Padah Tersalah Beli Ubat Sakit Gigi


Bermula dari hanya sakit gigi, malang menimpa seorang ibu dua anak apabila kulitnya seperti kesan melecur, mata merah dan bibirnya membengkak.

Semuanya gara-gara alahan ubat yang diambil, sehingga memaksa wanita ini dirawat di hospital selama beberapa hari dan dirujuk kepada pakar kulit, mata dan mulut.
“Paling ngeri jumpa pakar bedah mulut sebab kat sana doktor akan siat dan bersihkan kulit-kulit mati kat bibir sampai berdarah, jadi senang kulit bibir pulih cepat. Kau bayangkan nak siat kulit bibir sendiri pun pedih, apatah lagi orang yang buatkan,” menurut satu ‘posting’ di akaun Facebooknya, baru-baru ini sehingga tular. 
Wanita itu kemudian memberitahu mengalami alahan ubat saraf yang dimakannya dan penyakit alahan itu dikenali sebagai Steven Johnson Syndrome (SJS).


Kesan alahan ubat.
Dalam pada itu, Pakar Perunding Dermatologi, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Norashikin Shamsudin berkata, terdapat ubat yang memberi kesan sampingan yang biasa seperti loya dan muntah, tetapi ia tidak memudaratkan.

Namun katanya, kesan yang memudaratkan itu dipanggil sebagai alahan ubat, dan ia mempunyai pelbagai jenis sama ada tahap serius atau tidak.

Menurut Dr Norashikin, SJS dianggap serius tetapi dalam kebanyakan kes ia tidak membahayakan nyawa, tetapi Toxic Epidermal Necrolysis (TEN) boleh membawa maut.

Timbul persoalan dalam kalangan masyarakat mengenai bagaimana hendak mengetahui mengenai alahan sekiranya tidak pernah memakan ubat selama ini.
“Dalam kebanyakan kes, anda tidak dapat mengetahui sama ada mempunyai alahan ubat sehingga terdedah kepada kesan ubat berkenaan. Salah satu cara untuk mengenal pastinya adalah menerusi sejarah perubatan keluarga, iaitu pengaruh genetik yang alah terhadap ubat tertentu,” katanya kepada mStar Online.
Menurut kajian terkini berkaitan SJS dan TEN, Dr Norashikin berkata, pengaruh genetik yang kuat boleh menyebabkan seseorang itu mengalami alahan ubat.

Selain pengaruh genetik, beliau menjelaskan bahawa faktor yang menambahkan risiko kepada alahan ubat adalah jangkitan virus, mengambil terlalu banyak ubat pada satu-satu masa, penyakit dalaman dan pengambilan ubat tradisional atau berasaskan herba.

Dr Norashikin berkata, kebanyakan masyarakat hari ini masih tidak peduli mengenai pengambilan ubat mereka, sekali gus menyukarkan untuk menentukan masalah alahan.
“Contohnya antibiotik, ia bukanlah nama ubat, tetapi sejenis ubat. Jadi, anda perlu tahu nama ubat antiobiotik yang diambil.Daripada bungkusan atau paket ubat itu anda sudah boleh tahu nama ubat. Ia penting bagi memudahkan doktor memberikan ubat,” 
“Anda ambil ubat sebab nak sembuh, tapi kalau silap ambil ubat kerana alahan boleh memudaratkan. Jika alahan, sesetengah ubat mendatangkan kemudaratan atau memberi kesan panjang seperti kecacatan atau ketidakupayaan, malah yang terlalu serius boleh membawa maut.

Sumber :Mstar

Post a Comment

0 Comments