Memorandum Politik Pembangkang Buat HAJI HADI


Tindakan 13 wakil rakyat PAS Selangor menghantar memorandum kepada Presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyatakan sokongan terhadap seruan “gencatan serangan” antara pembangkang menunjukkan mereka serius mempertahankan kerajaan Selangor.

Adun Meru Dr Abdul Rani Osman yang turut menandatangani memorandum tersebut berkata, harapan mereka agar PAS mencapai persetujuan “satu lawan satu” dengan parti pembangkang bagi melawan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum (PRU) ke-14.

“Dan ini bukan harapan kita sahaja, tetapi juga DAP dan PKR. Pilihan raya kecil (PRK) Sungai Besar (dan Kuala Kangsar) membuktikan pertembungan tiga penjuru hanya memenangkan BN,” katanya.

Bekas calon PAS pada PRK Sungai Besar itu berkata PAS serius dalam mempertahankan Selangor daripada dirampas BN pada PRU akan datang.
Memorandum tersebut diserahkan kepada Hadi dan akan disusuli dengan pertemuan. Semalam, 13 wakil rakyat PAS menyatakan sokongan terbuka terhadap seruan damai oleh Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man terhadap semua parti pembangkang.
Kenyataan tersebut menuntut sebuah “pakatan pembangkang” bagi mempertahankan kerajaan negeri dengan syarat setiap parti saling menghormati prinsip masing-masing.

Dalam pada itu, Adun Paya Jaras Mohd Khairuddin Othman berkata selain sokongan kepada Tuan Ibrahim, memorandum tersebut juga menggesa ke arah menumpukan perhatian kepada kebajikan rakyat dan pembangunan negeri.

“Kita minta parti politik fokus kepada usaha mempertahankan kerajaan negeri serta menumbangkan Umno dan BN di Putrajaya.

Sementara itu, langkah Adun PAS itu menerima pujian Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar sebagai sesuatu yang “berani”.

“Demi Malaysia dan rakyat yang mengharapkan perubahan pada masa depan negara gencatan senjata dan kompromi dikalangan parti pembangkang dan kembali kepada meja perundingan dan bukannya terus kekal dengan perbalahan adalah satu keperluan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

(FMT)

Post a Comment

1 Comments