• Politik Terkini

    Wednesday, March 8, 2017

    WANPA - Rekaan Baju Pengantin Gaya T-Shirt "Berani"


    Cuba melawan kebiasaan kala mereka gaun pengantin, jenama fesyen terkenal WANPA hadir dengan sedikit kelainan apabila menampilkan beberapa koleksi gaun kahwin yang sedikit `daring' dan di luar kotak.

    Hadir dengan koleksi pengantin bertemakan 'Amour Blanc, White Love' ketika berlangsungnya The Wedding KL 2017, WANPA optimis menyuntik elemen berbeza.

    Terkenal memperjuangkan fesyen baru dalam persada dunia fesyen moden kini dan gabungan idea antara 'beauty and conflict' menjadikan ciptaan WANPA berbeza dan unik.

    Menurut pereka fesyennya, Wan Mohd Ridzuan Wan Ismail, koleksi pengantinnya kali ini melambangkan kesucian dan kemurnian cinta seiring tema diketengahkan.

    "Putih menjadi warna dominasi koleksi dan ia jelas memperkuatkan idea cinta itu suci. Ilusi cinta ini diolah saya sendiri dengan rekaan gabungan ala duyung serta draping romantis yang membezakannya dengan 'boxy cuts'.

    "Koleksi ini juga mempunyai rangkaian pakaian untuk pelbagai sambutan majlis perkahwinan seperti akad nikah, parti keraian serta resepsi yang gilang-gemilang.

    "Koleksi ini kebanyakannya diperbuat daripada pelbagai jenis fabrik termasuk 'lace', 'tulle' dan satin serta bersesuaian bagi setiap wanita dan keperluannya.

    "Selain gaun kahwin biasa, saya juga mahukan sesuatu yang lain untuk wanita muda moden yang berani mengubah kebiasaan. Justeru, saya cipta koleksi berbeza daripada segi ekspresi dan emosi dimiliki wanita kontemporari era millineum.

    "Koleksi ini menyampaikan bisikan romantis 'aku terima lamaranmu' tetapi dengan sikap yang lebih sofistikated dan berkeyakinan tinggi. Saya percaya pengantin moden adalah individu yang berani mengemudi 'yin yang' dunianya dengan cara yang elegan," katanya.

    Mengimbas perjalanan WANPA, jenama itu mula dicetuskan Wan Ridzuan selepas tamat pengajian di kolej The Center For Advanced Design (Cenfad) pada tahun 2009 dalam Diploma Fesyen.

    Malah dalam tempoh itu juga, beliau pernah menimba pengalaman menjadi pelatih selama empat bulan bersama pereka fesyen Jovian Mandagie.

    "Menjadi pelatih adalah menjadi pengalaman berharga hingga saya mula belajar selok-belok dunia fesyen. Selepas menimba pengalaman dengan Jovian, saya bekerja selama setahun sebagai pembantu butik dengan jenama Calvin Thoo.

    "Pada masa sama, saya mencuri masa membuat baju di bawah jenama WANPA secara sambilan tetapi hanya pada tahun 2010, saya terus fokus sepenuh masa kepada WANPA," katanya yang pernah mempelajari bidang hiasan dalaman di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

    Menceritakan lebih lanjut mengenai simbolik di sebalik nama WANPA, beliau berkata nama berkenaan mempunyai kenangan tersendiri ketika di bangku sekolah.

    "Ketika di sekolah menengah di Pahang dahulu, ada tiga rakan sebilik yang mempunyai nama Wan. Jadi bagi mengelak kekeliruan, kami bertiga letakkan nama untuk membezakan. Ada Wan Kedah, Wan Klang dan saya sendiri Wan dari Pahang.

    "Sebagai akronim, nama saya digabungkan menjadi WANPA untuk Wan dan Pahang. Akhirnya nama itu melekat. Malah ketika di UIAM pun nama WANPA digunakan, maka saya kekalkan hingga sekarang.

    "Gaya rekaan WANPA banyak dipengaruhi penggunaan silhoutte yang feminin selain teknik draping. WANPA juga banyak menggunakan kain cetakan dalam setiap koleksi yang diketengahkan," katanya.

    Bilik pameran WANPA terletak di C-0-10 Plaza Damas 3, Jalan Sri Hartamas, Kuala Lumpur selain Instagram @wanpaofficial. Jenama fesyen ini diminati golongan artis seperti Izara Aishah, Hanez Suraya, Ainul Aishah dan Diana Danielle.



    BH

    No comments:

    Post a Comment