Pengecasan pantas 68W.
  • Dua port USB-C.
  • Pembesar suara stereo.
  • Ketahanan bateri yang memuaskan berdasarkan ujian pengulas.

Dua port USB-C juga memberikan lebih fleksibiliti ketika menggunakan tablet dalam kedudukan melintang atau menegak.

Bukan semuanya sempurna, ada beberapa kelemahan

Walaupun prestasinya mengagumkan, tetapi ia turut mendedahkan beberapa perkara kelemahan yang perlu dipertimbangkan. Antaranya:

  1. Tiada skrin OLED – agak mengecewakan untuk tablet dalam kategori harga premium.
  2. Perisian belum cukup matang – terdapat masalah kelancaran antaramuka, auto-rotate dan beberapa pepijat.
  3. Tiada pengimbas cap jari – hanya menggunakan pengecaman wajah melalui kamera.
  4. Aplikasi prapasang – terdapat beberapa aplikasi tambahan yang mungkin tidak diperlukan pengguna.
  5. Harga agak mahal – pengulas turut mempersoalkan nilai yang ditawarkan berbanding pesaing.

Berbaloi ke beli Lenovo Legion Tab Gen 5?

Pada pandangan kami, Lenovo Legion Tab Gen 5 memang menarik untuk mereka yang mahukan tablet gaming bersaiz kecil tetapi mempunyai prestasi tinggi. Kelebihan utamanya ialah gabungan saiz kompak, cip pemproses berkuasa dan potensi menjalankan permainan PC melalui emulasi.

Namun, kalau tujuan utama sekadar menonton Netflix, YouTube, membaca atau membuat kerja biasa, mungkin banyak pilihan tablet lain yang lebih menjimatkan. Kalau anda memang kaki gaming dan mahukan tablet yang berbeza daripada kebanyakan tablet Android di pasaran, model ini memang boleh masuk dalam senarai pertimbangan.

Berapa harga dan tawaran Lenovo Legion Tab Gen 5 di Shopee? Boleh semak melalui pautan di bawah. 

👉 SEMAK HARGA LENOVO LEGION TAB GEN 5 DI SHOPEE

Nota: Harga dan tawaran tertakluk kepada perubahan pihak penjual.


Sumber: 9to5Google – Lenovo Legion Tab Gen 5 Review (11 November 2026).

Claude Sheets dan Whiteboards Dilancarkan – AI Gantikan Excel dan PowerPoint?

Selama ini kita kenal Claude sebagai chatbot AI yang boleh menulis, menjawab soalan dan membantu menghasilkan kod. Tetapi nampaknya Anthropic mahu pergi lebih jauh. Terbaharu, syarikat di sebalik Claude memperluas produk AI mereka dengan beberapa aplikasi kerja baharu seperti Claude Sheets, Claude Whiteboards dan Claude Meetings.

Maksudnya, Claude bukan sekadar membantu kita menggunakan aplikasi pejabat. Anthropic mula membina pengalaman kerja pejabat sendiri yang berasaskan AI. Persoalannya, adakah ini permulaan kepada persaingan lebih serius dengan Microsoft Office dan Google Workspace?

Claude Sheets – AI untuk kerja spreadsheet


Ciri baharu yang menarik, Claude Sheets direka untuk membantu pengguna bekerja dengan data dan spreadsheet. Antara kegunaan yang ditawarkan:
  • Menyusun dan menganalisis data.
  • Membantu menghasilkan jadual dan pengiraan.
  • Memudahkan kerja dengan spreadsheet.
  • Membantu pengguna memahami maklumat dalam data.

Ini menarik untuk pengguna yang selalu bekerja dengan angka, laporan kewangan, jualan dan rekod perniagaan. Namun, Claude Sheets bukan sekadar nama baharu untuk Microsoft Excel. Ia merupakan pengalaman spreadsheet dalam ekosistem Claude sendiri.

