Penubuhan JAKIM, Hanya Penentu Siapa Lebih Islam ?


Pemimpin veteran Umno, Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah berkata, eksploitasi politik ke atas Islam biasanya dilakukan pemimpin yang tiada asas agama dan ia termasuk Tun Dr Mahathir Mohamad yang menubuhkan sebuah jabatan khas di bawah kerajaan pusat.
Merujuk Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Ku Li berkata, ia adalah hasil cubaan Umno untuk menjadi lebih Islam daripada saingan utamanya, PAS.
“Jakim tidak berperlembagaan,” kata ahli Parlimen Gua Musang itu kepada FMT dalam wawancara eksklusif baru-baru ini.
“Apabila beliau berkuasa, beliau melihat PAS sebagai satu ancaman. Oleh itu, beliau meneruskan program Islamnya, menubuhkan Jakim misalnya.”
Beliau berkata, saingan “siapa lebih Islam” turut disertai ahli politik Umno yang kekurangan asas agama.
“Sebab itulah mereka beria-ria tentang agama, untuk mengimbangi kekurangan diri. Sama seperti Dr Mahathir,” kata Ku Li.
Jakim diumumkan secara rasmi pada 1997, sebahagian daripada Jabatan Perdana Menteri.

Antara lain, jabatan itu menguruskan pensijilan halal sektor makanan pengguna berbilion dolar.

Ku Li turut merujuk kononnya dasar “Memupuk Nilai Islam” yang diumumkan Dr Mahathir sejurus selepas beliau menerajui negara pada 1981.

Dasar itu menjadi lebih agresif selepas bekas pengasas Angkatan Belia Islam Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyertai Umno setahun kemudian, dalam apa yang dianggap kelebihan besar buat parti Melayu itu dalam usaha meneutralkan pengaruh PAS yang mula mempromosikan konsep negara Islam.

Ku Li berkata, tiada keperluan mewujudkan dasar sedemikian untuk Umno.
“Umno sudah Islam. Anda tidak perlu beritahu dunia kita ini Islam kerana kita sememangnya sudah Islam. Tidak wujud Islam melampau dan Islam sederhana. Islam adalah Islam.
“Banyak perkara yang dilakukannya hanya untuk menunjukkan Umno lebih Islam,” katanya merujuk bekas musuh ketatnya, Dr Mahathir.
Mereka berdua merebut jawatan presiden dalam pemilihan Umno pada 1987 sehingga menyebabkan perpecahan dalam parti pemerintah itu yang menyaksikan kewujudan “Team A” pro-Mahathir dan “Team B” pro-Razaleigh.

Razaleigh, 81, bukan orang pertama mempertikaikan status Jakim, yang sering didakwa mempromosikan Islam konservatif.

Satu daripada pengkritik utama ialah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar yang mempersoalkan peruntukan bajet tahunan besar untuk Jakim pada 2015.
“Kami adalah ketua agama Islam di negeri masing-masing. Jakim boleh memberi nasihat atau mencadangkan garis panduan, tetapi terpulang kepada kita sama ada menerima atau tidak,” katanya dalam satu wawancara dengan sebuah akhbar berbahasa Inggeris.
Tahun lalu, Jakim dikecam Sultan Johor, selepas pegawainya, Zamihan Mat Zin mengkritik arahan istana menutup kedai dobi mesra Islam di negeri itu.

Tiga tahun lalu, bekas ahli Parlimen, Tawfik Ismail mencadangkan Jakim dibubarkan dan mencetuskan debat berhubung keperlembagaan.

Sementara itu, Razaleigh tidak bersetuju dengan cadangan Umno semakin cenderung ke arah Islam konservatif.

Katanya, hanya beberapa pemimpin yang mempromosikan doktrin agama konservatif, bukannya ahli akar umbi parti itu.

“Pergi ke kampung-kampung dan bercakap dengan pemimpin Umno di sana,” kata ahli Parlimen paling lama berkhidmat di negara ini.


Dalam perbualan: Ku Li mengenai PAS

FMT: Anda mempunyai pengalaman sendiri dalam menangani PAS. Dengan bantuan anda, PAS mendapat Kelantan, dan sejak 5 pilihan raya umum lepas, Kelantan masih di tangan PAS.

Bukan bantuan saya, tetapi bantuan orang Kelantan. Mereka kecewa dengan Mahathir yang mereka rasa menipu saya dalam pemilihan jawatan presiden Umno. Jadi rakyat Kelantan kata, “Sekarang saya mahu kamu bersama PAS”. Saya dapat merasakannya, mereka mahu beri pengajaran kepada Mahathir, jadi mereka beramai-ramai menyokong PAS.

FMT: Rakan pelik kebelakangan ini. Kita nampak Umno dan PAS semakin dekat.

Terhad kepada program tertentu, seperti dalam isu Rohingya, untuk membantu lepasan Al-Azhar.

FMT: Tetapi hakikatnya ada perbezaan ketara dalam retorik pimpinan tertinggi PAS mengenai Umno kebelakangan ini…

Tetapi kita masih tidak bersatu.

FMT: Tetapi, apakah nasihat anda kepada Umno ketika berurusan dengan PAS, sama ada untuk politik atau bukan?

Demi masyarakat, kita tidak patut memandang tinggi pandangan ekstrem PAS, kerana ia memecahbelahkan masyarakat dan umat Islam. Kita tidak boleh bertolak ansur dengannya. Kita hidup dalam masyarakat berbilang kaum yang perlu mempunyai toleransi dan perpaduan. Itu yang dikehendaki Umno. Umno mungkin berjuang untuk orang Melayu, kerana orang Melayu diabaikan orang Inggeris. Tetapi itu sudah menjadi sejarah. Orang Melayu sekarang menjadi sebahagian daripada masyarakat lebih besar, jadi marilah hidup bersama.

FMT: Kepelbagaian kaum, toleransi, ini kata-kata yang rakyat mahu dengar. Tetapi anda nampak pendirian tidak bertolak ansur diambil parti pemerintah.

Itu hanya seorang dua, bukannya dasar parti.

FMT: Tetapi mereka berada di kedudukan pimpinan kanan…

Kerana mereka ada kuasa. Orang yang mempunyai kuasa eksekutif tidak boleh bertindak bebas dan perlu menggunakan kuasa budi bicara. Tidak patut bertindak ke atas sesuatu tanpa memikirkan orang lain. Seperti peguam negara, dia boleh kata jika ada kes atau tiada kes, sama ada anda boleh digantung atau tidak boleh. Ini adalah sistem British. Ia bagus, melainkan kita mengikut undang-undang sepenuhnya, orang cenderung menyalahgunakan kedudukan mereka.

Ku Li mengenai konservatif agama

FMT: Adakah anda setuju Umno cenderung ke arah Islam “konservatif”?

Bukan Umno, tetapi pemimpinnya. Mereka mampu menghentikan pengaruh itu kerana mereka mempunyai kuasa. Berapa lama lagi mereka akan berkuasa?

FMT: Tetapi Umno semakin konservatif sekarang.

Seperti yang ditunjukkan beberapa orang. Bukan ahli kebanyakan. Pergi ke kampung-kampung dan bercakap dengan pemimpin Umno di sana. Sekarang ialah atas-bawah, bukannya dari bawah ke atas. Saya percaya bawah-atas, begitu juga Tunku Abdul Rahman. Begitu juga Datuk Onn, dengar suara rakyat.

Sumber : FMT

Post a Comment

0 Comments