• Politik Terkini

    Wednesday, November 16, 2016

    Kekejaman Myanmar, OIC Hanya Mampu Mengutuk


    Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) mengutuk sekeras-kerasnya perlakuan kejam tentera Myanmar terhadap masyarakat Rohingya dan menyeru agar tindakan antarabangsa diambil bagi menamatkan perbuatan zalim itu.

    Duta Khas OIC bagi Myanmar Tan Sri Syed Hamid Syed Albar dalam kenyataan hari ini, berkata keganasan itu diburukkan lagi apabila tentera Myanmar mendera secara beramai-ramai kaum Rohingya di Rakhine, sebuah negeri di utara Myanmar.

    Sambil menyifatkannya sebagai pencabulan hak asasi manusia dengan sewenang-wenangnya dan penghinaan yang tidak boleh diterima terhadap undang-undang kemanusiaan antarabangsa, beliau berkata kekejaman itu merupakan perbuatan menghapuskan etnik secara zalim dan sistematik.
    "Penggunaan kuasa dengan cara tidak sewajarnya terhadap masyarakat itu, termasuk kanak-kanak, wanita dan orang tua, tidak langsung mempunyai justifikasi dan tidak boleh diterima sama sekali atas apa alasan sekali pun," katanya.
    Beliau berkata masyarakat antarabangsa tidak sepatutnya terus membisu ketika kaum Rohingya berada di jurang penghapusan.
    "Berbuat demikian bermakna kita gagal dalam menunaikan tugas kita untuk menjunjung prinsip keadilan dan tanggungjawab memberi perlindungan bagi memelihara keamanan dan keselamatan global," kata bekas Menteri Luar Malaysia itu.
    Beliau berkata masyarakat antarabangsa perlu segera bertindak untuk menamatkan segala tindakan tidak berhati perut dan menyeru Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) dan ASEAN khususnya, supaya mengambil langkah sewajarnya, sejajar dengan peruntukan termaktub dalam Piagam PBB bagi melindungi dan menghormati hak semua manusia dalam menikmati keamanan dan keselamatan.

    Menurut laporan media, tentera Myanmar melancarkan serangan dengan helikopter terhadap perkampungan masyarakat Rohingya di Rakhine pada Sabtu, mengakibatkan lapan orang maut, termasuk dua tentera.

    Laporan itu juga menyebut, tentera turut menembak mati sekurang-kurangnya 25 orang di kampung berkenaan pada Ahad.

    - Bernama

    No comments:

    Post a Comment