Sultan Selangor Tidak Berkenan Ahli Politik Dalam GLC

Sultan Selangor hari ini bertitah, beliau tidak berkenan sekiranya anggota lembaga pengarah Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) hanya disandang oleh ahli politik.
.
"Beta tidak berkenan ahli lembaga pengarah hanya diisi dengan ahli-ahli politik sahaja,” titah Sultan Sharafuddin Idris Shah.
.
"Pada hemat beta, ahli lembaga pengarah PKNS haruslah seimbang dan mestilah dilantik daripada kalangan mereka-mereka yang profesional serta boleh memberi pandangan dan tunjuk ajar dalam pembangunan.”
.
Beliau berkata demikian semasa merasmikan ibu pejabat korporat PKNS di Shah Alam.
.
Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah dan Menteri Besar Selangor Datuk Seri Azmin Ali.
.
Selain itu, Sultan turut menasihatkan generasi baru yang menerajui PKNS agar tidak lupa peranan perbadanan itu untuk membantu orang Melayu.
.
Walaupun berdukacita, namun baginda berharap agar pengurusan PKNS yang baru dapat meneruskan pembangunan dan kemajuan untuk rakyat negeri Selangor.
.
"Beta berasa dukacita kerana generasi baru PKNS telah lupa akan tugas-tugas asal penubuhan PKNS yang diasaskan oleh allahyarham Harun Idris iaitu menolong orang-orang Melayu berpendapatan rendah yang tinggal di negeri Selangor ini untuk dapatkan rumah yang selesa dan mampu dimilik.
.
"Beta percaya pengurusan PKNS sekarang ini akan ambil matlamat asalnya bagi meneruskan pembangunan dan kemajuan untuk rakyat negeri Selangor.
.
"Oleh itu, beta berkenan supaya warga PKNS teruskan tugas-tugas mereka ini dengan penuh ikhlas, jujur dan dedikasi serta jauhi gejala rasuah," kata baginda lagi.
.
Sultan Selangor turut berkenan supaya pihak PKNS pada masa hadapan dapat terus membina rumah-rumah mampu milik untuk orang Melayu yang berpendapatan rendah dan sederhana yang tinggal di negeri berkenaan.
.
Kinitv

Post a Comment

0 Comments