Persoalannya, mampukah claude sheet mengawalselia big data sheet. Sehingga masa kini, hanya googlesheet dan microsoft excel sahaja yang mampu untuk untuk kerja membabitkan jumla column dan row data yang banyak.

Claude Whiteboards – Susun idea tanpa perlu mahir design


Satu lagi produk yang diperkenalkan ialah Claude Whiteboards. Fungsinya lebih kepada ruang visual untuk menyusun idea, perancangan dan maklumat. Contohnya:

  • Membina peta minda.
  • Menyusun aliran kerja.
  • Merancang projek.
  • Menghubungkan idea dan maklumat secara visual.

Pengguna boleh menggunakan AI untuk membantu menyusun idea tanpa perlu bermula daripada halaman kosong. Mungkin claude whiteboard akan menjadi pencabar utama canva whiteboard?

Claude Meetings – AI boleh bantu urus mesyuarat

Anthropic turut memperkenalkan Claude Meetings. Antara fungsi yang ditawarkan ialah membantu menyertai mesyuarat dan menyediakan nota berdasarkan perbincangan.

Bayangkan selepas mesyuarat, kita mempunyai nota yang lebih tersusun, perkara yang perlu dibuat dan tindakan susulan. Ciri ini sangat berguna untuk pekerja pejabat, pengurus projek dan pasukan syarikat.

Claude sebenarnya sudah boleh hasilkan fail Excel dan PowerPoint

Sebelum pengumuman produk baharu ini, Claude memang sudah mempunyai keupayaan menghasilkan fail pejabat. Pengguna boleh meminta Claude menyediakan:

Format Kegunaan
Excel (.xlsx) Jadual, formula, bajet dan analisis
PowerPoint (.pptx) Slaid pembentangan
Word (.docx) Laporan dan dokumen
PDF Dokumen untuk perkongsian

Lebih menarik, Claude juga mempunyai integrasi khusus dengan Microsoft Excel dan PowerPoint. Pengguna boleh meminta AI membantu membina model kewangan, mengubah formula, menghasilkan carta dan menyediakan slaid pembentangan menggunakan kandungan daripada dokumen atau spreadsheet.

Jadi, Anthropic sebenarnya bergerak melalui dua pendekatan: menghasilkan fail sendiri dan membawa Claude terus ke dalam aplikasi Microsoft Office.

Adakah semua pengguna boleh menggunakannya secara percuma?

Setiap perkara tidak boleh lari dari kewangan, kerana kita yang hidup dalam dunia kapitalis semestinya perlu membayar segalanya. Berdasarkan laporan pelancaran terbaharu:

Produk Ketersediaan
Claude Sheets Pengguna berbayar
Claude Whiteboards Pengguna berbayar
Claude Meetings Pelan Team dan Enterprise
Penciptaan fail Excel dan PowerPoint Semua pelan Claude, termasuk Free
Claude untuk Excel dan PowerPoint Pelan berbayar

Ketersediaan ciri baharu boleh berubah mengikut proses pelancaran dan negara. Pengguna percuma masih boleh menghasilkan fail Excel dan PowerPoint melalui fungsi penciptaan fail Claude, tetapi tidak semestinya mendapat semua fungsi produk baharu.

Microsoft Office bakal mendapat pesaing baharu?

Microsoft mempunyai kelebihan besar kerana Excel, Word dan PowerPoint sudah digunakan oleh jutaan organisasi. Google pula mempunyai ekosistem Docs, Sheets dan Slides yang terhubung dengan Drive. Ditambah lagi google sheet juga sudah terbina dengan gemini dan lebih advance boleh membina dashboard canvas dengan bantuan gemini(untuk pengguna google ai pro).

Claude perlu membuktikan bahawa produknya bukan sekadar menarik ketika pelancaran, tetapi benar-benar stabil untuk kerja harian.

Kesimpulan: Claude bukan mahu jadi chatbot semata-mata

Perkembangan ini menunjukkan persaingan AI semakin berubah. Dahulu kita membandingkan ChatGPT, Gemini dan Claude berdasarkan kepandaian menjawab soalan.

