Pinjaman mudah yang dimohon dari Jepun bertujuan untuk menstrukturkan semula dan menggantikan hutang kerajaan tertentu dalam dolar Amerika Syarikat (AS), kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

“Ia akan menjadi seperti di mana hutang luar negara digantikan dengan hutang luar negara,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Katanya, permohonan itu dibuat oleh Dr Mahathir Mohamad ketika lawatan perdana menteri ke Jepun baru-baru ini.

Dr Mahathir meminta kredit yen dalam bentuk pinjaman mudah ketika pertemuan dengan Perdana Menteri Jepun Shinzo Abe pada 12 Jun.

Pinjaman itu akan digunakan bagi membantu mengurangkan beberapa kos pinjaman Malaysia, di mana ia “terlalu tinggi” di bawah pentadbiran lama Barisan Nasional, kata Dr Mahathir.

Dr Mahathir memetik contoh tentang bagaimana pentadbiran Najib Razak mengambil pinjaman dengan kadar faedah 6% tetapi dikenakan komisen 10%.

“Bila kita bayar 10% sebagai komisen untuk pinjaman RM100 juta, kita hanya dapat RM90 juta. Tetapi kita tetap perlu bayar faedah RM100 juta. Ini menyebabkan kadar faedah 7% hingga 7.5%.
“Ini menyebabkan kos pinjaman terlalu tinggi. Jika kita dapat kurangkan kos pinjaman daripada sumber dengan kadar lebih rendah, kita boleh tutup pinjaman lama,” kata perdana menteri.

Lim berkata Dr Mahathir memilih kredit yen kerana mata wang itu lebih stabil dan kerajaan akan dapat kadar lebih baik.

Bagaimanapun, katanya terlalu awal untuk membincangkan yen berkenaan akan digunakan untuk pinjaman luar negara yang mana.

“Kami masih tunggu pengesahan. Masih terlalu awal untuk menentukan ia akan menggantikan pinjaman yang mana.

Antara 2012 dan 2013, kerajaan BN membayar AS$600 juta (RM2.3 bilion) dalam bentuk fi dan komisen kepada Goldman Sachs untuk tiga bon berjumlah AS$6.5 bilion bagi 1Malaysia Development Bhd.

Kerajaan Pakatan Harapan sedang mempertimbangkan untuk meminta Jabatan Kehakiman AS membantu mendapatkan semula komisen yang dibayar kepada Goldman Sachs.

Sumber : MI