Undi Tentera Gusarkan PKR Telok Kemang


Telok Kemang, kerusi Parlimen yang bersebelahan dengan bandar peranginan Port Dickson di Negeri Sembilan, sememangnya bukan lagi kawasan perkelahan bagi PKR, yang menang 2 pilihan raya umum berturut-turut.

Ketua Umno di sini ialah Tan Sri Isa Samad, yang pengaruhnya di Negeri Sembilan sudah lama bertapak, walaupun berdepan dengan pelbagai masalah di peringkat persekutuan termasuk dalam isu Felda yang pernah dipengerusikannya.
Di sini juga terletak kem tentera, yang sering menjadi perhatian parti yang bertanding. Ini kerana, undi tentera dikatakan menjadi “deposit tetap” kepada Barisan Nasional (BN).
Peluang menewaskan BN di Telok Kemang sangat cerah pada pilihan raya umum 1999, beberapa bulan selepas meletus pergerakan reformasi. Namun, ketika itu pun, bekas orang kuat Umno, Ruslan Kassim yang mewakili Parti Keadilan Nasional gagal menewaskan calon BN.

Hanya pada 2008, BN akhirnya dapat ditewaskan, apabila Sothinathan Siena Gounder dari MIC tewas kepada Datuk Kamarul Bahrin Abbas dengan majoriti hampir 3,000 undi.

Kamarul sekali lagi menewaskan calon MIC pada pilihan raya 2013, walaupun dengan majoriti lebih rendah.

Tetapi kehadiran pengundi tentera masih menggusarkan PKR.

Pengerusi PKR Negeri Sembilan, Aminuddin Harun berkata, pihaknya menghadapi masalah kerana tidak dapat masuk berkempen kepada anggota tentera.

Ini memaksa PKR menumpukan perhatian kepada pengundi “awam” lain.

“Jadi saya rasa pilihan raya kali ini kita bersedia lebih awal dan saya rasa undi sokongan rakyat awam rasanya lebih meningkat,” katanya kepada FMT.

Amiruddin berkata majoriti kemenangan yang mengecil pada pilihan raya lalu adalah disebabkan undi pos, di mana pengundian di kem tentera dilakukan lebih awal daripada hari mengundi.

Bilangan pengundi tentera bertambah di Telok Kemang. Ini boleh dilihat apabila lebih 8,880 pengundi tentera membuang undi pada pilihan raya 2013, berbanding 5,000 pada pilihan raya kecil yang diadakan pada Jun 2000.

Amiruddin berkata, pihaknya tidak putus harapan dengan sokongan melalui undi pos.
“Kita bukan tak tumpu undi pos, tapi kita tahu bahawa kekangan begitu besar, Kita tak dapat masuk ke dalam kem, dan mereka pun undi awal.”

Sumber : FMT

Post a Comment

0 Comments