Sekarang persaingan sudah bergerak kepada siapa yang boleh membantu menyiapkan kerja sebenar.

Jika Claude Sheets, Whiteboards dan Meetings berkembang dengan baik, ia berpotensi menjadi alternatif menarik kepada sebahagian fungsi aplikasi pejabat tradisional.


Taiwan Gantung Rundingan Pelaburan Dengan Malaysia! Sebab Kenyataan Anwar?

Nampaknya kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai Taiwan sebelum ini mula membawa kesan kepada hubungan ekonomi Malaysia. Terbaharu, Taiwan mengesahkan bahawa rundingan pelaburan dua hala dengan Malaysia telah digantung sejak bulan lalu.

Perkara ini disahkan oleh jurucakap Kementerian Luar Taiwan, Hsiao Kuang-wei pada 10 November 2026. Isunya bukan kecil. Taiwan merupakan antara rakan dagang penting Malaysia, khususnya dalam industri elektronik dan semikonduktor.

Kenapa Taiwan gantung rundingan?

Kontroversi ini bermula selepas Anwar dalam wawancara bersama Al Jazeera pada Ogos lalu menyatakan bahawa beliau melihat Taiwan sebagai sebahagian daripada China. Apabila ditanya sama ada Malaysia akan mengecam China jika menggunakan kekerasan terhadap Taiwan, Anwar membandingkan situasi tersebut dengan sebuah negeri di Malaysia yang cuba memisahkan diri.

Kenyataan itu mengundang bantahan Taiwan kerana dianggap menyentuh soal kedaulatan dan keselamatan wilayahnya. Anwar kemudian mempertahankan pendirian Malaysia dengan menegaskan bahawa negara ini sejak sekian lama mengamalkan Dasar Satu China, selain menekankan penyelesaian secara aman.

Taiwan sahkan rundingan pelaburan digantung

Menurut jurucakap Kementerian Luar Taiwan, keputusan menggantung rundingan itu dibuat bagi melindungi kepentingan pelabur serta mengambil kira isu kedaulatan dan keselamatan ekonomi Taiwan. Taiwan bagaimanapun tidak menutup pintu sepenuhnya.

Pihaknya masih mahu berkomunikasi dengan Malaysia dan berharap rundingan boleh disambung semula apabila hubungan serta keyakinan bersama dipulihkan. Ini bermakna bukan semua perdagangan atau pelaburan Taiwan di Malaysia dihentikan. Yang disahkan ialah rundingan pelaburan dua hala yang dirancang sebelum ini telah digantung.

Malaysia boleh rugi dalam industri semikonduktor?

Taiwan merupakan kuasa penting dalam industri cip dunia. Beberapa syarikat teknologinya sudah mempunyai operasi dan pelaburan besar di Malaysia, khususnya di Pulau Pinang dan Selangor. Antaranya:

Syarikat Bidang pelaburan
Siliconware Precision Industries Pembungkusan dan pengujian cip
ASE Technology Pembuatan dan pengujian semikonduktor
Chipbond Technology Teknologi pembungkusan cip
Phison Electronics Reka bentuk dan teknologi storan

Menurut data yang dilaporkan, perdagangan Malaysia-Taiwan mencecah RM233.02 bilion pada 2025. Taiwan juga merupakan rakan dagang keempat terbesar Malaysia.

Jadi, jika ketegangan berpanjangan, persoalannya ialah sama ada syarikat Taiwan akan lebih berhati-hati untuk membuat pelaburan baharu di Malaysia.

Vietnam dan Thailand mungkin mendapat peluang?

Pelabur antarabangsa tidak semestinya perlu memilih Malaysia. Mereka juga mempunyai pilihan seperti Vietnam, Thailand dan negara lain di Asia Tenggara.

