Hakikatnya bangsa Melayu sememangnya tuan yang tidak perlu dinafikan dan tidak perlu risau akan kehilangan status itu melalui kedudukan Raja-Raja Melayu yang merupakan ‘tuan sebenar' dan dipelihara oleh Perlembagaan Persekutuan selama mana Majlis Raja-Raja tidak menolak kedudukan mereka sendiri dan itu sememangnya mustahil.
Jelas sebenarnya bagi anak Melayu yang mempunyai akal kurniaan Allah SWT dan mampu berfikir, mesej ‘Ketuanan Melayu’ yang selama ini dilaungkan hanyalah sebagai propaganda untuk ‘membakar’ semangat anak Melayu supaya lebih takut akan persekitaran tentang kedudukan mereka dan menjadi lebih defensif.
Bukannya maju membangun! Walhal tiada apapun yang tergugat secara hakikat, kerana terbelanya orang Melayu melalui Perlembagaan Persekutuan yang hamper mustahil diganggu-gugat.
Walhal kebanyakan pemimpin Melayu sebelum ini yang berada di puncak penguasaan sibuk memperbodohkan dan menjarah hasil anak bangsa dengan perbuatan salah laku dan rasuah.
Mereka turut menyalahgunakan segenap dasar (dasar afirmitif) demi kepentingan mengaut keuntungan pribadi bagi mendapatkan projek-projek yang menguntungkan diri dan kroni, dengan sekadar meletakkan nama melalui konsep ‘Ali-Babanya’ ditambah ‘surat sokongan’ sedang sang pemimpin sibuk bermalas-malasan walhal rakyat atau masyarakat khususnya anak bangsa Melayu di bawah dengan susah payah dan perit jerih mereka bertungkus-lumus mencari harta pencarian membangun diri, keluarga dan anak bangsa secara tak langsung.
Adakah ini keadilan? Adakah rakyat dan anak bangsa Melayu mampu menerima pembodohan secara berterusan dan kini digunakan lagi oleh puak kecundang (Umno), yang mutakhir ini jelas gagal meningkatkan kedudukan rakyat umumnya dan orang Melayu khususnya selain para kroni dalam kalangan pemimpin Umno sendiri?
Konsep Kemakmuran Bersama
Umno kini bukan lagi seperti sejarah kegemilangan sebelumnya yang pernah dan berjaya memartabatkan kedudukan anak bangsa.
Yang pernah harum dengan agenda membantu orang Melayu sebagai contoh melalui Dasar Ekonomi Baru dan Dasar Wawasan Negara yang merupakan sebuah pembuktian namun dirosakkan dengan Model Ekonomi Baru dibawah rejim Najib Razak dengan salah laku rasuah beberapa pimpinan Umno itu sendiri.
Menyentuh mengenai Dasar Ekonomi Baru, jelas dasar afirmitif yang pernah dilaksanakan dan secara tunjangnya membantu meningkatkan kedudukan orang Melayu itu juga adalah agenda yang sama naratifnya disebut oleh Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkenaan konsep Kemakmuran Bersama.
Ya! Dasar Ekonomi Baru atau DEB merupakan konsep Kemakmuran Bersama. Ia jelas menyentuh secara menyeluruh tentang perkara yang mampu meningkatkan kedudukan setiap kaum di Malaysia, dalam masa sama semestinya membawa untung kepada orang Melayu selaku majoriti di tanah pusaka yang merupakan tanah asal kita bagi mendapatkan hasil.
Cuma apa yang diimaksudkan Syed Saddiq bahawa pendekatan kali ini akan lebih telus dan tidak akan kelihatan menjurus sesuatu bangsa sahaja atau menidakkan kaum lain sedangkan segala apa yang terhasil kemudiannya hanya bersifat fabrik dan tidak diterjemah dalam keadaan sebenar disebabkan salah guna kuasa dan rasuah lewat pemerintahan Umno.
