Maria Chin Akui "BERSIH 2.0" Terima Dana 70K Dari George Soros


Bersih 2.0 berkata gabungan itu hanya sekali pernah menerima sumbangan berjumlah RM70,000 daripada sebuah yayasan yang dipimpin hartawan terkemuka George Soros, berikutan dakwaan pembiayaan kewangan untuk beberapa pertubuhan di Malaysia bagi mempengaruhi pilihan raya 2013.

Pengerusi Bersih 2.0, Maria Chin Abdullah berkata sejak itu, gabungan tersebut bergantung kepada derma orang ramai bagi aktivitinya.

“Malah kami menerbitkan akaun yang membutirkan sumber dana kami,”

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi baru-baru ini menuntut siasatan ke atas Bersih 2.0, portal berita Malaysiakini dan pusat kajian Merdeka Center, ekoran dokumen yang didakwa menunjukkan pertubuhan asing seperti National Democratic Institute (NDI) dan Open Society Institute (OSI) kelolaan Soros membiayai mereka.
Maria berkata sumbangan RM70,000 daripada OSI di antara 2010 dan 2011 hanya merupakan 11% daripada pendapatan Bersih 2.0 ketika itu.
Beliau berkata gabungan itu juga pernah menyaman akhbar New Straits Times kerana mendakwa ia berpakat dengan pihak luar bagi mengganggu kerajaan.

“NST sudah pun membuat permohonan maaf terbuka,” katanya.

Maria mengalu-alukan sebarang penyiasatan terhadap Bersih 2.0, namun berkata ia merupakan usaha menakut-nakutkan gabungan itu dalam perjuangannya menuntut pilihan raya adil.

Beliau turut membidas Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin yang meminta polis menutup jalan ke Dataran Merdeka bagi menghalang perhimpunan Bersih 5 pada November 19.

Sebelum ini, Khairy dilaporkan membenarkan ahli Umno menyertai kumpulan Baju Merah didalangi Datuk Seri Jamal Yunos bagi menghalang peserta Bersih.

“Agenda kami jelas. Kami berbicara kerajaan bersih dan reformasi. Saya mahu tahu apa pula bicara mereka. Saya mahu tahu apa agenda mereka.”

Perhimpunan Bersih 5 dijangka diadakan di Kuala Lumpur bagi memberi tekanan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak meletak jawatan dan membuka kembali siasatan ke atas skandal 1MDB.

FMT

Post a Comment

0 Comments