Apabila Mujahid Pertahankan Anwar Ibrahim....


Datuk Seri Anwar Ibrahim bukan nama biasa dalam mencorak perjuangan politik baru di Malaysia.

Kehadirannya dalam proses perjuangan reformasi di Malaysia lebih banyak masanya dari balik tembok besi penjara dari di medan. Anwar tidak pernah didakwa atas kesalahannya mencabar pemerintah tetapi beliau didakwa secara tuduhan palsu untuk mengaibkan dirinya dan keluarganya.

Susuk tubuh Anwar tidak pernah mengenal erti menyerah. Beliau mempertahankan dirinya tidak bersalah sepanjang pemenjaraannya dan alhamdulillah pada tahun 2018 Yang Dipertuan Agong berkenan memberikan kuasa keampunan ke atas Anwar yang telah membersihkan namanya dan keluarganya sejak dihina dan diaibkan pada tahun 1998 lagi iaitu selama 20 tahun.

Generasi reformasi adalah hasil tangannya yang sebahagian besar kini menduduki jawatan penting dalam pentadbiran negara. Parti pembangkang semua meraih dokongan Reformasi yang dilaung dan diusung oleh Anwar sehingga menjadi titik perpaduan di kalangan pembangkang.

Suara Anwar yang menghidupkan semula roh Malaysia terdiri dari pelbagai bangsa, kaum dan agama seolah satu 'kata sihir' yang memukau segenap lapisan masyarakat. Justeru beliau telah menyatukan rakyat Malaysia.

Anwar setia kepada rakan politiknya walaupun PAS dahulu mempunyai pandangan keras terhadap beberapa sikapnya. Namun anwar mengambil kaedah bertemu dan menjelaskan bagi memelihara kesatuan pembangkang.

PAS telah memilih jalannya walaupun anwar berusaha memulihkan kekeruhan yang berlaku.

Ketika Parti Amanah Negara (AMANAH) diasaskan pada tahun 2015, beliau memahami realiti bahawa pembangkang harus move on dan peranan AMANAH menyatukan pembangkang setelah Pakatan Rakyat berkubur tidak dapat dinafikan.

Kelahiran Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) kemudian pada awal 2017 turut dialu-alukan sebagai kekuatan baru menggamit sokongan penyokong Umno tegar.

Anwar meletakkan semua perkembangan ini dalam kerangka pemikiran politik baru yang diperjuangkan, sebab itu Anwar sentiasa fokus apa yang diinginkan.

Satu tindakan besar Anwar ialah menerima Tun Dr Mahathir Mohamad dalam kancah perjuangan reformasi walaupun sebelumnya mereka adalah musuh ketat. Anwar ada visi besar dan jiwanya membuka ruang yang luas untuk semua waima musuhnya sendiri.

Anwar juga adalah tokoh yang menentukan survival partinya iaitu PKR kerana semua fraksi dalam PKR menyatakan mereka adalah kem Anwar dan kerana kekuatan peribadi kepimpinannya, Anwar berhati-hati menyatakan sikapnya kepada kem yang bersaing sengit dalam parti itu hari ini.

Tidak syak lagi Anwar adalah faktor penyatu dalaman pada suasana PKR sebagai parti terbesar menguasai kerusi kerajaan Pakatan Harapan hari ini ketika ia diuji dengan persaingan yang sengit sesama mereka.

Anwar berani menyuarakan sikap Islam dalam kerangka demokrasi hari ini malah beliau mahu dikenali sebagai ‘muslim demokrat’ yang berpegang kepada kerangka negara berpaksikan rule of law dan interpretasi Islam yang kontekstual tanpa meninggalkan asas tekstual.

Gabungan tekstual dan kontekstual inilah asas pandangan beliau pada isu yang menyinggung Islam kontemporari. Sedari dahulu tohmahan 'Islam liberal' ke atasnya lebih kepada ketidakfahaman kelompok tekstual yang mahukan penafsiran Islam literal bukan kerana Anwar adalah seorang Muslim yang mencairkan prinsip agamanya.


Gabungan Dr M-Anwar

Kini masanya sudah tiba untuk kemunculan Anwar disambut melalui kaca mata sejarah panjang perjalanan Reformasi dan kehebatan kepimpinanmya yang amat diperlukan dalam membentuk Malaysia Baru.

Apatah lagi semua parti komponen HARAPAN termasuk Dr Mahathir menyatakan sokongan penuh beliau kepada Anwar.

AMANAH turut menyatakan sokongan padu dan akan membantu semaksima mungkin melalui Presidennya Mohamad Sabu manakala DAP berjanji memenangkan Anwar di Port Dickson semasa pilihan raya kecil nanti.

Suara yang mempertikaikan keputusan Anwar untuk bertanding di Port Dickson dan bukan di tempat Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail di Parlimen Pandan tidak melihat susur galur perjalanan politik Anwar.

Tanggapan kononnya Anwar akan mewarnai politik anak-beranak terlalu awal untuk diberi ulasan kerana berbanding dengan perjalanan politik Anwar, isu anak-beranak terlalu kerdil untuk diberi perhatian. Hanya mereka yang kurang arif perjalanan politik Anwar akan membesarkan isu politik anak-beranak ini.

Barang diingatkan bahawa Dr Mahathir dan Anwar adalah gabungan dinamik untuk memulakan politik baru di Malaysia. Langkah awal penting kerana proses Malaysia Baru akan memakan masa dan dalam proses itu kemunculan Anwar adalah sangat tepat dan diperlukan.

Diharapkan generasi penyambung akan meneruskan gagasan Malaysia Baru yang penuh dengan cabaran dan halangan. Untuk kemunculan Anwar saya mengucapkan marhaban dan ahlan wa sahlan.

Datuk Dr Mujahid Yusof
Naib presiden AMANAH
Menteri di Jabatan Perdana Menteri.
Malaysiakini

Post a Comment

0 Comments