Tanpa wang dan kuasa, UMNO secara relatifnya lebih mungkin mati berbanding mampu terus hidup dan bernyawa seperti sebelumnya.

Lebih sebulan selepas kehilangan kuasanya, satu persatu kejadian tak terduga berlaku yang memperlihatkan UMNO sedang menuju kubur kematiannya.

Sehingga ini tiga Ahli Parlimen UMNO sudah mengumumkan keluar parti dan menjadi wakil Bebas iaitu Bagan Serai, Bukit Gantang di Perak dan Masjid Tanah di Melaka.

Difahamkan, ramai lagi akan berbuat demikian dan hanya menunggu masa yang sesuai untuk mengumumkan destinasi baru masing-masing.

Di sisi yang lain, mereka yang keluar parti dan tidak yakin lagi dengan UMNO hampir berlaku tiap-tiap hari di semua negeri.

Sebaik saja kalah pilihanraya, beberapa penjawat utama UMNO di beberapa negeri mengumumkan keluar parti. Semalam di Sungai Petani, meskipun selepas memenangi jawatan Naib Ketua Bahagian, Ketua Wanita, Ketua Pemuda dan Ketua Wanita, tetapi mereka memilih untuk keluar UMNO bersama 40 pengikut yang lain.

Sebelum itu, dua bekas menteri iaitu Rais Yatim dan Syed Hamid Albar turut keluar UMNO dan terbaru, bekas Menteri Besar Selangor, Dr. Khir Toyo juga difahamkan akan menyusul dengan tindakan yang sama.

Di beberapa negeri, banyak juga cawangan UMNO dibubarkan dan ketua cawangan beserta barisan ahli jawatankuasa cawangan berkenaan memilih wadah lain sebagai pilihan perjuangan.

Secara kasarnya, semua yang keluar dan meninggalkan UMNO ini lebih selesa memilih Bersatu sebagai wadah baru, namun ada juga yang pergi kepada PKR dan Amanah untuk pilihan yang berkenan di kalbu.

Dengan perjalanan masa, apatah lagi apabila UMNO kini dipimpin oleh Zahid Hamidi yang tugas pertamanya sebagai Presiden UMNO ialah mengadap SPRM berhubung siasatan salah guna kuasa wang sebuah yayasan dan berkaitan 1MDB serta barisan kepimpinan UMNO yang terpilih di pelbagai peringkat baru-baru ini pula secara majoritinya masih lagi dibarisi muka-mula lama yang menggambarkan tiada perubahan, tidak mustahil lebih ramai yang keluar dan meninggalkan parti itu.

Serentak dengan itu, selain menjadi pembangkang dan banyak akaun bank UMNO dibekukan kerana dipercayai menerima wang haram 1MDB, aktiviti parti itu  dengan sendirinya akan turut terencat, kalau pun tidak terhenti sama sekali.

Jika diibaratkan sebuah kapal, UMNO sebenarnya sudah berlubang di sana sini dan hanya menunggu masa saja untuk karam serta tenggelam.

Tidak cukup dengan Najib sebagai bekas nakhoda UMNO bakal didakwa tidak lama lagi, Zahid Hamidi dan kebanyakan bekas pemimpinnya juga kemungkinan akan menghadapi perkara yang sama atas pelbagai kesalahan serta salah laku sewaktu dalam kerajaan dahulu.

Jika para pemimpin UMNO selepas ini hanya sibuk turun naik mahkamah dan berurusan dengan peguam saja, bagaimanakah mereka mahu menjaga parti dan berurusan dengan hal ehwal kebajikan rakyat?

Untuk itu, mereka yang  keluar UMNO sebenarnya adalah mereka yang telah membuat keputusan yang tepat dan terpuji.

UMNO tiada lagi masa depan dan sedang menghampiri tarikh kematiannya, maka untuk apa berada lagi di dalamnya?

Sebagai pilihan, Bersatu adalah wadah baru yang harus dijadikan pilihan oleh bekas-bekas pejuang UMNO bagi meneruskan perjuangan. Lagi pula, nama UMNO bukan lagi jenama yang baik untuk dipasarkan kepada rakyat.

Orang Melayu mesti tinggalkan UMNO dan beramai-ramai memilih Bersatu jika mahu perjuangan memartabatkan bangsa itu dapat dilakukan secara lebih bermaruah.

UMNO adalah parti penyamun dan mereka yang memimpinnya juga  saki baki penyamun belaka. Jika semasa berkuasa, mungkin ada sedikit sebanyak hasil samunan atau wang lebihan daripada membeli beg tangan isteri dan kereta mewah Ferrari yang dapat dicampakkan kepada rakyat, tetapi apa lagi yang mampu dilakukan sekarang ini?

Artikel Tulisan : Shahbudin