Baca Ulasan "Hanya 50 - 60 Kerusi Parlimen Sahaja BN Mampu Menang Mudah"


Perkara pokok yang harus kita fahami ialah apakah Najib Razak sedia melawat Anwar Ibrahim di hospital jika beliau benar-benar kuat untuk menghadapi PRU 14 akan datang?

Masih ingatkah kita bagaimana Najib begitu takut dengan Langkah Kajang yang mahu meletakkan Anwar sebagai Menteri Besar Selangor, lalu proses rayuan kes liwatnya dipercepatkan sehingga perbicaraan berlarutan sampai ke malam?

Lupakah kita, walaupun kes liwat Anwar dikatakan hanya kes peribadi antara Ketua Umum PKR itu dengan Saiful Bukhari Azlan, tetapi kerajaan kemudian melantik Shafee Abdullah, seorang peguam kanan yang mesra UMNO untuk mengetuai pendakwaan yang seterusnya di didedahkan oleh Sarawak Report menerima wang sebanyak RM9.5 juta daripada Najib?

Meskipun Shafee menyatakan tidak masuk akal untuknya menerima wang tersebut, tetapi penafiannya hanya dilakukan beberapa bulan selepas itu, sedangkan sebelumnya beliau sentiasa mengelak untuk memberikan jawapan.

Najib pula, sehingga ke hari ini tidak pernah mengia atau menidakkannya, meskipun wang tersebut turut didakwa bersumberkan daripada dana 1MDB yang diselewengkan.

Jika tidak terdesak dan mencari-cari talian hayat, apakah Najib mungkin sudi meluangkan masa menziarahi Anwar setelah didapati bertungkus-lumus mahu "mematikan" semua langkah politik pencabarnya yang hampir menjatuhkannya dalam PRU 2013 lalu?

Hakikatnya, stail politik Najib untuk merapatkan diri dengan lawannya memang selalu bermula dengan ziarah di hospital. Pas dapat dilembutkan hatinya kerana beliau sebelum itu beberapa kali melawat Dr. Haron Din (kini allahyarham) dan Hadi Awang di hospital ketika kedua-duanya menerima rawatan.

Najib ternyata sekali lagi menggunakan pendekatan yang sama untuk menyelamatkan dirinya daripada asakan Tun Mahathir Mohamad dan Pakatan Harapan yang semakin melemaskan dirinya.

Bagaimana Najib begitu terganggu dan dihantui oleh bayangan Tun Mahathir kebelakangan ini dengan kerap membandingkan dirinya dengan bekas Perdana Menteri adalah bukti yang menunjukkan harapan kemenangan semakin jauh daripada UMNO dan BN.

Selain laporan pelbagai agensi yang membuat kajian mengenai kecenderungan rakyat masih lagi memperlihatkan hasil negatif, seseorang yang rapat dengan puncak kuasa di Putrajaya memberitahu, jumlah kerusi Parlimen yang selamat bagi UMNO ketika ini hanyalah  sekitar 50 hingga 60 kerusi saja.

Dalam masa yang sama, seorang pemimpin veteran UMNO pula menyebut, parti-parti komponen seperti MCA, MIC dan Gerakan bukan saja "lingkup" dalam pilihanraya akan datang ini, bahkan mungkin membuatkan buat kali pertamanya semua presidennya akan kalah di kawasan masing-masing.

Dengan jumlah kerusi Parlimen di Semenanjung ada 165 dan UMNO hanya menang sekitar 60 kerusi, manakala MCA, MIC dan Gerakan tidak mampu menyumbang apa-apa, inilah ketakutan sebenar Najib dalam pilihanraya akan datang ini.

Selain itu, parti Warisan Sabah pimpinan Shafie Apdal dikatakan mampu menyumbang sekurang-kurangnya 10 kerusi Parlimen lagi berdasarkan sambutan ramai terhadap parti itu.

Di Sarawak, sikap kritikal kerajaan negeri dalam beberapa isu dengan kerajaan pusat kebelakangan ini adalah gambaran fleksibel mereka, meskipun masih bersama dalam BN.

Dengan ini, keyakinan Tun Mahathir sebelum ini bahawa Pakatan Harapan mampu mencapai kemenangan dan menumbangkan Najib,  UMNO dan BN, biar pun dalam pertandingan tiga penjuru kerana Pas memilih untuk bertanding secara sendirian, bukanlah omong kosong atau cakap-cakap tepi jalan.

Gambaran itu sebenarnya sudah sampai ke Seri Perdana dan  ke bilik tidur Najib sendiri. Sebab itu, melangkah saja dari kediamannya, apa yang menghantui Najib tiada lain selain bayangan gagah perkasa Tun Mahathir.

Hanya jika Najib dapat melembutkan hati Anwar dan  PKR untuk memihak kepadanya serta mengkucar-kacirkan Pakatan Harapan, barulah mungkin kelabu kemenangan itu mampu bertukar menjadi putih.

Tetapi pantun Anwar selepas beberapa jam dikunjungi Najib, barangkali adalah jawapan yang menyenangkan hati-hati yang tidak sabar menunggu perubahan.


Tuai padi antara masak
Esok jangan layu-layuan
Ziarah kami antara nampak
Esok pilihanraya Lawan Tetap Lawan

Perubahan dan lahirnya sebuah kerajaan baru sepertinya tidak dapat dielakkan lagi  kerana nampaknya Anwar tetap mahu bersama Tun Mahathir dan Pakatan Harapan.

Sumber : ShahbudinHusin

Post a Comment

0 Comments