Sehingga nama buruk terpalit ke atas orang Melayu itu sendiri. Bahkan ada dalam kalangan anak Melayu kini merasakan malu untuk mengaku Melayu dan cakap-cakap tentang Melayu kerana perbuatan terkutuk pemimpin Melayu dan selingkar naratif mereka yang memainkan emosi dan bersentimen untuk terus-menerus menunggang Melayu dan memperalatkan perjuangan memartabat orang Melayu.
Saya turut ingin memetik pernyataan Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM), Ahmad Yazid Othman yang disiarkan oleh Berita Harian pada 26 Oktober 2018 dan senada dengan Konsep Kemakmuran Bersama yang diperkatakan oleh Tun Dr Mahathir serta disambut Syed Saddiq hari ini yang telah dimanipulasi oleh pihak berkepentingan tentang konsep Kemakmuran Bersama.
Menurut beliau, salah satu elemen terpenting Kemakmuran Bersama adalah peningkatan gaji yang lebih adil untuk semua rakyat Malaysia. Katanya, bagi rakyat Malaysia berpendapatan rendah, gaji merangkumi sebahagian besar pendapatan berbanding mereka yang berpendapatan tinggi yang mungkin juga mempunyai sewa dan keuntungan korporat sebagai sumber pendapatan.
“Untuk rumah tangga bumiputera, 65 peratus pendapatan mereka berpunca dari gaji. Peratusan ini meningkat besar bagi rumah tangga berpendapatan rendah. Peningkatan jangka pendek kepada gaji peribadi akan memperbaiki kehidupan ramai rakyat Malaysia dengan lebih pantas berbanding masa yang diperlukan untuk rancangan kerajaan jangka panjang untuk membuahkan hasil,” katanya.
Sementara itu, kenyataan pegawai Bank Dunia, Dr Kenneth Simler juga jelas mengakui bahawa takrifan Kemakmuran Bersama oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad adalah jauh lebih lebar berbanding Bank Dunia berkenaan B40, konsep yang dinyatakan Dr Mahathir lebih bersasar dan turut bakal memberikan impak ke atas ekonomi bumiputera.
Malah MTEM bersetuju dengan penegasan perdana menteri bahawa perkembangan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebelum ini telah sangat lebih memanfaatkan golongan kapitalis berbanding pekerja.
Tambah beliau lagi, “Berbekalkan konsep Kemakmuran Bersama, MTEM percaya bahawa agenda ekonomi Bumiputera akan diperhalusi dengan sasaran yang ditakrif jelas dan mampu dilaksanakan di dalam tempoh waktu yang realistik serta mempunyai impak yang mampan kepada ekonomi Malaysia.”
Jelas menyokong kenyataan MTEM itu, Syed Saddiq mahu memastikan bahawa orang Melayu tidak akan diperbodohkan. Dan bangsa Melayu akan bangkit serta disegani selaku kaum majoriti yang menjadi nilai tambah utama ke atas kaum-kaum minoriti seperti Cina dan India, bukannya para pemimpin yang punyai kuasa, kedudukan dan jaringan yang sekadar mengambil kesempatan bukan sahaja ke atas kaum minoriti.
Malah mengambil kesempatan ke atas orang-orang Melayu itu sendiri yang tidak punyai apa (kuasa, kedudukan, jaringan – peluang!)
Kerana apa saya katakan bahawa ‘Ketuanan Melayu’ itu hanya sekadar fabrik dan tunggangan emosi ke atas orang Melayu? Suatu pembodohan terbesar yang dilakukan khususnya oleh pemimpin Umno!
Kerana “Mana ada tuan yang perlu ingatkan kepada orang lain bahawa dia adalah tuan!”. Kalau dirinya tuan, lagak, tingkah, sikap, sifat kerajinan dan daya usahanya pasti mencerminkan bahawa dirinya seorang tuan.
Mana ada tuan yang bermalas-malasan dan mengambil kesempatan ke atas orang lain! Sikap itu tak lain adalah sikap bangsat seorang penjajah! Kita bangsa Melayu berdaulat.
MOHD ASHRAF MUSTAQIM BADRUL MUNIR
Exco Pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia.
0 Comments