Datuk Guna Nama Tun M Untuk Tindakan Samseng Ugut Penduduk Kampung

Kira-kira 20 penduduk Kampung Bukit Kuda, Klang hadir ke bangunan Perdana Putra bagi menyerahkan memorandum kepada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad selepas mendapat ugutan daripada individu bergelar “Datuk”.

Lelaki yang menggelarkan dirinya sebagai Datuk Seri Khairul Khuzaini Zan Sani, mendakwa beliau mendapat arahan perdana menteri untuk merobohkan rumah di kawasan itu.

Manis Baba yang mewakili Jawatankuasa Tindakan kampung terbabit berkata beliau didatangi lelaki tersebut pada pagi Hari Raya Aidiladha yang lalu.

“Pada jam 7.15 pagi, dia datang dan beritahu dirinya seorang ‘Datuk’ ingin merobohkan semua rumah kami.

“Jika kami enggan, selepas 12 hari, dia akan bakar rumah itu semua,” katanya kepada sidang media di luar bangunan Perdana Putra, hari ini.

Manis berkata lebih menakutkan lagi apabila lelaki tersebut membawa 4 anggota polis mengiringinya.

“Apabila saya dan jiran meminta surat arahan pihak berkuasa untuk merobohkan rumah, suspek terus menundingkan jari kepada seorang anggota polis lengkap berpakaian seragam dan mempunyai tanda nama Nasir.

“Polis itu memarahi kami dan memberi amaran supaya penduduk tidak keras kepala dan jangan membuatnya marah.”

Beliau menambah, polis terbabit juga menunjukkan senjata (pistol) kepadanya dan beberapa penduduk yang lain untuk menakut-nakutkan mereka.

Pada 2015, penduduk Kampung Bukit Kuda berdepan masalah pengusiran paksa oleh seorang individu dikenali Faizal yang mendakwa dirinya sebagai tuan tanah dan menggunakan pelbagai bentuk gangguan untuk mengusir penduduk dari kampung tersebut.

Bagaimanapun, 2 tahun lalu, penduduk kampung tersebut memenangi kes di mahkamah selepas mereka menuntut hak sebagai penduduk sah yang menetap di kampung itu lebih 50 tahun.

Sementara itu, Parti Sosialis Malaysia (PSM) yang diwakili S Arutchelvan turut mengiringi rombongan jawatankuasa itu ke pejabat perdana menteri.

Beliau berkata, memorandum itu dihantar bagi menuntut beberapa hal kepada perdana menteri.

“Dalam era Malaysia baru ni, kita tidak mahu lagi orang menyalahgunakan nama beliau dan suspek yang datang ke kampung ini perlu segera disiasat atas sebab salah guna kuasa,” katanya.

Manakala Setiausaha Politik perdana menteri, Abu Bakar Yahya menerima memorandum tersebut.

Abu Bakar memberi jaminan kepada penduduk kampung yang hadir bahawa siasatan segara akan dijalankan.

“Sangat mudah untuk kita kenalpasti ‘Datuk’ ini, serahkan saja kepada Ibu Pejabat Bukit Aman untuk siasatan, lepas tu tahu lah siapa dia ini.”

Sumber : FMT

Post a Comment

0 Comments