Peguam negara yang baru dilantik Tommy Thomas mengadakan satu temubual eksklusif dengan Malaysiakini dan The Edge pada hari Khamis lalu - hari peguam kanan Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah didakwa berhubung pengubahan wang haram.
Dalam wawancara utamanya yang pertama sejak menjadi AG, beliau yang berusia 66 tahun dan pengarang dua buah buku, itu, bercakap mengenai tugasnya yang besar di negara ini.
Khususnya, Thomas bercakap mengenai kesukaran dan cabaran yang dihadapi oleh jabatannya dalam kes :
- 1MDB,
- Tindakan sivil yang diambil oleh Kerajaan Malaysia baru di Singapura, Amerika Syarikat dan Switzerland untuk mendapatkan balik aset dana kekayaan berdaulat yang gagal itu,
- Kritikan terhadap pelantikan peguam luar dalam kes pendakwaan 1MDB dan SRC International dan
- Menuntut jet Jho Low di Singapura.
Mengenai kesukarannya yang dihadapi jabatannya, Thomas berkata, "Saya akan mengatakan bahawa tidak pernah dalam sejarah jabatan itu terdapat begitu banyak tuntutan untuk pendakwaan kerana salahlaku lalu yang telah bertimbun sejak bertahun-tahun, masalah yang saya warisi."
Mengenai 1MDB, AG berkata Jabatannya telah membentuk satu pasukan khas untuk mengendalikan salah satu kes perundangan yang paling rumit yang pernah dihadapi oleh negara.
Beliau bercakap tentang tindakan undang-undang di Amerika Syarikat, Singapura dan Switzerland, di mana peguam di sana telah dilantik untuk memulakan tuntutan semula aset 1MDB dan objektifnya aialah untuk memasukkannya ke dalam sebuah tabung yan ditubuh khas.
"Kita telah membuka satu akaun, akaun khas yang dikawal oleh MOF (Kementerian Kewangan). MOF dan pengarah-pengarah baru 1MDB yang mengawalnya.
Walaupun ada seruan agar agensi penguatkuasaan seperti polis dan SPRM untuk diberikan kuasa pendakwaan, Thomas tidak setuju dengan idea itu.
"Saya tidak setuju dengan mereka yang berkata SPRM perlu (ada kuasa) mendakwa. Mereka tidak tahu betapa besar kuasa akan diberi kepada SPRM jika ia berlaku. Sistem sedia ada mungkin yang paling kurang buruk. Tetapi kekurangan perkara ini adalah tidak banyak yang boleh dilakukan pejabat peguam negara jika agensi tidak memberikan kertas siasatan.
"Kami tidak boleh buat apa-apa sehingga mendapat kertas siasatan. Jadi sehingga hari ini, tiada satu pun kertas siasatan berhubung 1MDB diberikan kepada kami."
Peguam negara ini juga menyentuh soal kritikan terhap lantikan peguam kanan Sulaiman Abdullah untuk mengetuai pendakwaan terhadap bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak dalam kes SRC International dan lantikan bekas Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Seri Gopal Sri Ram dalam kes 1MDB.
"Secara domestik, pejabat peguam negara pernah melantik peguam tempatan pada masa lalu. Datuk KC Vohrah, Tan Sri Cecil Abraham dan Dato’ Sunil Abraham dan firma mereka, Zul Rafique, dilantik untuk banyak kes sivil.
"Malah pasukan (pendakwaan) SRC gembira (dengan Sulaiman) kerana kebanyakannya belajar dengan Sulaiman di universiti. Mereka lihat Sulaiman sebagai guru intelektual mereka. Kita perlu melihat dari sisi apa yang diperlukan Malaysia. Rakyat Malaysia mahukan keadilan, keadilan yang pantas. Rakyat Malaysia patut mendapat yang terbaik," katanya lagi.
Kesukaran Ketuai Kes SRC
Thomas juga menjelaskan kenapa sukar untuknya mengetuai pendakwaan dalam kes SRC dan 1MDB. Beliau menawarkan contoh satu kes yang pernah dikendalikannya.
"Ketika perbicaraan bermula, anda perlu (dedikasikan) sepenuh masa dengannya, kerana pada sebelah malam anda perlu sediakan soalan balas. Selepas perbicaraan selesai, anda perlu buat kajian dan merangka penghujahan bertulis yang panjang. Saya seorang peguam yang mengambil komitmen mahkamah saya dengan serius dan profesional.
