Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor menahan lima kontraktor bagi membantu siasatan berkaitan tuntutan palsu berjumlah melebihi RM400,000, malam tadi.

Menurut sumber SPRM, kesemua kontraktor lelaki berumur lingkungan 30-an hingga 50-an daripada syarikat berasingan itu ditahan di Pejabat SPRM Johor kira-kira 10 malam.

Hasil siasatan mendapati kesemua kontraktor itu membuat tuntutan palsu berkaitan kerja penganjuran Program Karnival Satu Daerah Satu Industri (SDSI) dan Keusahawanan bagi daerah Segamat, Mersing, Muar, Kluang, Tangkak dan Kulai serta Program Minggu PKS (Program Kecil dan Sederhana) Kebangsaan Peringkat Negeri Johor, sedangkan program tersebut tidak dilaksanakan.

Katanya siasatan masih diteruskan bagi mengesan dan membuktikan penjawat awam yang terlibat di sebalik tuntutan tersebut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009, iaitu boleh dikenakan hukuman denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 mana yang tinggi dan penjara tidak melebihi 20 tahun, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, Pengarah SPRM Johor Datuk Azmi Alias ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan memaklumkan kesemua suspek akan dibawa ke mahkamah, di Johor Bahru, hari ini bagi permohonan reman.

Sumber : MK