Restoran Tiada Aircond, Pelayan Warga Asing & Segelas Air Kosong Berharga 70sen !


Keadaan ekonomi mungkin sukar, tetapi tiada sebab untuk peniaga mengenakan 70 sen bagi segelas air kosong, kata ahli Parlimen Simpang Renggam.

Liang Teck Meng yang dipetik The Star berkata, baru-baru ini beliau dikenakan 70 sen untuk segelas air kosong di sebuah restoran di Jalan Alor dan meminta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan menjelaskan kekurangan penguatkuasaan berhubung isu itu.
“Restoran lain hanya mengenakan 30 sen, ada pula yang memberinya secara percuma.
“Kementerian perlu menjelaskan kelemahan dalam penguatkuasaan,” katanya pada sidang Dewan Rakyat.
Menurut laporan itu, Liang berkata, restoran berkenaan tidak berhawa dingin dan beliau dilayan pekerja asing.

Kenyataan Liang susulan gesaan Ketua Pegawai Eksekutif Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Datuk Paul Selvaraj pada 24 Mac lalu yang meminta kerajaan mendedahkan mekanisme kawalan harga barang keperluaan asas.

Katanya, kerajaan perlu menggunakan sepenuhnya Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan bagi menangkap peniaga mengambil kesempatan menaikkan harga ekoran kenaikan harga barang keperluan asas.

Dalam pada itu, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Henry Sum Agong yang dipetik The Star berkata, Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 meliputi semua perkara yang disenaraikan di bawah undang-undang di semua lokasi.

Katanya, kenaikan harga barangan tertentu disebabkan kos tambahan yang ditanggung seperti kos pengangkutan.

FMT


Comments