Persatuan perniagaan Malaysia turut memberi amaran bahawa ketidaktentuan geopolitik boleh mempengaruhi keputusan pelaburan baharu.

Namun, buat masa ini belum ada pengumuman bahawa syarikat Taiwan akan menarik keluar kilang atau operasi sedia ada dari Malaysia. Risiko yang lebih realistik ialah pelaburan baharu mungkin dinilai dengan lebih berhati-hati.

Apa kerajaan Malaysia perlu lakukan?

Malaysia perlu mengimbangi hubungan dengan China, Taiwan dan Amerika Syarikat. Dasar Satu China merupakan pendirian diplomatik Malaysia yang telah lama diamalkan. Tetapi hubungan ekonomi dengan Taiwan juga mempunyai nilai besar kepada industri tempatan.

Kerajaan perlu menjelaskan pendirian Malaysia melalui saluran diplomatik supaya isu politik tidak terus menjejaskan keyakinan pelabur.

Pelabur bukan hanya melihat kos operasi, tenaga kerja dan kemudahan kilang. Mereka turut mengambil kira kestabilan dasar serta hubungan antarabangsa sesebuah negara.

Kesimpulan: Politik luar negara boleh memberi kesan kepada ekonomi rakyat

Isu Taiwan ini menunjukkan bahawa satu kenyataan politik boleh membawa kesan yang jauh lebih besar daripada sekadar pertikaian diplomatik.

Malaysia mahu menarik pelaburan teknologi bernilai tinggi, tetapi pada masa sama perlu memastikan hubungan dengan rakan dagang utama kekal stabil.

Persoalannya sekarang, adakah kerajaan mampu memulihkan keyakinan Taiwan tanpa mengubah dasar luar negara yang telah lama diamalkan?

Dr Mat Rofa - Serangan Siber, Siapa Disebalik White Hat, Black Hat & Grey Hat Hackers?



Video ini merupakan kuliah oleh Dr. Mat Rofa Ismail yang bermula dengan isu serangan siber terkini yang berlaku di seluruh dunia, termasuk Malaysia. Beliau menyebut tentang serangan yang melibatkan phishing, ransomware, data bank, dan sistem seperti FortiGuard. Malaysia turut menjadi sasaran, dan pejuang-pejuang muda tempatan digambarkan sebagai sedang berusaha menepis serangan tersebut.

Dari situ, Dr. Mat Rofa membawa masuk kepada tema utama: siapakah sebenarnya di belakang Black Hat, White Hat dan Grey Hat. Beliau mengaitkan konsep-konsep ini (yang biasanya merujuk kepada jenis-jenis hacker dalam dunia keselamatan siber) dengan konteks yang lebih luas — kemungkinan hubungannya dengan kuasa besar, teori konspirasi, dan isu kewangan global seperti kejatuhan nilai dolar AS serta pengaruh BRICS.
Beliau menekankan bahawa kita perlu mengenal pasti “siapa yang white hatnya, black hatnya dan grey hatnya” di sebalik peristiwa-peristiwa ini, sambil menyatakan bahawa sesetengah pandangan masih belum muktamad (wallahu a’lam).

Keseluruhan kuliah menggabungkan isu semasa siber dengan analisis dan pandangan beliau yang biasa diguna dalam kuliah-kuliahnya.

Nama Najib Tidak Seragam Dalam Dokumen Perintah Mahkamah RM50 Juta! Pegawai Kerajaan atau MySTEP Yang Menyediakannya?

Dokumen Order of Discharge on Payment of Fine berkaitan Datuk Seri Najib Razak bertarikh 6 November 2026 mencetuskan beberapa persoalan yang wajar diberikan perhatian. Selain isu pelaksanaan tahanan rumah, terdapat perkara lain yang boleh diperhatikan pada dokumen tersebut, iaitu ketidakseragaman nama individu yang dinamakan dalam perintah.

