• Politik Terkini

    Thursday, December 29, 2016

    Barisan Exco FAS Derhaka Titah Diraja (Letak Jawatan) ?


    Selepas mengadakan tunjuk perasaan di depan pejabat Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) di Kelana jaya, semalam Gabungan Kelab Penyokong Selangor (GABUNGAN) mahu terus menekan barisan exco persatuan itu.

    Penyokong The Red Giants itu menghantar isyarat 'perang' bagi mendesak kepimpinan FAS meletak jawatan selepas enggan mengikut cadangan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah.

    Presiden GABUNGAN Mohd Faizal Wahid berkata, mereka seramai 18 orang yang mengadakan 'flashmob' semalam mewakili penyokong akar umbi yang mahukan barisan exco FAS dirombak.

    Katanya, Setiausaha Agung FAS Rosman Ibrahim perlu mengundurkan diri dan tidak perlu tenggelam dalam senario sindrom penafian dan berlagak seolah-olah pengurusannya diterima baik semua pihak.
    "Jangan bercakap seperti Tengku Amir Shah memberikan pandangannya tanpa asas sehingga sampai ke tahap anda tergamak bertindak mengingkari dan memperkecilkan titah Raja Muda Selangor.
    "Soal kebobrokan kemelut FAS bukan sekadar siapa pengurus baru, jurulatih baru dan juga pemain baru.
    "Permasalahan ini mengatasi segalanya iaitu kemunduran tahap pemikiran exco FAS bertindak dan kecenderungan menjadikan semua orang sebagai kambing hitam," 
    Terdahulu, FAS mengalami krisis kewangan selepas tidak mendapat peruntukan kerajaan negeri untuk perbelanjaan musim depan.

    Lebih parah berlaku krisis kepimpinan persatuan itu apabila barisan exco dikatakan tidak sekepala dengan Presiden FAS Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

    Keadaan itu disusuli dengan teguran dan cadangan Tengku Amir Shah supaya kepimpinan FAS dirombak dan dilakukan perubahan drastik menjelang Liga Malaysia 2017.

    Sementara itu Rosman dalam satu kenyataan semalam menjelaskan mereka enggan melayan desakan meletak jawatan selepas dipertanggungjawabkan terhadap pengurusan bola sepak Selangor hingga 2018.

    Mohd Faizal berkata, perhimpunan semalam hanyalah permulaan kecil tekanan yang ditunjukkan sebagai respon kepada keburukan pentadbiran sedia ada.
    "Semakin hari individu dan kumpulan yang menyokong kami adalah meningkat. Semboyan perang ini hanya terhenti setelah anda semua dibersihkan dari FAS.
    "Malah jika FAS merasakan mereka ada sokongan ramai, kami mencabar mana-mana kelab penyokong tampil untuk memberikan sokongan kepada FAS dan sekali gus mengetepikan titah diraja selewat-lewatnya 31 Disember ini," 

    MK

    1 comment:

    1. This comment has been removed by a blog administrator.

      ReplyDelete

    Blogger Pembangkang

    Blogger BarisanNasional

    Blogger NonPolitik