Dr Maza - Pengharaman Buku Atheism Perlu Dibahaskan Dengan Hujah ilmiah


Atheism berkembang dalam dunia pada hari ini. Dikatakan 2.3 peratus penduduk dunia ini telah mengaku atheist. Bahkan ia sedang meningkat dengan hebat sehingga ada yang mendakwa 15 peratus sebenarnya atheist.
.
Perkataan atheism adalah gabungan dua komponen Greek. A, bermaksud tanpa dan theism bermaksud kepercayaan kepada Tuhan atau tuhan-tuhan. Etheism mempunyai sejarah yang sangat lama, lebih dua ribu tahu iaitu sejak kemunculan tokoh-tokoh falsafah Greek dan Rom lagi. Tiga tokoh besar silam etheism Epicurus, Diagoras dan Lucretius. Namun, sejak kebelakangan ini dengan kemunculan tokoh-tokoh baru seperti saintis Richard Dawkins dengan buku ‘The God Delusion’ dan seumpamanya telah menyemarakkan perkembangan ‘agama baru ini’. Hari ini golongan atheist ini juga menganggap mereka sebagai satu agama yang tersendiri atas asas mereka juga mempunyai system kepercayaan mereka.
.
Hal-hal ini berlaku disebabkan tokoh-tokoh agama terutama Kristian telah gagal memberikan jawapan kepada banyak persoalan saintifik dan falsafah yang dibangkitkan. Kegagalan memberikan jawapan yang tuntas dan sejarah lampau gereja yang menghukum sesiapa yang berbeza tanpa memberikan jawapan kepada persoalan yang timbul telah mengikis kepercayaan awam terhadap agama dan kadang-kala sekaligus kepada kewujudan Tuhan itu sendiri.
.
Seperti yang kita tahu, Galileo Galilei seorang ahli fizik, matematik dan astronomi (1564-1642) telah dihukum oleh gereja. Bukunya disenarai ‘haram’ oleh pihak gereja sehingga tahun 1835. Namun, pada tahun 1992, Pope John Paul II dalam usaha untuk me’relevan’kan agama Kristian yang makin mendapat kritikan, beliau telah membuat kenyataan umum menyesali tindakan dan layanan gereja terhadap Galileo.
.
Apabila menyebut kisah ini saya selalu teringatkan tindakan golongan agamawan di negara kita yang cenderung mengharamkan buku yang tidak serasi dengan mereka tanpa alasan yang ilmiah. Tanpa sebarang penghujahan ilmiah, lebih sekadar pada diri sendiri ataupun pembaca yang di bawah pengaruh mereka tiada jawapan terhadap persoalan yang dibangkitkan. Lebih malang lagi, yang mengharamkan itupun tiada sebarang karya ilmiah yang boleh diangkat. Cara fikir kita perlu berubah. Jika tidak, krisis permusuhan dengan dunia kesarjanaan atas eksploitasi agama akan membesar. Kita patut mengambil iktibar apa yang telah berlaku dalam sejarah gereja di Eropah pada zaman kegelapan politik mereka.
.
Islam dalam sejarahnya tidak memusuhi ilmu. Bahkan Islam agama dialog dan hujah. Pengharaman hendaklah atas penghujahan ilmiah yang memenuhi disiplin keilmuan.
.
Berapa banyak ayat dalam al-Quran yang mengajak kepada dialog dan memerhatikan ciptaan alam. Tidak seperti sejarah lampau Kristian di Eropah, sains berkembang di bawah pemerintah umat Islam di kurun-kurun kegemilangannya. Antara kurun kelapan dan keempat belas, para saintis muslim telah begitu tekun mengembangkan sains. Dunia tidak dapat menafikan sumbangan agung tersebut sehingga dipanggil Islam’s Golden Age.
.
Dr Maza

Post a Comment

1 Comments

  1. This comment has been removed by a blog administrator.

    ReplyDelete