Nama Najib ditulis dalam beberapa bentuk berbeza. Ada bahagian menggunakan perkataan "Mohd", manakala bahagian lain menggugurkannya. Penggunaan gelaran dan singkatan nama juga tidak seragam. Persoalannya, adakah dokumen ini melalui proses semakan yang mencukupi sebelum dikeluarkan? Lebih penting, siapakah yang menyediakan dan menyemak dokumen berkenaan?

Nama Najib berbeza dalam dokumen yang sama

Berdasarkan salinan dokumen yang tersebar, terdapat beberapa variasi nama:

Bahagian dokumenNama yang digunakan
Bahagian atas kananDato' Sri Mohd Najib bin Hj Abd Razak
Perenggan utamaDato' Sri Najib bin Tun Haji Abdul Razak
Bahagian syarat pembayaranDato' Sri Mohd Najib bin Tun Haji Abdul Razak

Perbezaan ini menimbulkan persoalan mengenai keseragaman identiti dalam dokumen rasmi. Memang terdapat variasi penulisan nama dan gelaran dalam dokumen pentadbiran. Namun, bagi sesuatu perintah mahkamah, identiti pihak yang dinamakan perlu jelas dan konsisten.

Dokumen berkenaan turut menyatakan nombor kad pengenalan. Oleh itu, pihak mahkamah boleh menjelaskan sama ada semua variasi nama tersebut merujuk kepada individu yang sama berdasarkan rekod kes. Ini bukan bermaksud dokumen itu secara automatik tidak sah. Sebaliknya, ia merupakan perkara yang wajar diperiksa dan diperjelaskan.

Siapa Nurul Ain Binti Hamzah?

Pada bahagian tandatangan dokumen, tertera nama Nurul Ain Binti Hamzah dengan jawatan Timbalan Pendaftar, Mahkamah Tinggi Malaya, Kuala Lumpur. Semakan direktori rasmi Mahkamah Kuala Lumpur mendapati nama beliau disenaraikan sebagai Timbalan Pendaftar di Unit Hakim Pengurus Jenayah Mahkamah Tinggi.

Dalam direktori yang sama, terdapat beberapa kakitangan yang dinyatakan secara khusus sebagai Pembantu Tadbir Personal MySTEP. Ini menunjukkan direktori tersebut membezakan jawatan Timbalan Pendaftar daripada jawatan kakitangan MySTEP. Persoalan lebih besar, apakah status mystep dibenarkan berada dalam jabatan penting negara? Status Mystep sendiri adalah Bukan Penjawat Awam. Mengapa ia dibenarkan berada pada urusan pentadbiran! - Direktori <<

Bagaimanapun, direktori jawatan sahaja tidak membuktikan secara muktamad status lantikan seseorang sama ada tetap atau kontrak.

Bolehkah Personel MySTEP menyediakan dan menandatangani dokumen rasmi?

Persoalan ini penting kerana ramai penjawat awam dan orang awam mungkin tidak mengetahui batas tugas Personel MySTEP. Berdasarkan garis panduan MySTEP yang dikeluarkan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Personel MySTEP bukan pegawai awam dan tidak tertakluk kepada skim perkhidmatan serta peraturan pelantikan pegawai awam seperti penjawat awam biasa.

Lebih penting, garis panduan tersebut menetapkan bahawa skop tugas MySTEP tidak boleh merangkumi:

  • Tugas yang diberikan kuasa oleh undang-undang atau peraturan tertentu.
  • Tugas sensitif yang melibatkan pengurusan dokumen terperingkat.
  • Tugas yang memerlukan tandatangan pada dokumen rasmi.
  • Tugas membuat keputusan rasmi yang boleh menimbulkan liabiliti kepada kerajaan.

Ini bermakna terdapat batas yang jelas antara tugas sokongan pentadbiran dengan kuasa rasmi seseorang pegawai kerajaan. Namun, kita tidak mempunyai bukti bahawa dokumen perintah Najib ini disediakan oleh Personel MySTEP. 

