Mahkamah UK Mengarah Sarawak Report Bayar RM84 Ribu Kepada Haji Hadi


PAS menyifatkan parti itu memperoleh perkembangan positif dalam kes saman yang difailkan presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang terhadap editor Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown.
Menurut Setiausaha Politik Abdul Hadi, Ahmad Samsuri Mokhtar, Rewcastle-Brown diperintahkan oleh mahkamah London untuk membayar presiden PAS itu sekurang-kurangnya GB£15,000 (hampir RM84,000).
Mahkamah pada 2 Ogos dilaporkan memihak kepada Abdul Hadi selepas editor Sarawak Report itu meminta deposit wang di mahkamah sebagai jaminan keselamatan, sekiranya presiden PAS itu kalah dalam kes berkenaan.

Ahmad Shamsuri berkata mahkamah juga telah menerima tawaran Abdul Hadi untuk membayar RM80,000 sebagai deposit keselamatan.
Katanya, mahkamah menolak hujah Rewcastle-Brown bahawa beliau akan gagal membawa kes saman terhadap Hadi di Malaysia kerana badan kehakiman, kerajaan Malaysia dan perdana menteri mengamalkan rasuah.
"Mahkamah juga tidak menerima hujahan Rewcastle-Brown tanpa membawa bukti, bahawa sebuah negara luar berdaulat yang mempunyai hubungan diplomatik yang baik dengan United Kingdom telah mengamalkan rasuah.
"Hasil dari hujah kosong dalam permohonan Rewcastle-Brown, mahkamah juga telah mengarahkan beliau membayar dua pertiga dari kos yang terlibat.
"Rewcastle-Brown mesti membayar £15,000 ( hampir RM84,000) terhadap kos prosiding oleh Tuan Guru Hadi Awang, di mana kuantum pembayarannya akan dipantau oleh mahkamah," kata Ahmad Samsuri dalam satu kenyataan yang disiarkan di laman Facebook Abdul Hadi.
Sementara itu Rewcastle-Brown mengesahkan kepada Malaysiakini bahawa beliau akan membayar kos berkenaan kepada Hadi, tetapi memberikan penjelasan berbeza berhubung sebab di sebalik keputusan itu.

"Hakim dalam pendengaran pengurusan kes pra perbicaraan itu berkata dia merasakan tidak dapat membuat keputusan mengenai permohonan saya."

"Oleh itu, beliau memerintahkan bahawa saya boleh mempercayai integriti kehakiman Malaysia - beliau mengarahkan saya membayar (dua pertiga) daripada kos permohonan itu," katanya kepada Malaysiakini melalui e-mel.

Beliau turut berkongsi penjelasan teknikal mengenai perkara itu daripada pasukan peguamnya.
"Mahkamah tidak membuat sebarang keputusan selain di peringkat ini bahawa Hadi harus membayar deposit £ 14,400 sebagai kos jaminan terhadapnya di Malaysia jika dia kalah. Mahkamah memberikan dua pertiga daripada kos permohonan ini kerana Hadi telah menawarkan untuk membayar GB£ 14,400 untuk jaminan keselamatan.
"Mahkamah telah mengatakan bahawa satu lagi permohonan untuk jaminan keselamatan boleh dibuat," kata pasukan peguamnya.
Rewcastle-Brown berkata beliau mempunyai 28 hari untuk memfailkan pembelaan rasmi, sementara Hadi mempunyai 21 hari untuk membayar deposit itu.

Dalam e-melnya, editor Sarawak Report itu juga mempersoalkan mengapa pasukan pembelaan Hadi diiringi oleh kakitangan Suruhanjaya Tinggi Malaysia.
Ahmad Samsuri dalam kenyataannya menjelaskan bahawa kedutaan Malaysia mengawasi kes itu kerana ia menyentuh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, kerajaan Malaysia dan badan kehakiman.

Hadi menyaman Rewcastle-Brown atas dakwaan bahawa beliau menerima RM90 juta daripada Najib.

Tahun lepas, PAS meminta Rewcastle-Brown menarik semula artikel yang disiarkan di laman webnya dan membuat permohonan maaf.

MK

Post a Comment

0 Comments