Menabur Racun Dalam Badan Anak Sendiri ?


Perihal Makanan Proses, membincangkan beberapa perkara bagaimana pengambilan makanan proses secara kerap dan berpanjangan boleh memberi kesan negatif kepada kesihatan, minda, kelakuan serta menimbulkan pelbagai penyakit pada kemudian hari.
Kajian menunjukkan pembaur (emulsifier) iaitu sejenis aditif makanan yang ditambah dalam makanan proses boleh menyebabkan colitis (radang usus besar), obesiti dan sindrom metabolik.
Sindrom metabolik merupakan sekumpulan lima faktor risiko yang boleh meningkatkan risiko penyakit jantung, diabetes dan strok. Lima faktor risiko tersebut ialah tekanan darah tinggi, paras gula tinggi, paras kolesterol tidak sihat dan lemak pada bahagian abdomen.  
Kajian berjudul Dietary emulsifiers impact the mouse gut microbiota promoting colitis and metabolic syndrome (jurnal Nature, 2015) menunjukkan pembaur boleh mengubah komposisi dan penempatan mikrobiota (istilah baharu menggantikan mikroflora, merujuk kepada mikroorganisma yang menghuni usus, sebahagian besar terdiri daripada bakteria) usus dan seterusnya menyebabkan pembentukan penyakit radang usus (inflammatory bowel disease, IBD) dan sindrom metabolik.

Mikrobiota ialah istilah baharu menggantikan mikroflora, merujuk kepada mikroorganisma yang menghuni usus, sebahagian besar terdiri daripada bakteria. Dua penyakit IPD ialah ulcerative colitis dan penyakit Crohn.


Sintetik

Pembaur hanya merupakan salah satu daripada aditif makanan yang digunakan dalam pembuatan makanan proses. Aditif-aditif lain yang biasa digunakan termasuk pengawet, pewarna, perisa, penstabil dan pengawal tekstur. Kesemua bahan tersebut biasanya terdiri daripada produk sintetik yang ditambah ketika proses pembuatan makanan proses.

Terdapat juga bahan-bahan kimia yang tersembunyi di sebalik istilah artificial flavor atau artificial coloring. Kedua-dua istilah tersebut biasa terdapat pada label air berkarbonat dan makanan ringan (snek). Penggunaannya dibenarkan oleh pihak berkuasa dengan syarat mematuhi julat tertentu.

Sesetengah orang menganggap makanan proses yang biasanya memang mengandungi pelbagai aditif makanan boleh diambil sekali-sekala. Terdapat juga orang yang percaya walaupun kuantiti aditif makanan adalah kecil atau amat rendah, namun pengambilan sebarang makanan proses harus dielakkan sama sekali. Alasan mereka ialah aditif makanan ialah bukan makanan.

Selain mengandungi aditif, sebahagian makanan proses diperbuat daripada karbohidrat proses (refined carbohydrate). Ia berbeza dengan karbohidrat yang terdapat pada makanan sebenar (whole food, diproses secara minimum). Nilai nutrien pada karbohidrat makanan sebenar adalah jauh lebih baik berbanding karbohidrat proses.
Karbohidrat proses mudah hadam dan menyebabkan paras gula (glukos) dan insulin melonjak pantas. Ia juga sebabkan paras gula darah turun dengan pantas lalu menimbulkan perasaan tidak tenang, lesu, resah atau kurang fokus. Keadaan tersebut menyebabkan seseorang memakan makanan berkarbohidrat tinggi semula untuk berasa selesa. Fenomena ini dikenali sebagai 'roller coaster gula darah.’
Ramai orang tidak tahu bahawa IG sesuatu makanan akan berubah bergantung pada saiz partikel makanan. Contohnya IG gandum tidak ceruh ialah 38. Namun, IG roti yang diperbuat daripada gandum ceruh antara 72-75. IG glukos ialah 100. Maksudnya, makan roti gandum ceruh menyebabkan glukos dilepaskan dengan 72-75 peratus kepantasan pelepasan glukos.