"Maka anda tidak boleh menggabungkannya dengan tugasan peguam negara, di mana perdana menteri mahu berjumpa dengan anda, Kabinet mahu nasihat anda, sidang Parlimen dan sebagainya. Ia mustahil, anda tidak boleh gabungkan semua tugas berat ini dengan tugas peguam di mahkamah.
Thomas juga menjelaskan mengapa beliau mengubah pendiriannya terhadap Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, yang dahulu pernah dikritiknya. Menurutnya, Mahathir kali ini bukan lagi seperti dulu. Ketika memulakan tugas sebagai peguam negara, Mahathir memberitahunya, "Beritahu saya jika ada yang tidak kena, beritahu saya jika saya tak boleh lakukannya."
"Jadi saya jawab, 'Baik Tun, saya akan lakukannya.'"
Berikut adalah bahagian pertama wawancara. Bahagian kedua dan terakhir akan diterbitkan esok.
Soalan: Bagaimana penilaian untuk 100 hari pertama anda?
Thomas: Cabarannya jauh lebih besar daripada jangkaan saya. Apa yang saya sebut di hari pertama saya kekal, iaitu saya ada tiga keutamaan.
Pertama, semua yang berkaitan 1MDB, yang bukan saja dalam aspek jenayah, tetapi juga pemulihan sivil. Kedua, kontrak berat sebelah, dan ketiga, reformasi undang-undang.
Ini semua memang sentiasa menjadi fokus saya, dan kekal begitu. Tetapi (hanya ketika) saya masuk pejabat dan mula bertugas, saya sedar tanggungjawab besar yang dimiliki jabatan ini.
Dan saya rasa anda tidak akan tahu kecuali apabila berada di sana. Ia sukat bagi sesiapa saja yang berada di luar - begitu juga dengan peguam swasta seperti saya dulu. Malah mereka yang berada dalam jabatan ini - ada kira-kira 1,200 peguam di sini - pun tidak akan memahami jumlah tanggungjawab (peguam negara)> Jadi ia adalah satu kejutan untuk saya.
Bagaimana dengan kecekapan pegawai anda? Ada yang mengkritik bahawa tidak ramai yang cekap yang mengendalikan pendakwaan. Adakah anda rasakan ia satu masalah?
Saya fikir itu tidak adil. Kami ada pengkhususan tetapi tentulah ada kekurangan di beberapa bahagian. Misalnya dalam perkara seperti AMLA (Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001), yang merupakan sangat kritikal dalam beberapa tahun akan datang, dan Bantuan Perundangan Bersama (MLA) - juga sangat kritikal kerana kita perlu berurusan dengan banyak negara - kita ada pakar yang hebat.
Dan untuk penilaian semula kontrak, kita juga ada pegawai hebat dan saya sendiri berurusan dengan mereka. Berkaitan pendakwaan, apa yang akan saya katakan adalah tidak pernah dalam sejarah jabatan ini ada begitu banyak desakan untuk pendakwaan yang disebabkan salah laku masa lalu yang terkumpul bertahun-tahun lamanya, masalah yang diwariskan kepada saya.
Sama ada 1MDB atau tidak, ada senarai panjang kes yang menunggu sebaik kertas siasatan sampai kepada saya. Jika anda ada 1,000 pendakwa kelas dunia sekali pun, ia memang tidak memadai. Ini tanda kepada dakwaan jenayah yang terkumpul bertahun lamanya. Jadi tekanannya memang besar. Sebab itu kami tubuhkan unit 1MDB, kami tubuhkan unit-unit yang berbeza kerana kami tidak pernah melakukannya sebelum ini. Jika Pejabat Peguam Negara melakukan perkara ini sejak 2011...maka ia tidak akan terkumpul (sebanyak sekarang).
Bandingkan dengan Amerika Syarikat. Jabatan Kehakiman (DOJ), yang jelas berkelas dunia kerana mereka ada ramai pegawai yang berbakat, akauntan forensik, peguam, lihat bagaimana Peguam Khas Robert Mueller dan pasukannya bekerja. Mereka mengambil masa lebih setahun sebelum melakukan pendakwaan. Dan kemudian mereka bergerak pantas, saya fikir mereka mendakwa kira-kira 20 individu dalam tiga bulan terakhir dan mereka juga mendapat beberapa sabitan.
Tetapi mereka mengambil masa setahun. Dan saya ingin beritahu skandal 1MDB adalah jauh lebih kompleks daripada dakwaan terhadap Presiden Donald Trump. 1MDB adalan kleptokrasi terhebat di dunia!
0 Comments