Ku Nan Hina Yang di-Pertua Pulau Pinang ?


Wakil rakyat DAP, Lim Lip Eng menyifatkan cadangan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor untuk menjadikan Pulau Pinang sebahagian kawasan Wilayah Persekutuan sebagai penghinaan kepada Yang di-Pertua Negeri itu.

Sehubungan itu, beliau berkata, menteri Wilayah Persekutuan itu boleh disiasat polis kerana menghina ketua negeri terbabit.
“Alasan yang diberikan Tengku Adnan kononnya Pulau Pinang boleh mendapat peruntukan persekutuan adalah bukti menteri ini mempunyai terlalu banyak peruntukan kewangan dan kuasa sehinggakan beliau langsung tidak tahu apa yang nak dibuat dengan peruntukan tersebut demi manfaat penduduk Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya,”
Tengku Adnan yang juga dikenali sebagai Ku Nan dalam wawancara bersama stesen radio BFM kelmarin menyuarakan hasrat untuk menjadikan beberapa lokasi sebagai sebahagian kawasan Wilayah Persekutuan.

Antaranya Pulau Pinang, Pulau Langkawi dan beberapa kawasan di Melaka bagi memudahkan kerajaan persekutuan menumpukan perhatian dan menyalurkan dana ke lokasi terbabit.

Lim berkata, Ku Nan tidak seharusnya meluaskan lagi kawasan Wilayah Persekutuan, sebaliknya kementerian itu wajar dibubarkan bagi menjimatkan dana RM1.61 bilion.

Ahli Parlimen Segambut itu turut menasihatkan setiausaha agung Barisan Nasional dan Umno itu mengkaji semula cadangan yang pernah dikemukakannya.
“Adakah cadangan mengharamkan gelandangan dan penunggang kapcai daripada menyesakkan Kuala Lumpur satu cadangan baik? Adakah Tengku Adnan mahu mengharamkan gelandangan dan kapcai di Pulau Pinang juga?
“Berapa ekar hartanah milik kerajaan persekutuan di Kuala Lumpur dijual kepada 1MDB, Umno dan pemaju swasta?
“Bolehkah Tengku Adnan senaraikan 3 keutamaan yang akan menggunakan peruntukan RM1.61 bilion dana tahun ini untuk penduduk Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya?” soal pemimpin DAP itu.
Setakat ini, Labuan, Putrajaya dan Kuala Lumpur diisytiharkan sebagai Wilayah Persekutuan.
Bulan lalu, Lim membidas Tengku Adnan berhubung cadangan melarang motosikal berkuasa rendah atau kapcai memasuki Kuala Lumpur bagi mengurangkan kadar pelepasan karbon dan membanteras jenayah ragut di ibu kota.

Ahli Parlimen Putrajaya itu kemudian menjelaskan cadangan itu diputarbelitkan pihak tertentu dan ia tidak akan dilaksanakan tanpa sokongan rakyat.

FMT

Post a Comment

0 Comments