Untuk pengetahuan pembaca, IG 0-55, IG 56-69 dan IG 70-100 masing-masing dikategorikan sebagai IG rendah, IG sederhana dan IG tinggi. Jadi, IG gandum tidak ceruh adalah rendah. Sebaliknya IG gandum ceruh adalah tinggi.

Sebahagian besar keropok dan kerepek yang dijual di pasar besar, pasar hiper dan kios-kios pam minyak merupakan makanan proses yang menggunakan bahan asas karbohidrat proses terutama diperbuat daripada tepung gandum ceruh. Jadi, itulah puncanya mengapa seseorang tidak mudah kenyang selepas makan makanan proses yang diperbuat daripada bahan  tersebut – gula darah naik dan turun dengan pantas.

Mi segera diperbuat daripada gandum ceruh juga. Namun, apabila ditambah sayur-sayuran dan telur dan ditumis menggunakan minyak sawit maka IG dipercayai menjadi lebih rendah daripada nilai 72.


Mi segera

Sebahagian ibu bapa menegah anak-anak mereka daripada mengambil mi segera. Ia tindakan wajar kerana kebanyakan remaja dan kanak-kanak gemar makan mi segera tanpa ditambah dengan bahan-bahan makanan lain seperti disebutkan.

Sesungguhnya pelbagai nutrien bersifat antioksidan daripada sayur-sayuran dan minyak sawit membantu hati mendetoksifikasi bahan-bahan bertoksik termasuk aditif makanan yang terdiri daripada struktur kimia yang berbeza dengan bahan kimia yang semulajadi.

Sila semak kajian berjudul High Glycemic Index Foods, Overeating, and Obesity yang terbit dalam jurnal Pedriatrics (1999) misalnya menunjukkan bahawa :
Pengambilan makanan yang mempunyai indeks glisemik (IG, daripada istilah bahasa Inggeris glycemic index) tinggi bukan sahaja menyebabkan peningkatan paras gula darah, malah mengubah tindakan hormon dan metabolisme yang akan menyebabkan seseorang makan secara berlebihan.
Dari sisi lain, makanan proses tidak mengandungi nilai nutrien sebagaimana yang terdapat pada makanan sebenar. Sesetengah makanan proses ditambah dengan nutrien tertentu misalnya asid folik atau vitamin. Namun, penambahan tersebut masih tidak dapat menandingi kesempurnaan nilai nutrien yang terdapat pada makanan sebenar.

Pengambilan makanan remeh secara kerap dan berpanjangan serta pada masa sama amat kurang mengambil makanan sebenar dipercayai menyebabkan tubuh mengalami kekurangan pelbagai nutrien yang diperlukan untuk menjalankan pelbagai proses.

Lama-kelamaan pelbagai organ sistem mengalami ketidakseimbangan dari segi fisiologi. Gangguan detoksifikasi berpanjangan misalnya akan menyebabkan paras radikal bebas meningkat. Keadaan ini dipercayai menjadi salah satu punca kepada pembentukan pelbagai penyakit termasuk kanser.

Ramai orang tidak tahu bahawa makanan seperti pelbagai jenis kerepek dan keropok moden membekal paras radikal bebas tinggi apabila berada dalam tubuh. Ia berpunca daripada acryl amide atau polycyclic aromatic hydrocarbon terdapat pada makanan digoreng secara terendam lama.

Kerepek ubi pedas agak selamat kerana cili dan bawang putih mengurangkan pembentukan acryl amide. Namun, dari satu segi ia tergolong dalam kategori digoreng secara terendam lama. Jadi, makanlah ia secara berpada-pada.
Hanya makanan sebenar mampu membekal keperluan nutrien tubuh.

BAHRAIN SAMAH, MH, MD (AM)
Pendidik/penulis genre perubatan preventif/alternatif
Sumber : SinarHarian

Post a Comment

0 Comments