ADUN DAP Sabah Tuntut Senjata Diberikan Pada Rakyat, Bubar ESSCOM !


Seorang wakil rakyat DAP mahu kerajaan membekalkan rakyat Sabah dengan senjata dalam usaha menyelesaikan isu keselamatan di kawasan perairan pantai negeri itu yang sering dicerobohi .

Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) perlu dibubarkan kerana gagal dalam misinya melindungi rakyat, kata ADUN Sri Tanjong, Chan Foong Hin.

Associated Press, hari ini melaporkan seorang lelaki rakyat Jerman diculik manakala rakan wanitanya ditembak mati oleh kumpulan militan Abu Sayyaf yang menyerbu kapal layar mereka di luar perairan Malaysia di Sabah semalam.

Laporan Bernama yang memetik komander Esscom Datuk Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid pula berkata pihaknya tidak menerima laporan mengenai penculikan dan pembunuhan itu.

Mengulas lanjut, Chan berkata, keselamatan di pulau-pulau terpencil bertambah baik dengan kehadiran angkatan tentera di kawasan pelancongan.

Oleh itu, katanya, langkah-langkah yang sama perlu dilaksanakan bagi mengiringi kapal barangan dan bot nelayan.
"Jika Esscom tidak dapat menyediakan tentera (untuk melindungi) bot nelayan, mengapa tidak kerajaan mempertimbangkan memberi senjata kepada penduduk yang mengadaikan nyawa mereka untuk mencari rezeki di laut terbuka di sana?
"Melindungi diri sendiri lebih baik daripada bergantung kepada tentera yang berada jauh daripada mereka.
"Jika kerajaan tidak mampu melindungi kita, biarlah kita melindungi diri kita sendiri," katanya dalam satu kenyataan.
Menurut pemimpin DAP itu, dengan pembubaran Esscom, keselamatan Sabah perlu dikendalikan secara langsung oleh Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Pertahanan.

MK

Post a Comment

0 Comments