Minyak Mentah Dijangka Cecah $80/barel Tahun 2018


Kekurangan bekalan dan peningkatan permintaan untuk minyak mentah boleh menaikan harganya sehingga AS$80 sebarel pada 2018, kata laporan Barrons.

Memetik penganalisis, akhbar perniagaan mingguan Amerika itu melaporkan yang keputusan Organisasi Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) mengurangkan bekalan minyak akan menaikkan harganya.
“Sebab minyak akan naik harga adalah kisah terlama dalam sejarah minyak dunia: harga rendah akan mencipta permintaan dan pertumbuhan yang tinggi, dan sekarang permintaan sedang menuju ke arah itu,” kata Phil Flynn, penganalisis pasaran kanan di Price Future Group kepada Barrons.
Harga minyak yang jatuh pada 2014 dan 2015 kerana bekalan melebihi permintaan menyebabkan OPEC mengurangkan bekalan kerana kebimbangan kehilangan pegangan dalam pasaran minyak dunia.

Tetapi Jumaat lalu, harga minyak berada pada tahap tertinggi sejak Disember 2014, dengan harga minyak mentah West Texas Intermediate (WTI), tanda aras di AS diniagakan dengan harga AS$64.30 sebarel di New York Mercantile Exchange dan tanda aras global minyak mentah Brute pula diniagakan dengan harga AS$69.87 di ICE Futures Europe.

Selaras dengan peningkatan itu, Ringgit kembali kukuh apabila diniagakan pada tahap tertingginya tahun ini, RM3.96 berbanding satu dolar AS Jumaat lalu.

Peningkatan harga minyak adalah berita baik untuk Malaysia yang sangat bergentung kepada sektor petroleum. Dianggarkan RM12.5 bilion pendapatan kerajaan datang daripada sektor tersebut.

Ketika Laporan Ekonomi 2018 dikeluarkan, kerajaan hanya menjangkakan harga minyak mentah berharga AS$52 sebarel.

Peningkatan AS$1untuk sebarel dijangka menambah pendapatan kerajaan sebanyak RM300 juta.

Flynn berkata harga minyak WTI secara puratanya adalah AS$67 pada 2018 sebelum stabil diniagakan melebihi AS$70. Jika OPEC meneruskan pengurangan bekalan minyak sehingga hujung tahun ini, harga WTI boleh mencecah AS$80 sebarel, kata Flynn.

Purata permintaan minyak global pada 2017 adalah 97.8 barel sehari, meningkat 1.6% berbanding 2016, menurut laporan yang dikeluarkan pada pertengahan Disember. Ia menunjukkan bekalan minyak dunia pada November 2017 kekal pada 97.8 juta barel sehari, jatuh 1.1 juta barel sehari berbanding 2016. IEA menjangkakan permintaan pada 2019 akan meningkat kepada 99.1 juta barel.

Permintaan global dijangka meningkat melebihi sejuta barel sehari setahun, lebih daripada cukup “untuk mengetepikan kesan peningkatan pengeluaran shale AS,” kata Jay Hatfield, pengasas bersama Infrastructure Capital Management.

Katanya, “permintaan kuat global”, disokong pertumbuhan ekonomi kukuh akan menaikan harga minyak tahun ini, menganggarkan harga minyak WTI sekitar AS$60 hingga AS$70 pada 2018.

Faktor geopolitik juga memberi kesan kepada harga minyak, termasuklah kemelut di Iran, pengeluar minyak mentah ketiga terbesar OPEC dan krisis di Venezuela yang boleh menjejaskan pengeluarkan.

Sumber : MI

Post a Comment

1 Comments