Nama yang tertera pada dokumen ialah Timbalan Pendaftar, dan direktori rasmi mahkamah turut menyenaraikan beliau dengan jawatan tersebut. Justeru, kami tidak membuat kesimpulan bahawa dokumen ini hasil kerja MySTEP hanya berdasarkan gaya bahasa atau kesilapan penulisan.

Kami tetap persoalkan, bagaimana kerajaan boleh membenarkan Mystep berada di tempat yang penuh dengan file sulit kerajaan!?

Siapa sebenarnya menyediakan dokumen tersebut?

Inilah persoalan yang memerlukan penjelasan pihak mahkamah. Nama pegawai yang menandatangani dokumen tidak semestinya bermaksud pegawai itu menyediakan sendiri keseluruhan kandungannya. Dalam proses pentadbiran, dokumen mungkin disediakan oleh kakitangan sokongan, disemak oleh pegawai penyelia dan kemudian dikeluarkan oleh pegawai yang mempunyai kuasa.

Oleh itu, beberapa perkara wajar diperjelaskan:

  1. Siapakah yang menyediakan draf asal perintah tersebut?
  2. Siapakah yang menyemak nama, nombor pengenalan dan rujukan kes?
  3. Adakah dokumen melalui semakan pegawai yang diberi kuasa?
  4. Adakah penggunaan templat rasmi mahkamah dipatuhi?
  5. Adakah terdapat penglibatan Personel MySTEP dalam proses penyediaan atau pemprosesan dokumen?
  6. Siapakah yang bertanggungjawab memberikan kelulusan akhir sebelum dokumen dikeluarkan?

Persoalan ini bukan bertujuan mencari kesalahan individu, tetapi memastikan proses pengeluaran dokumen rasmi berjalan mengikut prosedur.

Dokumen yang tersebar turut mempunyai kod QR dengan pautan kepada portal pengesahan e-Kehakiman. Nombor siri yang dibaca ialah: JVrq0K52lEKdoWnhYfhoiw

Pautan pengesahan: https://ecourtservices.kehakiman.gov.my/Document/Verifier/?docSN=JVrq0K52lEKdoWnhYfhoiw

Ketepatan dokumen ialah tanggungjawab bersama

Perkara ini membawa pengajaran penting kepada semua penjawat awam. Dokumen rasmi yang mempunyai implikasi undang-undang perlu melalui proses penyediaan, semakan dan pengesahan yang jelas.

Penggunaan sistem digital, templat automatik atau AI boleh membantu kerja pentadbiran. Namun, keputusan dan pengesahan akhir tetap perlu berada pada pegawai yang mempunyai kuasa serta tanggungjawab berkenaan.

Kesilapan nama, nombor pengenalan, tarikh atau rujukan undang-undang tidak boleh dipandang ringan. Dalam urusan yang melibatkan kebebasan seseorang, pelaksanaan hukuman dan perintah mahkamah, ketepatan setiap butiran amat penting.

Kesimpulan: Bukan mencari salah, tetapi memastikan prosedur dipatuhi

Setakat maklumat yang boleh disemak, Nurul Ain Binti Hamzah disenaraikan sebagai Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, manakala garis panduan JPA menetapkan batas tugas Personel MySTEP berkaitan dokumen rasmi.

Namun, identiti penyedia sebenar dokumen perintah Najib dan status lantikan pegawai yang terlibat dalam setiap peringkat penyediaannya belum dapat dipastikan daripada salinan yang tersebar.

Oleh itu, pihak mahkamah wajar memberikan penjelasan mengenai variasi nama, proses penyediaan dokumen dan pengesahan rekod rasmi.

Dalam pentadbiran negara, jawatan membawa amanah dan setiap dokumen rasmi membawa tanggungjawab. Ketelitian bukan sekadar prosedur, tetapi asas kepada keyakinan rakyat terhadap sistem perundangan negara.

Rakyat berhak mendapat penjelasan berdasarkan fakta, bukan spekulasi.