Kenyataan bercanggah oleh seorang menteri Umno mengenai peranan DAP dalam Pakatan Harapan adalah petanda ketakutan yang semakin meningkat terhadap pakatan pembangkang, kata Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
.
Beliau merujuk kenyataan pada Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Salleh Said Keruak, yang hari ini mempersoalkan ketiadaan wakil DAP dalam tiga kedudukan teratas dalam barisan HARAPAN.
.
"Ia menunjukkan betapa takutnya mereka (Umno) hingga Salleh Keruak membuat kenyataan bercanggah - dulu dia kata kita (HARAPAN) dikuasai oleh DAP - sekarang dia kata kita pinggirkan DAP pula," katanya semasa sidang akhbar di Ibu pejabat BERSATU di Petaling Jaya hari ini.
.
Dalam senarai kepimpinan yang diumumkan lewat tengah malam, semalam, Datuk Seri Anwar Ibrahim dinobatkan sebagai ketua umum, manakala pengerusi BERSATU Tun Dr Mahathir Mohamad dijadikan pengerusi.
.
Meujuk barisan baru itu, Syed Saddiq berkata adalah jahil bagi mana-mana pemimpin Umno untuk terus mendakwa bahawa HARAPAN dikawal oleh DAP atau orang Cina.
.
"Jika mereka terus mendakwa HARAPAN didominasi oleh DAP atau orang Cina, ini bermakna mereka benar-benar jahil...," katanya sambil menekankan bahawa barisan baru itu secara rasmi mengubah HARAPAN sebagai pakatan yang padu, berbanding dengan gabungan yang longgar sebelum ini.
0 Comments